SELEPAS berhenti operasi buat sementara waktu dek pandemik Covid-19 pada bulan lalu, syarikat penerbangan AirAsia dijadualkan ‘terbang’ tidak lama lagi bergantung pada kelulusan kerajaan.

Justeru, bagi memberi keselesaan kepada para penumpang dan anak kapal yang bimbang pada penularan virus tersebut pihak AirAsia Filipina mengambil inisiatif menghasilkan uniform baharu.

Menurut manilastandard.net, pakaian rekaan pereka Puey Quinones kelahiran Los Angeles tersebut dilengkapi pakaian perlindungan diri (PPE) termasuk sut, topeng muka, sarung tangan dan visor.

Menerusi laman sosial Instagram, Quinones yang kini menetap di Filipina turut memuat naik foto pakaian seragam terbabit beserta kapsyen AirAsia melancarkan PPE untuk melindungi kru.

“Uniform ini direka oleh saya. Terima kasih,” tulisnya baru-baru ini.

air asia
SUT kru AirAsia Filipina rekaan Quinones (gambar tengah) menggunakan material yang selesa dan mendapat kelulusan DOH di negara tersebut.

Sementara itu, Naib Ketua AirAsia Filipina, Sheila Romero memberitahu, uniform PPE tersebut selesa disarungkan kerana tidak terlalu tebal dan berat.

Iklan

“Sut baharu ini tampak sporty persis sut yang dipakai pemandu Fomula Satu (F1). Pemilihan material pula telah mendapat kelulusan pihak Jabatan Kesihatan Filipina (DOH) bagi melindungi kakitangan kami.

“Secara tidak langsung usaha ini membantu menaikkan semangat kepada kru yang berasa selamat apabila bertugas,” jelas Romero.

Iklan

Menariknya, uniform PPE terbabit telah dipakai ketika penerbangan ihsan dari Bangkok, Thailand ke Manila, Filipina pada 24 April lalu.

Penerbangan yang membawa lebih 100 penumpang berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang pada pukul 12 tengah hari (waktu tempatan) dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino tepat pukul 4.25 petang.