BIARPUN tanpa suara ataupun menampakkan sebarang reaksi wajah, tetapi perkongsian sebuah video pendek yang dimuat naik di Instagram peribadinya, sudah cukup menterjermahkan keterujaan isi hati Maya Karin, selebriti yang kini aktif sebagai pejuang alam sekitar.

Masakan tidak, video berdurasi selama seminit itu ‘menghidangkan‘ pemandangan anak Sungai Way di Petaling Jaya, Selangor yang bersih dan mengalir tenang. Ditambah bunyi kicauan burung yang mendamaikan.

“Berita bagus. Sungai dah mula bersih dan jernih di sekitar Lembah Klang,“ tulisnya ringkas, namun bait-bait kata itu tersirat mesej positif bahawa alam sekitar kini kembali pulih sedikit demi sedikit ekoran aktiviti manusia berkurangan.

Ini kerana sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak 18 Mac lalu, rakyat Malaysia tidak dibenarkan keluar rumah tanpa tujuan penting.

Kebanyakan pejabat dan premis pula menghentikan operasi buat sementara waktu. Langkah terbabit adalah untuk mengekang penularan dan memutuskan jangkitan wabak Covid-19.

Tanpa sedar, di sebalik pandemik Covid-19 yang melanda dunia sehingga menyebabkan 3.9 bilion orang ‘berkurung‘ sahaja di dalam rumah, rupa-rupanya membawa sinar baharu kepada flora dan fauna di bumi.

Sungai bukan tong sampah

maya karin
BICARA Maya, selain pakaian beliau turut menemui topi keledar, sofa dan plastik setiap kali menjalani aktiviti pembersihan sungai di negara ini.

Mengulas lanjut mengenai isu pencemaran sungai di negara ini, Maya yang dilantik sebagai Duta River of Life pada tahun lalu meluahkan rasa kecewa.

Perasaan marah dan keliru jelas terpancar pada wajah pelakon berusia 40 tahun tersebut.

“Sedarkah anda bahawa sungai adalah khazanah ciptaan ALLAH yang harus kita pelihara dengan baik? Unsur alam semula jadi ini berfungsi untuk semua kehidupan di bumi dari zaman ke zaman.

“Fungsinya tetap sama iaitu membekalkan sumber air bersih baik untuk memasak, minum, mandi mahupun aktiviti riadah.

“Di Malaysia khususnya, rakyat harus bersyukur kerana memiliki sungai yang banyak.

“Mungkin sebahagian besar penduduk tidak berasakan akan kepentingan sungai, tetapi sekurang-kurangnya jagalah kebersihannya kerana masih ada kelompok yang memerlukan bekalan air terus dari situ,“ luahnya ketika ditemui Sinar Plus di Studio Karangkraf, Shah Alam baru-baru ini.

Keluhan Maya atau nama sebenarnya Maya Karin Roelcke, tidak terhenti di situ.  Sambil wajah dirias jurusolek Vee Muhammad, beliau menzahirkan rasa ralat terhadap masyarakat yang berfikiran dangkal apabila tergamak membuang sampah ke dalam sungai tanpa memikirkan kesannya pada masa akan datang.

maya karin
REAKSI Maya tatkala bercerita tentang sikap masyarakat yang tiada kesedaran sivik mencemarkan sungai. Foto: Izahar Atan

“Persoalannya, mengapa sungai menjadi mangsa? Mengapa mereka tidak membuangnya ke dalam tong sampah kerana di situlah tempat sepatutnya. Tolonglah pupuk dan tingkatkan pemikiran kita bahawa sungai bukan tong sampah.

“Acap kali menjalankan aktiviti pembersihan sungai, saya ralat melihat aliran sungai terganggu dek limpahan pelbagai buangan,“ luahnya kesal.

Tambahnya, impaknya amat membimbangkan. Daripada lampin pakai buang, kotak, botol, pakaian, barang mainan, topi keledar dan sofa hinggalah longgokan plastik sampah, semuanya dapat ditemui di dalam sungai.

Tahukah anda bahawa plastik mengambil masa selama 400 tahun untuk lupus? Itu antara persoalan yang dibangkitkan oleh Maya.

“Jika situasi ini (pencemaran sungai) tidak ditangani secara proaktif, tidak mustahil generasi akan datang hidup dalam persekitaran tidak sihat. Ekosistem juga terjejas,“ tegas beliau yang pernah bekerjasama dengan 20,000 murid sekolah rendah menjalankan program membersihkan sungai antara tahun 2008 hingga 2010.

Menyorot keprihatinan beliau terhadap penjagaan alam sekitar, pelakon filem Pontianak Harum Sundal Malam itu memberitahu, sikap tersebut telah dipupuk seawal usianya dua tahun.

maya karin
SEJAK kecil, Maya dan dua adiknya dididik supaya menyayangi dan bermesra dengan alam sekitar.

Setiap minggu, ibu bapanya membawa beliau melakukan aktviti di dalam hutan, sungai atau mandi-manda di pantai.

Sejak kecil sehingga sekarang, kehidupannya banyak dihabiskan untuk ‘bermesra’ dengan alam semula jadi Baginya, rimbunan pohon menghijau, deruan ombak dan bunyi unggas, menyuntik ketenangan yang sukar diungkapkan melalui kata-kata.

“Saya seronok masuk hutan kerana dapat menghirup udara segar. Lagipun ia percuma. Kita boleh menikmati keindahan di sana tanpa had.

Iklan

“Jika pulang ke kampung halaman di Jerman pula, kami sekeluarga akan masuk hutan untuk memetik buah strawberi dan beri biru,“ ujar Maya yang berdarah kacukan Jerman di sebelah bapa dan Melayu di sebelah ibu.

Bumi pulih semasa Covid-19
Sebelum menamatkan bicara, Maya yang hadir dengan berbaju-T putih dan berseluar denim sempat menitipkan pesanan tatkala negara sedang berdepan krisis Covid-19.

Saran beliau, dengar arahan kerajaan supaya duduk di rumah, jaga kebersihan diri dan kerap membasuh tangan.

Pada masa sama, amalkan pemakanan sihat, minum banyak air kosong dan paling utama, memelihara alam sekitar untuk jangka masa panjang.

Itu bermakna, apabila rakyat duduk di rumah, maka aktiviti luar berkurangan. Justeru, langkah tersebut memberi peluang buat alam sekitar pulih selepas ‘derita disakiti‘ sebelum ini.

Situasi tersebut bukan sahaja berlaku di Malaysia, bahkan negara luar turut menyaksikan peningkatan kualiti alam sekitar yang ketara.

Misalnya, kualiti air di terusan kota Venice, Itali, dilaporkan kembali jernih dan bersih buat pertama kali dalam tempoh enam dekad.

covid tali
PERBEZAAN kualiti air di Terusan Venice sebelum dan selepas perintah sekatan pergerakan di Itali. Air di terusan bertukar jernih sehingga menampakkan ikan kecil berenang ekoran tiada aktiviti pelancongan di situ.

Jika sebelum ini destinasi itu sibuk dengan bot pelancongan dan perahu tradisional gondola yang membawa pelancong dari serata dunia, namun kini sebaliknya.

Iklan

Kejernihan air di terusan itu secara tidak langsung telah menampakkan ikan-ikan kecil berenang riang memandangkan tiada sebarang aktiviti pelancongan dijalankan dek perintah sekatan pergerakan di Itali.

Direkodkan, jumlah kematian akibat wabak Covid-19 di negara berkenaan hampir 14,000 orang. Jumlah kumulatif di sana pula lebih daripada 115,000 kes iaitu kedua tertinggi di dunia selepas Amerika Syarikat.

Selain air di terusan Itali, kualiti udara di Wuhan, Shenzhen, Guangzhou dan Shanghai di China juga mencatatkan rekod bersih. Tiada lagi masalah berdebu dan berjerebu sehingga langit kembali membiru.

Keadaan itu berikutan sistem pengangkutan seperti perkhidmatan kereta api dan penerbangan di sana dihentikan sementara.

Kenderaan persendirian juga tidak lagi bersesak-sesak memenuhi jalan raya.
Bukan itu sahaja, operasi kilang khususnya yang bergantung pada bahan api arang batu turut dihentikan sepanjang tempoh pandemik berkenaan.

Malah, satu kajian mendapati pelepasan karbon di republik itu sudah berkurangan sebanyak 100,000 juta tan dalam masa dua minggu.

Ini dibuktikan menerusi imej satelit Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) yang menunjukkan perbezaan tahap kualiti udara di China akibat nitrogen dioksida yang berpunca daripada pembakaran bahan api fosil berkurangan dengan banyak sepanjang tempoh Januari hingga Februari lalu.