[SENORITA KAYANGAN]. Minggu ini topik yang diketengahkan Senorita bunyinya serius sedikit. Sekali-sekala, okey kan?

Masakan tidak, sepanjang minggu lepas, ahli keluarga Senorita mengikuti secara langsung berita mengenai pemilihan Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-46 bertali-arus melalui saluran Sky News.

Jadi, Senorita pun tumpang sekaki tengok laporan tersebut yang akhirnya memihak kepada Joe Biden, seorang warga emas yang masih kental dan masih bersemangat untuk mengemudi AS, negara paling berpengaruh di dunia itu. Sampai terbawa-bawa dalam mimpi tentang kemenangan Biden itu.

Jika suami Senorita tidak habis-habis membandingkan antara Biden dan Donald Trump, Senorita pula asyik memerhati wanita yang sentiasa berdiri di belakang Biden ketika lelaki itu memberi ucapan.

Wanita berkenaan ialah Kamala Devi Harris yang dilantik sebagai Naib Presiden AS yang baharu selepas kemenangan Biden diiktiraf. Bukanlah mahu mengangkat keterlaluan Kamala, namun bagi Senorita, cerita yang baik tidak kira siapapun seseorang itu, harus dikongsi.

Ya, belum pernah lagi dalam sejarah AS, negara itu memiliki wanita sebagai Naib Presiden.

Namun, tembok gender berkenaan telah diruntuhkan oleh Senator California iaitu Kamala.

Regu kepada Presiden AS yang baharu itu juga melakarkan sejarah istimewa sebagai keturunan kulit hitam dan Asia yang pertama menduduki jawatan kedua tertinggi di negara berpendudukan lebih 330 juta orang itu.

Kamala, 55, yang merupakan keturunan India di sebelah ibunya dan Jamaica di sebelah bapanya, mewakili identiti unik Amerika Syarikat di tengah-tengah pilihan raya Presiden yang dipenuhi dengan pelbagai isu polarisasi.

Keberanian

Menyedari latar belakangnya sebagai anak imigran yang bakal berdepan pelbagai kekangan, pesanan ibunya, Shyamala Gopalan sentiasa digenggam.

Antara ayat sering diucapkan Shyamala kepada Kamala adalah: “Anda mungkin yang pertama melakukan banyak perkara, tetapi pastikan anda bukan yang ter­akhir.”

Pada majlis meraikan kemenangan bersama Biden di Chase Center, Wilmington, Delaware baru-baru ini, Kamala mengulangi kata-kata itu dengan menegaskan bahawa beliau tidak mahu hanya dirinya menjadi satu-satunya wanita menjawat jawatan sebagai Naib Presiden AS.

Kerjayanya dalam perkhidmatan awam menunjukkan wanita pencinta kasut Converse itu tidak pernah menoleh ke belakang.

Kamala Harris runtuhkan tembok gender jadi Naib Presiden AS. Siapa Kamala sebenarnya?
GAMBAR-GAMBAR Kamala sewaktu kecil hingga dewasa yang disiarkan oleh https://edition.cnn.com/2019/04/10/politics/gallery/kamala-harris/index.html.

Menelusuri portfolionya secara ringkas, beliau merupakan kulit hitam pertama dipilih sebagai Peguam Daerah San Francisco (2002) dan wanita kulit hitam serta Asia pertama menjadi Pendakwa Raya California (2010).

Beliau mula dipilih sebagai Senator sejak tahun 2016. Pada awal kemunculannya dalam arena politik AS, dirinya telah mendapat sokongan banyak pihak termasuk Presiden Barack Obama and Biden sendiri.

Kamala ini merupakan pemimpin yang unik. Dilahirkan di Oakland, California pada 20 Oktober 1964, Kamala adalah anak kedua daripada dua beradik perempuan.

Ayahnya, Donald Harris yang merupakan seorang profesor ekonomi telah berpisah dengan ibunya, seorang penyelidik kanser payudara semasa Kamala berusia lima tahun.

Kamala memiliki Ijazah Sains Politik dan Ekonomi dari Howard University, Washington D.C. Kemudian beliau bergraduat di University Of California dalam jurusan Ijazah Undang-Undang.

Intelektual kelas pertama

Iklan

Menyoroti kerjayanya sebagai Senator California, beliau adalah antara pengkritik utama Presiden Donald Trump dalam pelbagai isu termasuk isu pengharaman kemasukan penduduk daripada beberapa negara Islam ke AS, polisi keras terhadap imigran termasuk kegagalan menangani pandemik Covid-19.

Begitupun, ramai yang terkejut apabila Biden memilih Kamala sebagai gandingannya. Ini kerana pemimpin bersuara lantang itu secara terang-terangan mengkritik Biden secara lantang ketika sesi debat pemilihan parti Demokrat, sebelum memilih keluar daripada ‘perlumbaan’.

Pun demikian, Biden yang memiliki jiwa besar menyatakan, beliau tidak menyimpan dendam, malah menggambarkan Kamala sebagai ‘intelektual kelas pertama, calon kelas pertama dan pesaing sebenarnya.’

Selain itu, antara sebab Biden memilih Kamala adalah kerana kerjasama profesional wanita elegan itu bersama mendiang anaknya, Beau. Ketika bersama Beau, Kamala telah mempamerkan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan awam.

Pemilihan Kamala juga bertepatan dengan isu Black Lives Matter yang telah berlarutan terlalu lama. Kehadiran tokoh wanita yang dilihat gemar kepada warna-warna pastel dapat dijadikan sandaran bagi membela nasib kulit hitam di AS. Populasi Afrika-Amerika di sana mencecah 44 juta orang.

Iklan

Bagaimanapun, peranan paling penting yang digalas Kamala sebagai gandingan Biden adalah representasi terhadap jutaan wanita yang selama ini terpinggir dalam politik AS, walaupun wanita memiliki demografik yang besar iaitu kira-kira 51.1 peratus di negara Uncle Sam itu.

Ya, seluruh dunia kini sedang menanti sama ada wajah baharu AS yang dibawa oleh Biden dan Kamala mencukupi untuk membaiki polarisasi yang berlaku selama ini dalam pentadbiran Trump dan rakyat AS dapat disatukan semula.

Dalam hal ini, tidaklah Senorita katakan Kamala sudah cukup hebat, namun beliau ada sedikit kelainan ditambah beliau adalah seorang wanita yang sejak awal lagi lantang bersuara di AS.

Seperkara, ada orang kata, sesiapapun menjadi Presiden atau Naib Presiden, ia tidak akan mengubah apa-apa terutama pada negara kita yang tercinta, Malaysia. Namun, tidak mengapa, mana tahu ada keajaiban di sebalik gandingan Biden-Kamala?

Oh, ya, suami Kamala, Doug Emhoff, akan meninggalkan kerjayanya sebagai peguam peribadi menjelang pelantikan rasmi isterinya dan Biden. Menurut laporan NowThis News, beliau akan memberi tumpuan kepada peranannya di Rumah Putih, kata seorang jurucakap.

Sumber foto https://edition.cnn.com/2019/04/10/politics/gallery/kamala-harris/index.html, Business Insider, https://www.lowyinstitute.org/, The Conversation, CNN, The Wall Street Journal, LA Times, The New York Times dan New York Magazine