TANPA kata-kata, lukisan salah satu kaedah terbaik untuk meluahkan suara dan rasa. Selain memperindahkan lokasi, mural juga karya seni mengagumkan.

Inisiatif artis tempatan yang melukis mural pemimpin Malaysia untuk mengucapkan tanda penghargaan kerana mereka berjuang susulan wabak Covid-19 yang melanda negara baru-baru ini antara dihargai.

Hasil seni mural terletak di di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, Selangor itu sememangnya sedikit sebanyak membangkitkan rasa cintakan tanah air.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sendiri berkenan berangkat melawat mural gergasi yang memaparkan wajah pemimpin negara, termasuk potret baginda di situ Jumaat lalu.

Diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, baginda turut bersama anakanda, Tengku Puteri Iman Afzan, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah berkenan melawat.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang berkongsi ekspresi hasil seni ketika berada di sana turut merasakan semangat patriotik yang kuat dalam kalangan rakyat Malaysia.

Iklan

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua artis berbakat yang cemerlang dengan kemahiran dan karya seni mereka yang luar biasa.

“Ini menunjukkan bahawa setiap orang mempunyai peranan dalam krisis pandemik ini dan menyahut cabaran ini dengan lukisan mural boleh dipuji,” katanya dalam posting Facebook beliau semalam.

Terdahulu keberangkatan Al-Sultan Abdullah disambut tiga pelukis muda yang menghasilkan mural berkenaan, iaitu Muhammad Suhaimi Ali, 27; Muhamad Firdaus Nordin, 26; dan Abdul Hadi Ramli, 27.

Iklan

Moga kita juga terinspirasi untuk melakukan sesuatu yang bermakna buat negara. -AG #JanganPutusAsaMalaysia