PERALATAN pelindung diri (PPE) menjadi isu utama di hospital-hospital di seluruh dunia ketika petugas barisan hadapan bertungkus-lumus melawan penularan wabak Covid-19.

Dek kekangan PPE, rata-rata mereka terpaksa bergantung kepada sumbangan daripada orang ramai atau mencari alternatif sendiri untuk mendapatkannya.

Malangnya, kebanyakan topeng muka yang biasa digunakan tidak sesuai buat mereka yang memakai tudung.

Prihatin mencari penyelesaian kepada kekangan itu, model Amerika-Somalia, Halima Aden mengambil inisiatif sendiri berpandukan kemahiran fesyennya untuk membuat topeng muka khusus kepada petugas barisan hadapan yang bertudung.

Ya, beliau masih muda, namun inisiatifnya matang. Model yang berusia 22 tahun itu merancang alternatif baik berkenaan dengan menggunakan konsep asal topeng N95 bagi memudahkan penggunaannya buat sesiapa sahaja yang berhijab.

TOPENG muka ini dilengkapi dengan butang dan tidak perlu diikat di belakang telinga. Foto: Halima Aden.

“Saya mahukan sesuatu yang akan menggembirakan para pesakit dan pekerja kesihatan.

“Saya memilih warna yang boleh dikaitkan dengan ketenangan, warna yang hanya membuatkan saya berasa seronok melihatnya dan bukannya warna putih,” katanya kepada metro.co.uk.

Beliau yang sebelum ini bertanding di Miss Minnesota USA pada tahun 2016 berjaya melayakkan diri sehingga ke peringkat separuh akhir.

“Setelah bekerja di hospital, bahkan selama beberapa bulan dalam kerjaya pemodelan, penting bagi saya untuk menyokong projek ini.

Iklan

“Oleh kerana ramai wanita yang memakai tudung ketika bekerja terutamanya petugas kesihatan, saya ingin memastikan mereka mempunyai pilihan yang sanagt selesa untuk memakai topeng muka ketika bekerja sambil menjaga rambut mereka,” katanya.

Menarik idea dan inisiatif berkenaan bagi memudahkan urusan mereka yang bertudung.

Iklan

Semoga sedikit masa lagi kita akan bebas daripada ancaman wabak Covid-19.

Sumber: metro.co.uk