SEMUA orang mempunyai kelebihan dan kekurangan diri. Tiada manusia yang sempurna di dunia ini. Justeru usahlah terlalu memandang kekurangan pada diri kita.

Itu yang dibuktikan seorang gadis dari Negeri Di Bawah Bayu ini. Dari gadis yang tinggal di kawasan pedalaman, beliau menanam azam untuk berjaya.

Usahanya melalui jerit perih saat menuntutb ilmu dan menongkah arus kekurangan diri, kini beliau boleh berbangga apabila berjaya menamatkan pelajaran di Korea dan berkhidmat di sebuah syarikat multinasional terkenal dari Jepun.

Kini beliau menjadi penterjemah dan perantara untuk tujuan mengembangkan pasaran produk syarikat tersebut di Korea Selatan pula tu…

Ikuti kisah tentangnya yang sudah banyak mendapat perkongsian kerana amat memberi inspirasi ini:

BAGI yang tidak kenal Riana, saya kongsikan kisah dia secara ringkas. Kalau nak ikutkan, saya boleh tulis satu buku hanya mengenai beliau. Cerita ini susulan permintaan beberapa orang kawan yang mahu mengetahui jalan cerita beliau dengan lebih lanjut.

Riana (Riana Magilin) dibesarkan dan bersekolah dari awal di Kg Bongkol, Pitas, Sabah. Pitas adalah sebuah daerah di bahagian utara Sabah. Sebuah daerah yang miskin, terpencil dan tersisih dari arus pembangunan.

Bongkol terletak hanya 28 kilometer dari Pekan Pitas, tetapi mengambil masa perjalanan lebih 1 jam untuk sampai.

SMK Bongkol sangat uzur dan tidak selamat untuk didiami sebenarnya semasa saya dan rakan-rakan ke sana sempena Program Motivasi Pelajar Cemerlang yang kami anjurkan pada 2011.

Walaupun dalam keadaan serba kekurangan di sekolah dan di rumah, Riana berjaya memperolehi 7A dalam PMR 2010. Malangnya, permohonan beliau untuk menyambung pelajaran ke MRSM Kuching ditolak. Terpaksalah beliau meneruskan pelajaran di SMK Bongkol.

Saya tidak kenal Riana sebelum itu tetapi dapat merasakan pertemuan pertama itu bukan satu kebetulan. Seseorang yang istimewa, permata yang perlu digilap untuk menjadi intan yang berkilau menerangi alam. Saya lampirkan beberapa gambar keadaan sekolah beliau supaya para pembaca boleh faham dengan mudah cabaran awal beliau.

SMK Bongkol sangat uzur dan tidak selamat pada masa itu.

Berazam bantu

Dari saat pertemuan itu, saya dan rakan-rakan berazam untuk membantu beliau mencapai impiannya. Terima kasih kepada PEKEMA di atas bantuan kewangan.

Beliau diterima masuk ke SM Sains Sabah pada Mei 2011. Pada mulanya, Riana terpaksa menghadapi cabaran sukar. Sebagai seorang yang pendiam dan pemalu (introvert) dan pertama kali berpisah dengan keluarga, beliau sukar menyesuaikan diri di tempat baru. Rakan-rakan baru yang tidak kurang hebatnya di sebuah sekolah aliran Sains yang belum pernah ditempuhi sebelum ini.

Malah, ada guru beliau sendiri yang tidak yakin Riana boleh bertahan di sekolah berkenaan. Namun, berkat usaha, keyakinan diri dan bantuan beberapa pihak, beliau mula mengorak langkah menuju kecemerlangan. Apabila keputusan SPM diumumkan, beliau memperolehi 9A termasuk 5A1 dalam subjek Sains dan Matematik.

Impian belajar di luar negara

Impian beliau adalah untuk mendapatkan biasiswa dan melanjutkan pelajaran ke luar negara. Setelah menunggu lama dan mengambil risiko menolak beberapa tawaran belajar di dalam negara, akhirnya beliau ditawarkan biasiswa JPA untuk melanjutkan pelajaran ke Korea Selatan dalam bidang Kejuruteraan Kimia.

Sebelum itu, beliau perlu menjalani kursus persediaan bahasa Korea terlebih dahulu di INTEC, Shah Alam. Itulah pertama kali beliau ke Kuala Lumpur dan menaiki kapal terbang. Di sana, beliau bersama-sama ramai pelajar lain yang kebanyakannya daripada Semenanjung Malaysia, mendalami bahasa dan budaya Korea.

Februari 2014 merupakan tarikh bersejarah apabila beliau buat pertama kalinya menjejakkan kaki di bumi Korea. Di Seoul University dan Inha University, beliau belajar cara kehidupan di sebuah kota metropolitan dan budaya tradisional yang bersimpul dengan cara hidup moden melalui interaksi dengan kawan-kawan, pembacaan dan pengembaraan.

Di sana juga, beliau terpaksa berhempas pulas bersaing dengan pelajar tempatan dan antarabangsa. Namun, seperti yang dijangka, beberapa kali Riana berjaya meraih anugerah ‘Dean’s List’ atas kecemerlangan beliau. Insentif kewangan yang diberikan digunakan sebahagiannya untuk belanja pulang ke tanah air untuk menziarahi keluarga setiap tahun.

Lebih berkeyakinan

Riana berjaya menghabiskan pengajian pada akhir 2018 dan menerima ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dalam satu majlis konvokesyen pada Februari 2019. Riana kini berkhidmat di sebuah syarikat multinasional terkenal dari Jepun dan ditugaskan untuk menjadi penterjemah dan perantara untuk tujuan mengembangkan pasaran produk syarikat tersebut di Korea Selatan.

Riana

Iklan

Saya akui Riana kini memang banyak berbeza dari segi penampilan berbanding enam tahun dulu. Nampak lebih bergaya dan berketrampilan. Lebih berkeyakinan diri dan petah bercakap. Tetapi dia masih seorang ‘sumandak Rungus’ yang saya kenali dahulu.

Apakah rahsia Riana menempah kejayaan demi kejayaan cemerlang dari awal hingga kini walaupun diselubungi pelbagai kekurangan dan cabaran?

Pastinya, hanya Riana yang boleh terangkan setepat-tepatnya. Tetapi, melalui perbualan dan interaksi saya dengan Riana yang agak lama, bolehlah saya simpulkan beberapa faktor kejayaan beliau:

1. Riana seorang yang rendah diri (down-to-earth), bersopan santun dan tidak lalai dengan pengaruh kemodenan.

2. Dia seorang yang amat dedikasi,

3. Rajin

4. Fokus kepada keinginan tinggi untuk berjaya dan membantu keluarga beliau keluar dari belenggu kemiskinan.

Iklan

5. Beliau juga seorang yang patuh kepada agama dan faham akan nilai-nilai ketimuran dan batas-batas pergaulan.

6. Akhir sekali, beliau mendapat bantuan dari banyak pihak yang yakin akan kemampuan beliau sama ada dari segi kewangan, keperluan fizikal dan sokongan moral.

Kini Riana bersedia untuk memberi inspirasi kepada adik-adik pelajar yang ingin mencapai impian mereka. Saya doakan Riana akan terus berjaya mencapai impian seterusnya, setinggi mana ia sekalipun. Saya juga berharap kisah Riana ini menjadi inspirasi kepada semua.

Jangan jadikan kemiskinan alasan untuk gagal. Jadikan ia sebagai satu pemangkin untuk membina impian sehingga menjadi kenyataan.

Moga terinspirasi!

Sumber: FB Azhar Othman