SUNGGUH, kasih ibu sangat suci dan tidak dapat diukur. Perasaan tulus itu tak bersyarat, bahkan tak bersempadan buat anak-anak sehinggalah ke hembusan nafas terahir.

Itulah yang dilakukan seorang ibu, Ada Keating, 98, apabila sanggup berpindah ke rumah jagaan bagi menjaga anak lelakinya, Tom yang kini berusia 80 tahun.

Apa yang digambar oleh anaknya terhadap kasih sayang ibu, “Cinta ibu adalah kebahagiaan, kedamaian. Ia tidak perlu diminta-minta dan semua orang layak menerimanya…”.

Tanpa mengira usia, seorang ibu akan selalu menjadi tongkat buat si anak. Pengorbanan Ada inilah contoh yang sangat menjadi inspirasi buat kita.

Kedua anak beranak ini menikmati masa dengan sering bermain kad dan menonton bersama-sama.

Mereka juga mempunyai rutin harian tertentu seperti yang dikongsikan oleh Ada.

“Saya mengucapkan selamat malam kepada Tom di biliknya setiap malam dan saya akan mengucapkan selamat pagi kepadanya pada tipa hari. Saya akan memberitahunya bahawa saya akan turun untuk sarapan.

“Apabila saya keluar bagi mendapatkan perkhidmatan dandanan rambut, dia akan mencari saya dan melihat saya. Apabila saya kembali, dia akan menghampiri saya lalu akan memeluk saya,” kata Ada seperti yang dikongsikan healthyfoodhouse.com.

Menyentuh hati

Mereka yang berasal dari Wavertree, Liverpool sangat akrab sejak dahulu kerana Tom merupakan anak sulung daripada empat orang adik-beradik serta dia tidak pernah berkahwin.

Dalam masa yang sama, Pengurus Pusat Jagaan, Philip Daniels berkata, “sangat menyentuh hati untuk melihat hubungan yang erat antara Tom dan Ada. Saya sangat gembira kerana dapat memenuhi keperluan mereka di sini.”

Jarang sekali berjumpa ibu dan anak-anak berada di rumah jagaan yang sama bukan? Bahkan si ibu yang sudah berusia lanjut tetap memanjakan dan kasih pada si anak.

Iklan

Pastinya mereka mahu meluangkan masa bersama dengan sehabis baik. Mereka memang tidak dapat dipisahkan. Benarlah kasih ibu tiada bandingannya.

Buat pembaca SinarPlus, doa untuk ibu bapa adalah kewajipan bagi kita yang bergelar anak.

Pengorbanan ibu bapa kepada anak-anak sangatlah tidak terhingga dan kita sebagai anak harus berjasa kepada mereka.

Iklan

Ingatlah, jika tidak mampu membalas jasa dengan wang ringgit, cukuplah doa kebaikan dunia akhirat kepada mereka.

#RantaianKasih

Sumber dan foto: healthyfoodhouse.com.