RADAR serakan zarah Covid-19 yang bermula di Wuhan, China sejak penghujung tahun 2019 nampaknya telah menerjah hampir ke seluruh dunia.

Siapa sangka, serangan virus tersebut meninggalkan kesan menakutkan apabila lebih 100,000 orang kehilangan nyawa dalam tempoh kira-kira tiga bulan.

Selain implikasi kesihatan, aktiviti ekonomi di banyak negara seakan-akan terhenti, sekolah dan pejabat kerajaan ditutup, operasi pengangkutan awam dibatalkan dan berbilion manusia terpaksa berkurung selama berminggu-minggu di dalam rumah.

Hakikatnya, rutin masyarakat Malaysia juga terjejas malah ada yang mengalami tekanan hidup ekoran hilang sumber pendapatan.

Di sebalik malapetaka tersebut, rupa-rupanya banyak insan berhati mulia di dunia ini yang sanggup menghulurkan bantuan. Puteri sulung Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah adalah antara figura yang menzahirkan simpati dan solidariti tersebut.

TENGKU Puteri Iman

Prihatin dengan nasib rakyat yang terjejas dek Covid-19, Tengku Puteri Iman Afzan menyatakan kesedihannya.

“Saya yakin semua orang mengalami situasi yang sama. Ini merupakan kali pertama kita menghadapi pandemik berskala besar. Ia membawa banyak ketidakpastian kepada semua orang.

“Ada yang tidak pasti dengan status pekerjaan mereka. Golongan berpendapatan rendah atau yang perlu mencari rezeki secara harian pula tidak pasti sama ada mereka dapat menyediakan makanan untuk diri sendiri dan keluarga setiap hari,“ katanya kepada Sinar Plus baru-baru ini.

Percaya setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmahnya, Penaung Diraja Persatuan Sokongan dan Kesedaran Penyakit Mental (Miasa) itu menyifatkan situasi yang melanda dunia sekarang akan menjadi satu pengalaman yang amat berharga dan tercatat dalam lakaran sejarah negara.

Bagi Puteri Iman, 27, pada masa ini bersikap lebih peka diperlukan dalam menghadapi musibah Covid-19 yang belum ada penawarnya.
Bantuan pemulihan yang ada hanyalah untuk merawat simptom tertentu kerana vaksin sebenar belum ditemui. Dalam masa yang sama, sokongan emosi juga penting.

Cabaran

“Pesakit pasti tertekan apabila berdepan stigma atau disisihkan semasa dijangkiti wabak itu atau selepas mereka sembuh. Kita telah lihat baru-baru ini, pelbagai kecaman dilontarkan kepada jemaah tabligh,“ katanya memberikan contoh.

Situasi yang dihadapi petugas barisan hadapan yang bergadai nyawa dan berkorban masa untuk merawat pesakit juga tidak kurang dugaannya. Tatkala orang lain boleh bersantai duduk di rumah bersama keluarga, mereka pula sebaliknya.

Justeru, Puteri Iman berpendapat sokongan mental dan emosi sangat mustahak. Kementerian Kesihatan sendiri, katanya, memberi penekanan tentang kepentingan kesihatan mental tersebut.

Banyak badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan kesihatan mental dalam komuniti turut menawarkan bantuan dan perkhidmatan serta menyediakan talian psikososial kepada mereka yang memerlukan.

Menurutnya, di Miasa sendiri ada menyediakan khidmat seperti kaunseling dan psikologi, sokongan peer, ruqyah dan kaunseling rohani sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang.

Menariknya, Miasa turut menawarkan perkhidmatan itu secara percuma kepada golongan B40.

Katanya lagi, rakan-rakan NGO kesihatan mental yang lain juga banyak membantu.

“Saya ingin menekankan bahawa sebenarnya kita boleh menjalankan tanggungjawab dengan menghubungi keluarga dan rakan kita.

“Mesej berbunyi “Apa khabar“ akan membuka banyak perbualan terutamanya pada waktu sukar sekarang,“ ungkap Puteri Iman yang bergelar ibu pada 23 Julai lalu.

Khusus buat petugas barisan hadapan negara, Puteri Iman sedar bahawa kata-kata sahaja tidak cukup untuk menunjukkan penghargaan.

Bagi dirinya, pengorbanan pasukan berkenaan mengingatkannya tentang makna sebenar menjadi seorang rakyat Malaysia.

Ujar pasangan kepada Tengku Abu Bakar Ahmad Tengku Arif Bendahara Tengku Abdullah ini, dari sisi lain, kita dapat melihat contoh nyata ‘insan bermakna‘ yang telah diperlihatkan dalam situasi ini.

Salah satunya ialah pekerjaan yang sebelum ini mungkin dipandang rendah dan dianggap tidak penting oleh sesetengah orang.

“Ini termasuklah pekerjaan dalam sektor penghantaran, peruncitan makanan, pembersihan, pengutip sampah sehinggalah pemandu kenderaan awam. Kini kita lebih menghargai mereka.

“Petugas barisan hadapan pula merupakan pahlawan kita yang sebenar. Pengorbanan dan usaha yang mereka curahkan untuk melindungi kita dan negara tidak ternilai. Mereka ialah wira,“ katanya.

Kepada yang lain, Puteri Iman mengingatkan bahawa sekarang kita berada dalam waktu kecemasan yang perlu dihadapi bersama-sama sehingga ke penghujungnya.

“Kita perlu bertawakal dan reda serta mengharapkan yang terbaik.

“Jangan khuatir akan keberadaan saya dan keluarga kerana kami melakukan tanggungjawab dengan menyokong semua orang yang terlibat,“ ungkapnya mengakhiri bicara.

PUTERI Iman bersama ayahanda tersayang, Al-Sultan Abdullah.

Impak

Senada dengan Puteri Iman, Presiden Miasa, Anita Abu Bakar menyifatkan mereka yang mudah terjejas adalah golongan yang mempunyai gejala kesihatan mental seperti kebimbangan melampau, panik, waswas dan fobia.

Menurutnya, PKP yang dilaksanakan selama sebulan setengah sehingga 28 April ini, sudah tentu memberi kesan berbeza kepada individu.

“Bagi mereka yang tiada sejarah kesihatan mental, cabaran semasa PKP ini dapat diatasi dengan mengubah tingkah laku, apa yang dilakukan setiap hari, perubahan sikap, menimba ilmu tentang perkara berkaitan dengan isu wabak Covid-19 dan juga melihatnya dari sudut yang positif.

“Tetapi ada individu yang terkesan. Mereka risau dengan keadaan yang tidak menentu, takut dijangkiti atau khuatir orang tersayang terkena jangkitan, panik dan mula mengalami anxiety (bimbang melampau).

“Ramai pesakit mental berdepan triggered (cetusan penyakit) dan relapse (gejala berulang),“ kata Anita.

ANITA

Menurutnya, barangkali ramai yang tidak menyangka ada pesakit yang mendapat serangan panik hinggakan tidak boleh sama sekali keluar rumah untuk membeli barang keperluan semasa PKP.

Iklan

Kata Anita, golongan yang berisiko terjejas kesihatan mental juga adalah barisan hadapan terutamanya doktor dan petugas yang berdepan dengan mereka yang dijangkiti.

Satu kajian yang dilakukan oleh King‘s College London adalah untuk melihat kesan psikologikal kuarantin sewaktu berlakunya wabak besar pada tahun-tahun yang lepas seperti Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS-Cov), Ebola dan H1N1 mendapati langkah kuarantin mampu menyebabkan pelbagai kesan psikologikal kepada seseorang seperti sindrom tekanan selepas trauma (PTSD), kemurungan, kebimbangan dan penyalahgunaan bahan terlarang.

“Kumpulan kajian tersebut menyatakan bahawa kesan buruk ini terutamanya PTSD akan kekal lebih lama dalam kehidupan seseorang. Selalunya petugas dalam bidang kesihatan paling teruk terjejas.

“Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi impak psikologikal. Antaranya, tempoh kuarantin, rasa bosan, tersisih dari dunia luar dan keluarga, kekurangan makanan dan minuman serta kurang informasi mengenai kehidupan di luar kuarantin,“ ujar Anita.

Justeru, menurutnya, beberapa cadangan telah diberikan oleh kumpulan kajian. Antaranya, masa kuarantin harus lebih bersesuaian, petugas kesihatan memberi informasi yang mencukupi kepada mangsa dan memenuhi segala keperluan asas sepanjang tempoh kuarantin.

“Miasa menjangkakan akan terdapat peningkatan golongan berdepan masalah mental sewaktu dan selepas musim Covid-19.

“Ia akan menjadi lebih ketara terutamanya selepas berakhirnya tempoh PKP kerana mereka telah dipengaruhi perubahan gaya hidup yang mendadak sewaktu penularan wabak ini,“ katanya.

Sokongan

Kesan kejatuhan ekonomi adalah antara faktor yang menyebabkan bebanan mental terutamanya kepada mereka yang bekerja seorang diri untuk menyara keluarga.

Kemurungan dan stres akan menjadi lebih ketara apabila seseorang cuba mengejar kembali pendapatan yang telah ‘hilang‘ sewaktu tempoh pengasingan dan kuarantin.

Sebagai badan yang arif dan dekat dengan mereka yang bertarung berdepan penyakit mental, Miasa mencadangkan orang ramai memanfaatkan bantuan kesihatan mental terutamanya pada mereka yang memerlukan sewaktu PKP ini. Bukan sahaja Miasa, tetapi ramai rakan NGO lain yang berusaha untuk menyediakan pelbagai perkhidmatan pada waktu ini bagi membantu golongan tersebut, katanya.

“Kami juga mencadangkan agar pihak kerajaan membenarkan pakar kesihatan mental untuk sama-sama bertugas di barisan hadapan dalam mengatasi wabak Covid-19.

Iklan

“Tekanan kerja dialami petugas kesihatan, polis mahupun askar sangat mencabar ketika ini. Mereka juga perlukan sokongan moral, mental dan emosi khususnya jika terpaksa berjauh daripada keluarga dan dalam keadaan tertekan,“ katanya.

Menurutnya, hal itu juga merupakan langkah penting dalam mengurangkan isu kesihatan mental terutamanya selepas tamatnya musim Covid-19 nanti.

Anita bersyukur KKM sudah pun menggerakkan pakar kesihatan mental secara berkumpulan di hospital-hospital.

“Rancangan di televisyen dan radio juga harus berkonsepkan tema-tema positif dan memberi inspirasi. Elakkan rancangan yang berunsur negatif pada waktu ini.

“Selebriti juga boleh menggunakan Instagram atau Facebook Live untuk berinteraksi dengan masyarakat. Bukan sahaja menghiburkan orang ramai, tetapi berkongsi aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan di rumah,“ katanya.

Menurutnya, pengaruh besar seseorang seperti selebriti boleh dimanfaatkan dengan mengajak orang ramai ke arah perkara yang positif. Itu antara tanggungjawab yang sangat membantu pada waktu begini.

Maklumat lanjut, layari https://miasa.org.my/

ANITA (kiri) dan Puteri Iman.

ANEKDOT

Khidmat Miasa susulan wabak Covid-19 melanda Malaysia:

-Menawarkan kaunseling, sokongan peer, terapi spiritual, kumpulan sokongan dan pelbagai lagi untuk membantu golongan memerlukan. Mengendalikan kes penghidap masalah mental termasuk selepas berakhirnya krisis Covid-19 nanti.
– Membantu mereka yang menghadapi masalah untuk kembali berhubung dengan masyarakat selepas tempoh PKP tamat.
Kaedah yang diguna pakai oleh Miasa adalah berasaskan sokongan komuniti iaitu saling memperkasa dan membimbing antara satu sama sebagai satu kaedah penyembuhan.
– Menggunakan kaedah holistik merawat pesakit iaitu tidak hanya fokus kepada simptom penyakit, tetapi juga melihat masalah mental secara menyeluruh.
– Dalam tempoh PKP, Miasa giat menggerakkan kempen #MIASAStayConnected. Dalam kempen itu, Miasa berkongsi tentang cara-cara untuk menangani isu seperti kebimbangan, kerisauan dan panik.
– Turut melancarkan program ‘MIASAStayFit‘ yang mengajak orang ramai beriadah dua kali seminggu dan juga art therapy sebagai teknik untuk mengurangkan stres dan menangani anxiety.
– Miasa juga menggunakan Instagram dan Facebook Live untuk membuat perbincangan terbuka tentang cabaran kesihatan mental, kepentingan penjagaan kesihatan mental dan berkongsi ilmu untuk membantu masyarakat di luar sana.

Kredit foto: IG Tengku Puteri Iman, KKM & Miasa