UMPAMA sebatang lilin. Sanggup membakar diri demi menerangi orang lain. Itulah perumpamaan yang paling sesuai boleh digambarkan terhadap seseorang yang digelar pendidik.

Demi memastikan anak muridnya tidak ketinggalan dalam pelajaran ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seorang guru sanggup menempoh laluan sukar bagi menghantar bahan pembelajaran kepada mereka.

Memetik laporan yang diterbitkan oleh salah satu portal tempatan, Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Long Sukang, Muhammad Nazmi Rosli mengajar Bahasa Inggeris yang mana sekolah tempat beliau mengajar terletak di sebuah kampung kira-kira tiga jam dari bandar Lawas di utara Sarawak.

Oleh kerana kawasan pedalaman kekurangan akses internet untuk mengadakan kelas secara atas talian, beliau satu-satunya guru yang tinggal di Lawas itu mengambil keputusan untuk pergi mengedarkan bahan pembelajaran kepada anak murid dengan sendiri.

Bagi menghantar bahan tersebut, guru berusia 27 tahun itu berhubung dengan penduduk kampung yang datang ke Lawas seminggu sekali untuk membawa bekalan makanan kepada penduduk.

“Pejabat pendidikan daerah membantu saya bagi mendapat keizinan untuk datang ke kawasan pedalaman. Seorang atau dua orang guru akan tinggal di lokasi itu dan menolong saya mengedarkan bahan-bahan tersebut.

Iklan

“Kami diawasi secara ketat oleh wakil klinik kesihatan. Kanak-kanak perlu mencuci tangan sebelum dan selepas menerima bahan.

“Kami tidak berkumpul di satu tempat sebaliknya pergi dari rumah ke rumah. Kami juga berusaha untuk mengurangkan bilangan orang yang terlibat,” katanya.

Iklan

Nazmi berkata, perkara tersebut tidak menyusahkan dirinya malah guru-guru mahu mereka bersaing seperti pelajar di bandar yang mempunyai pelbagai platform bagi melakukan kelas ‘online’.

Sumber : Muhammad Nazmi