KEJADIAN menggemparkan dunia baru-baru ini di Beirut, Lubnan dek letupan besar ammonium nitrat hingga menggegarkan muka bumi di situ sememangnya menagih banyak simpati dan mengundang ihsan masyarakat global.

Mana tidaknya, dalam keadaan rata-rata penduduk di seluruh negara sedang berjuang untuk memutuskan rantaian wabak Covid-19, tragedi hingga menyebabkan banyak kemusnahan harta benda dan meragut ratusan nyawa dan ribuan lagi terjejas itu boleh berlaku.

Prihatin musibah melanda negara itu, wakil badan bukan kerajaan dari Malaysia tidak ketinggalan menghulurkan tangan bagi meringankan beban mangsa yang terjejas di sana.

Berikut kenyataan media berkaitan oleh Sekretariat Aid4Lebanon yang turut dikongsikan dengan SinarPlus:

1. Peristiwa letupan ammonium nitrat di Beirut yang mengorbankan lebih 135 nyawa dan menyebabkan kecederaan lebih 5,000 mangsa, manakala ratusan ribu mangsa kehilangan tempat kediaman amat menyedihkan kita.

2. Tidak cukup dengan kes wabak Covid-19 yang telah meragut 68 nyawa dan lebih 5,000 kes positif, Kerajaan Lubnan terpaksa berdepan pula dengan bencana letupan besar sehingga diumumkan darurat yang akan berlangsung selama 2 minggu.

3. Kita bersimpati dengan kejadian yang berlaku ini. Justeru itu, bagi menunjukkan sokongan dan solidariti terhadap mangsa letupan, Sekretariat Aid4Lebanon akan melancarkan kempen sumbangan buat mereka.

4. Sekretariat Aid4Lebanon terdiri dari gabungan badan bukan kerajaan (NGO) yang berpengalaman dalam mengendalikan misi kemanusiaan di dalam dan luar negara.

Iklan

5. Bentuk sumbangan segera yang diperlukan adalah bantuan perubatan dan keperluan harian kepada manga-mangsa yang terlibat. Sekretariat Aid4Lebanon mensasarkan kutipan dana sebanyak RM10 juta untuk dikutip dalam tempoh terdekat. Saluran sumbangan akan diselaraskan secara rasmi di bawah Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

6. Sekretariat Aid4Lebanon menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama menyumbang bagi menyatakan solidariti kemanusiaan sejagat ini.

Iklan

Keanggotaan bersama Aid4Lebanon:
1.  PASRelief
2.  Yayasan Amal Malaysia
3.  Yayasan Kubra
4.  Yayasan Isra’ Malaysia
5. Geng Ustaz
6. Muslim Care Malaysia
7.  Muslim Care Global(MCG)
8.  Yaman Care
9.  Syabab Care
10. Azhar Care
11. Iman Care
12. Warga Cakna
13. PAPISMA
14. Medicom
15. NurFitrah
16. MusMedik
17. IMWU (International Muslim Women Union Malaysia)
18. Sadaqah Centre
19. Sahabat Care
20. MyHawa

Tarikh: 17 Zulhijjah 1441H | 7 Ogos 2020