SENTUHAN solekan jurusolek popular, Datuk Alha Alfa atau nama sebenarnya Abdul Halim Mohd Al Fadzil jarang mengecewakan. Setiap wajah wanita umpama satu kanvas yang dirias rapi. Segala idea dan daya kreativitinya ditumpahkan dengan berhati-hati.

Sejak mempraktikkan solekan merah jambu ala boneka Barbie kepada pasangan pelakon adik-beradik, Uqasha Senrose dan Nelydia beberapa tahun lalu, nama Alha Alfa semakin dikenali ramai.

Boleh dikatakan majoriti wanita cenderung memilih konsep solekan sedemikian khususnya mereka yang bakal melangsungkan majlis pernikahan.

“Bagaimanapun, sebagai jurusolek saya tidak boleh sewenang-wenangnya memenuhi kehendak pelanggan tanpa mengambil kira kondisi dan kesesuaian warna kulit wajah.

“Kadangkala enggan menghampakan permintaan mereka, maka saya beralih kepada plan B iaitu bermain krim asas agar konsep solekan diingini efeknya kelihatan sempurna,“ ujar Alha Alfa pada sesi interviu eksklusif bersama SinarPlus di Kajang, Selangor baru-baru ini.

Ketika singgah di laman sosial Instagram beliau @alhaalfa, tidak keterlaluan penulis menyifatkan, rata-rata pengikut cukup mengagumi hasil kreativiti solekannya.

Pun begitu, sebelum meniti jaringan kejayaan, beliau sebenarnya telah mengharungi pelbagai pancaroba sebelum diiktiraf sebagi jurusolek profesional di negara ini.

Tanggapan masyarakat bahawa kemahirannya menyolek diperoleh menerusi pengajian ataupun kursus solekan formal, tetapi hakikatnya berbeza, ujar lelaki beriltizam tinggi itu.

“Benar, saya tidak pernah menyertai kelas solekan baik di dalam mahupun di luar negara. Guru yang mendidik sehingga menjadikan Alha Alfa hari ini ialah Mohd Al Fadzil Hashim (ayah) dan Norsham Ahmad (ibu).

“Sementelah pengalaman yang dikutip sedikit demi sedikit sejak di bangku sekolah rendah adalah ilmu dan pemangkin untuk saya terus berjaya dan mengubah nasib keluarga.

“Ini disebabkan saya tidak dilahirkan dalam famili berada. Dulu ayah bekerja di sebuah hotel di Bukit Bintang, Kuala Lumpur dan tukang kebun di Pusat Pemulihan Orang Kelainan Upaya, Bangi, Selangor, manakala ibu pula ambil upah menjaga anak orang,“ luah Alha Alfa.

Kutip barang kitar semula

ALHA ALFA menzahirkan walaupun tidak pernah menghadiri kelas atau kursus solekan secara formal, namun beliau bersyukur dengan bakat kurnian-NYA.

Bicara jejaka berusia 32 tahun tersebut, seawal usia 10 tahun, beliau saban hari tidak ke padang bermain bola sepak atau badminton bersama rakan-rakan.

Sebaliknya, Alha Alfa mengikut bapanya ke pusat pembuangan sampah di Balakong untuk mencari barangan yang boleh dikitar semula seperti palet kayu, besi dan tin aluminium.

“Ayah kreatif melukis, bertukang dan mengecat. Lazimnya, barang-barang yang dikutip di pusat pembuangan sampah, beliau akan ubah menjadi produk baharu.

“Kepingan kayu katil misalnya, dijadikan bingkai gambar. Tugas saya memahat, mengukir dan mewarnakan. Tin aluminium pula, ayah mengetuk Surah Kursi konsep timbul (3 dimensi), lalu, disimpan di dalam bingkai dan digantung di surau.

“Tak sangka pula, daripada sekadar hobi lama-kelamaan menjadi sumber pendapatan apabila mendapat tempahan daripada penduduk kampung dan kawan-kawan,“ katanya.

Anak kedua daripada empat beradik itu juga berminat bereksperimen dengan warna cat.

Bermula mencalit cat di dinding rumah dan kamar sendiri sebagai pengganti kertas dinding, akhirnya selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia, Alha Alfa mengambil upah mengecat sebuah rumah banglo empat bilik di Semenyih dan menerima bayaran sebanyak RM250.

alha alfa
SIAPA sangka daripada pengubah barangan kitar semula dan tukang cat rumah, kini graduan UiTM tersebut bukan sahaja bergelar jurusolek terkenal, malah turut mengusahakan bisnes biskut.

Kemudian, bagi meringankan beban keluarga dan memastikan pendidikan dua adiknya terbela, figura itu bekerja sebagai kru menguli piza di restoran makanan segera, Pizza Hut di Seri Kembangan selama enam bulan.

Biarpun pada ketika itu beliau tidak meletakkan harapan tinggi untuk melanjutkan pengajian di menara gading, namun rezeki tetap miliknya.

Alha Alfa mendapat tawaran menyambung pelajaran Diploma Seni Bina Dalaman di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak. Jurusan yang sebati dengan minat dan jiwanya.

“Perasaan bercampur-baur. Sukar untuk membuat pilihan kerana ibu dan ayah mengharapkan anaknya ke universiti, sementara saya pula ingin terus bekerja cari duit buat adik-adik.

“Lagipun, persiapan ke UiTM memerlukan kos yang banyak, sedangkan ekonomi keluarga kurang stabil. Sehinggalah, pada satu hari ibu minta saya membawanya ke kedai emas untuk membeli barang.

“Rupanya, beliau ke sana menggadaikan seutas gelang emas yang ayah hadiahkan ketika acara batal air sembahyang. Hasil pajakan sebanyak RM500 itu digunakan untuk yuran kemasukan ke UiTM,“ imbas Alha Alfa yang menitikberatkan perihal pelajaran sehingga menerima Anugerah Dekan untuk beberapa semester.

Pun begitu, di sebalik keputusan cemerlang itu, pemuda yang yang meminati warna coklat itu hampir menarik diri pada semester tiga. Alha Alfa menyifatkan jurusan tersebut memerlukan kos perbelanjaan yang banyak bagi menyempurnakan setiap tugasan.

Justeru, solusi terbaiknya adalah menjadi jurumekap sambilan barisan model dan kumpulan penari UiTM yang mana setiap minggu mampu memperoleh pendapatan sebanyak RM150.

“Saya pula gemar bereskperimen sehingga pernah melukis corak ekor burung merak pada kelopak mata model dalam satu sesi fotografi. Paling mengujakan, gambar terbabit memenangi kategori Foto Terbaik dan dipamerkan di galeri kampus.

“Rentetan momen manis itulah pensyarah mencari jurusolek yang bertanggungjawab merias model tersebut dan hari demi hari saya menerima tawaran mekap bertali arus. Kadangkala tak menang tangan dibuatnya.

“Kemudian, melangkah peringkat ijazah, tawaran menyolek berkembang ke produksi drama pula. Ingat lagi, saya ditugaskan mekap hantu wajah pengacara dan pelakon, Jihan Muse,“ cerita Alha Alfa yang pernah mendapat tempat pertama pertandingan mereka cipta Hub Pengangkutan anjuran cat jenama Jotun di UiTM Shah Alam, Selangor.

Susulan kemenangan berkenaan, anak kelahiran Kuala Lumpur itu mewakili negara ke Persidangan Hiasan Dalaman di Beijing, China.

Tepis stigma
Biarpun kini berjaya mengeluarkan produk jenama sendiri, Alha Alfa Kosmetik sejak tahun 2017, namun itu bukan tiket untuk beliau menarik nafas lega, apa lagi bergoyang kaki.

Menurut Alha Alfa, perjalanan kariernya masih panjang.

Sehingga ke hari ini, dirinya masih ligat memerah otak mencari idea baharu. Tidak ketinggalan dari semasa ke semasa proaktif meningkatkan penyelidikan dan pembangunan.

alha alfa
DARI kiri: Jihan Muse, Stacy dan Mawar Rashid antara selebriti yang kerap mendapat sentuhan solekan emas Alha Alfa.

“Jika difikirkan kembali bagaikan tak percaya pula saya mampu berada pada tahap seumpama ini.

“Manis ada, pahit juga semestinya. Semua pengalaman itu dikumpul menjadi benteng kekuatan agar apabila ditakdirkan saya jatuh kelak, sekurang-kurangnya tidak terus tersungkur,“ jelasnya.

Pernah menerima sindiran daripada orang sekeliling gara-gara bergelar jurusolek? Alha Alfa tersenyum.

Katanya, masih segar dalam kotak memori tatkala membantu mengendalikan majlis perkahwinan di kampung yang memerlukannya bekerja dalam pasukan yang majoritinya wanita.

“Mahu atau tidak, sepanjang proses menggubah hantaran dan menyolek pengantin, saya terpaksa menadah telinga mendengar perlian ‘makcik-makcik‘ yang sukar menerima penglibatan lelaki sebagai pak andam.

“Bagi mereka bidang ini (solekan) adalah hak milik mutlak kaum Hawa sehingga ada yang melemparkan tuduhan lelaki menjadi jurusolek merupakan jejaka lembut.

“Seharusnya stigma sedemikian perlu dihakis kerana kerjaya jurusolek bebas dilakukan sesiapa sahaja tanpa mengira gender. Paling penting, ia rezeki halal, disamping berbekalkan kesungguhan, kreativiti, bakat dan minat,“ kenangnya.

Justeru, enggan ambil pusing dengan kata-kata negatif masyarakat, Alha Alfa yang juga mengusahakan bisnes biskut dan pakaian sedia pakai terus mengatur langkah ke hadapan.

Sebelum menutup bicara, Alha Alfa berstatus duda sempat menitipkan pesanan:
“Diharapkan tahun 2021 memberikan sinar dan harapan baharu kepada semua. Jangan sesekali memandang rendah pada kemampuan orang lain kerana kita mungkin tidak tahu esok atau lusa insan tersebut pula yang menghulurkan tangan membantu.

“Buat para jejaka yang menyimpan hasrat bergelar jurusolek usah memikirkan persepsi negatif individu sekeliling.“

PROFIL
Nama: Datuk Abdul Halim Mohd Al Fadzil
Umur: 32 tahun
Tempat lahir: Hospital Besar Kuala Lumpur
Adik-beradik: Anak kedua daripada empat beradik
Pendidikan:
– Sekolah Kebangsaan Seri Sekamat, Kajang, Selangor
– Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Bangi, Selangor
– Diploma Seni Bina Dalaman, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak
– Ijazah Reka Bentuk Dalaman, UiTM Shah Alam, Selangor
Hobi: Memancing dan memasak
Warna kegemaran: Coklat
Instagram: @alhaalfa (1 juta jumlah pengikut)

Sumber foto: Alha Alfa