KAMI hanya orang biasa, tidak pernah berharap akan dapat hadiah daripada Perdana Menteri. Kami ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kita, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Itu kata-kata Youtuber Malaysia berbangsa India, mempunyai subscribers seramai 400 ribu iaitu Sugu Pavithra yang kian popular di negara ini.

Padanlah sangat disenangi pengikutnya di laman sosial berkenaan. Orangnya sangat merendah diri.

Lihatlah walaupun sudah semakin dikenali, kapsyen videonya pada YouTube berkenaan pemberian yang diterimanya daripada orang besar dalam negara ini sahaja mampu menyentuh hati. Padanlah orang jatuh kasih!

PM pun tersentuh…

Menariknya dua hari lalu, wanita dua anak ini mendapat pemberian daripada beliau yang dikongsikan perkhabaran itu kepada warga siber.

“Beliau ada ucapkan… ‘Dengan ucapan tulus ikhlas daripada Perdana Menteri Muhyiddin Yasin. Keep up the good work, just stay at home. (Diabadikan dalam bingkai gambar)

“Saya sangat gembira dan terharu ye. Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada PM kita,” katanya.

Menariknya dalam video yang dikongsikan, beliau mendapat banyak hadiah berupa barang masakan dan barang elektrik termasuklah daripada peminatnya.

Antaranya, beliau mendapat mihun, gula, sardin, minyak sapi, minyak masak, senang untuk saya masak, bahulu, buah kurma, ketuhar, periuk nasi dan beras.

“Memang saya dapat banyak barangan masak. Hujung minggu ni kami nak plan masak untuk jiran-jiran kami.

“Sebelum itu kami ada lagi hadiah istimewa. Jom kita tengok apa dia.

“Saya dapat tripod yang besar ya. Sebelum ini saya tidak pernah menggunakan tripod. Dan saya mendapat tripod ini daripada PM kita. Saya sangat gembira. Saya ucapkan terima kasih kepada PM kita,” katanya teruja.

Latar belakang Pavithra

Iklan

Apa agaknya lagi yang menarik mengenai Pavithra yang tinggal di kuarters Ladang Elphil, Sungai Siput, Perak berusia 28 tahun ini?

Pavithra merupakan suri rumah sepenuh masa ini, berjaya menambat hati penonton di laman sosial apabila menggunakan bahasa Melayu bagi menerangkan resipi-resipi masakan yang dikongsikannya, biarpun beliau mampu bertutur bahasa Tamil.

Kebanyakan resipi yang dikongsikannya adalah daripada keluarga, rakan malah pengikut di laman sosialnya sendiri.

Seperkara yang berkenan di hati penonton ialah gayanya yang bersahaja dengan lenggok bahasa yang lemah lembut di samping latar belakang kehidupan yang sederhana.

Iklan

Menariknya latar belakang ‘studio’nya dengan dapur yang kemas, bersih dan peralatan sudu, sudip dan kuali yang berkilat, itupun mampu menggamit mata penonton untuk melekap di skrin telefon pintar.

Barangkali itu antara sebabnya masyarakat rasa ‘dekat’ dengan wanita ini yang sentiasa mendapat bantuan daripada suami yang merupakan pekerja di ladang kelapa sawit, M Sugu, 29.

Pengikutnya pula terdiri dalam kalangan pelbagai bangsa dan dari luar negara pun khabarnya ada!

Dengan peralatan serba ringkas dan biasa-biasanya, pengikut yang mencecah hampir 500k, Pavithra kini boleh dikatakan antara Youtuber yang berjaya.

Moga memberi inspirasi buat mereka yang mahu mengikut jejak langkah beliau! -AG #rantaiankasih