Jangan lupa follow kami di Instagram!

ACARA 10 meter platform seirama wanita pada Sukan Olimpik 2020 kerana mampamerkan pasangan ratu terjun negara Leong Mun Yee dan Pandelela Rinong.

Namun begitu, mereka sekadar meraih tempat kelapan dan terakhir bagi acara terjun 10 m platform seirama di Pusat Akuatik Tokyo pada Selasa lalu.

Persoalannya, adakah Olimpik kali ini adalah yang terakhir buat Mun Yee?

Ini berikutan menerusi perkongsian di laman sosial Instagram atlet wanita itu seolah-olah memberi bayangan untuk meninggalkan sukan akuatik.

Titip graduan Sarjana Komunikasi Korporat di Universiti Putra Malaysia tersebut: “Berakhir Olimpik kali kelima saya semalam. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberi sokongan dan dorongan.

Baca juga Kenali 8 Perkara Menarik Pandelela, Mun Yee. Ratu Terjun Negara!

“Tidak lupa juga kepada Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara, Malaysian Swimming dan terutama kepada rakan saya @pandelela, jurulatih Li Rui dan Christian kerana bekerja keras dan sentiasa memberikan terbaik kepada pasukan.

“Saya juga ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada rakan sepasukan lain pada acara akan datang.”

Berkemungkinan bayangan untuk bersara itu bakal direalisasikan.

Ini disebabkan dalam laporan media sebelum ini, Mun Yee dikatakan tekad meninggalkan arena sukan negara selepas temasya Sukan SEA Vietnam yang dijadualkan pada hujung tahun ini.

Difahamkan, keputusan tersebut dilakukan bagi memberi tumpuan kepada kehidupan peribadi dan membina mahligai perkahwinan bersama pilihan hati selepas tertangguh dek komitmen selaku atlet.

“Saya sudah nekad. Untuk tunggu hingga Komanwel mungkin tidak. Keputusan ini juga sudah disuarakan kepada MAS (Persekutuan Renang Malaysia).

“Pada mulanya saya mahu bersara selepas Olimpik Tokyo, namun jika diminta terus beraksi sehingga Sukan SEA Vietnam saya akan teruskan,” katanya dipetik pada Mac lalu.

Iklan

Mun Yee, 37, antara atlet terawal yang menempah tempat ke Olimpik Tokyo 2020.

Kelayakan itu diraih selepas memenangi pingat perak pada Kejohanan Dunia di Gwangju, Korea Selatan acara 10m seirama bergandingan bersama Pandelela.

Secara ringkas, beliau terlebih dahulu beraksi dalam acara renang.

Pun begitu, bertukar ke arena terjun pada usia 10 tahun selepas terpilih menyertai program persediaan ke Komanwel 1998 di Kuala Lumpur.

Sepanjang kariernya Mun Yee yang dilahirkan di Perak telah meraih banyak pingat pada temasya sukan besar antaranya Kejohanan Dunia, Komanwel, Sukan Asia dan Sukan Sea.

Iklan

Menariknya, beliau merupakan atlet wanita Malaysia pertama layak ke lima sukan Olimpik iaitu Olimpik Sydney 2000, Olimpik Athens 2004, Olimpik Beijing 2008 dan Olimpik London 2012 serta terbaharu Olimpik Tokyo 2020.

Bagaimanapun, setakat artikel ini ditulis belum ada pengumuman atau kenyataan rasmi berhubung status Mun Yee di media sosial tersebut.

Foto: Facebook Page Leong Mun Yee