AURA Puan Sri Normala Samsudin pada pertengahan 1990-an dan awal tahun 2000 sangat luar biasa.

Masakan tidak, pakej yang dimiliki Normala serba lengkap hingga diberi jolokan ‘Wanita Melayu Terakhir‘.

Anak kelahiran Segamat, Johor itu bukan sahaja dinilai sebagai seorang yang intelektual dan berkarisma, malah wajah jelita kurniaan ALLAH SWT yang dimiliki telah membuatkannya menjadi tumpuan ramai.

Bermula sebagai wartawan penyiaran dan kemudian diberi kepercayaan tampil menerusi layar kaca dengan membaca berita waktu perdana, profil diri Normala terus menyerlah.

Popularitinya sebagai pengacara  program tersohor, Seulas Pinang dan diikuti Nona, mendorong ramai orang mengidolakan Normala sebagai sumber inspirasi.

Penulis masih teringat, rakan sekuliah sanggup terpacak menonton Nona seorang diri semata-mata mahu melihat kelibat Normala. Kata rakan penulis itu, gaya penyampaian, intonasi, ekspresi wajah, busana yang dipakai isteri kepada mantan Menteri Sumber Manusia, Tan Sri Azmi Khalid itu membuatkan dirinya mahu menjadi seperti Normala.

SELEPAS melangsungkan perkahwinan dengan Azmi, Normala memilih untuk menjalani kehidupan lebih privasi bersama suami dan anak-anak.

Kekal menawan

Penangan figura itu sememangnya bukan calang-calang. Tempias popularitinya dalam dunia penyiaran telah mengheretnya terjah ke dunia lakonan.

Pada tahun 2001, Datuk Yusof Haslam membuat kejutan apabila melamar seorang wartawan penyiaran iaitu Normala sebagai bintang utama dalam filem Gerak Khas the Movie. Filem itu pecah panggung apabila mengutip RM4.4 juta.

NORMALA bersama Datuk Yusof Haslam ketika penggambaran filem Gerak Khas the Movie pada tahun 2001.

Memperhalusi satu persatu historiografinya telah merumuskan bahawa Normala berada dalam liganya tersendiri.

Itu cerita Normala 30 tahun lalu. Ah! Cepat sungguh masa berlalu. Seperti tidak percaya, beliau kini sudah berusia 56 tahun pada 4 Jun lalu. Namun seperti yang diperkatakan, wajah nenek kepada tujuh cucu itu tidak dimamah usia. Beliau makin anggun apabila berhijab.

Benar seperti yang diuar-uarkan, Normala sangat merendah diri. Ketika mula berhubung dengannya, dengan nada lembut beliau berkata: “Ala, tak perlu panggil Puan Sri, Datin Seri, panggil Kak Mala lagi best“.

Penulis membuka lembaran bicara dengannya bertanya tentang rutin harian dirinya kini. Ibu kepada tiga anak itu lantas menjawab.

“Lazimnya saya akan buat jamuan makan, bersantai bersama anak-anak dan cucu di rumah pada hujung minggu. Pada waktu itu sahaja okey kerana masing-masing sudah bekerja, ada keluarga dan mempunyai jadual sendiri,“ katanya yang membalas setiap soalan melalui aplikasi WhatsApp.

Semakin menginjak usia, Normala berkata, beliau tidak betah untuk duduk diam sahaja.

Jaga kuantiti makan

Meskipun sudah melangkau usia 50-an, beliau terus bersemangat melakukan aktiviti lasak. Menjengah Instagramnya, beliau dilihat rajin mendaki dan meneroka hutan belantara. Jangan tidak percaya, beliau sudah menjejakkan kaki di Gunung Tahan, Pahang; Gunung Kinabalu, Sabah; dan Gunung Batur, Indonesia.

Pun demikian, ujar ikon penyiaran itu, minat itu sebenarnya digemari sejak kecil lagi.

“Bayangkan sejak saya berumur tujuh tahun, saya berjalan kaki sejauh 4 kilometer ke sekolah. Bagi saya, pergi balik ke sekolah itu ibarat satu latihan, sebab itu saya sebati dengan dunia lasak kini.

“Saya juga biasa meredah hutan bersama arwah datuk saya untuk memburu kancil, ayam denak dan menjala ikan sungai, saya seronok dengan itu semua,“ ungkapnya tanpa berselindung.

Normala terus mengajak penulis kembali menyorot kenangan zaman lasaknya.

 

Katanya, beliau bersama 14 kru berjaya meredah Sungai Merapoh dan berakhir di Kampung Cegah Parah, Pahang untuk program Seulas Pinang.

AKSI lasak Normala ketika meredah hutan belantara di Cameron Highlands, Pahang.

“Bayangkan, kami rempuh berpuluh jeram dan air sungai yang deras dengan berbekal hanya tujuh kanu. Kami juga bermalam dalam hutan tebal yang penuh misteri dan mendebarkan selama empat hari.

“Saya masih ingat lagi debaran itu dan berdoa, Ya ALLAH, ampuni aku dengan kerja ‘gila‘ meredah air terjun ini, bukan lagi air jeram. Selamatkanlah kami. Ya, sesungguhnya pengalaman itu amat berharga dan saya tidak serik dan terus aktif melakukan aktiviti yang mencabar,“ katanya.

Perbualan panjang lebar itu membuatkan penulis mengerti mengapa beliau kekal menawan sehingga kini. Selain itu, apa rahsia beliau awet muda? Daripada inti perbualan bersamanya, Normala nampaknya berhati-hati dalam pengambilan makanan.

Tiada jamu, produk istimewa mahupun sauna untuk menterjemahkan kecantikannya.

Iklan
PADA usia 56 tahun, bekas wartawan penyiaran ini masih kekal cantik dan bertenaga.

Namun, personaliti yang kaya sifat ketimuran itu berkata, dirinya tidak sesekali makan buah-buahan dan sayur-sayuran yang sejuk. Praktisnya cuma minum air rebusan halia, serai rebus bersama kunyit, dua hingga tiga kali seminggu. Selain itu, Normala akui, beliau amat menggemari sayur pegaga dan kecur.

“Saya sebenarnya kalau nak diikutkan, tidaklah berpantang macam-macam, saya jaga (kesihatan) sebab semakin tua, semakin banyak makanan yang saya alah seperti tidak boleh makan sebab angin, kembung dan sebagainya.

“Jadi pengambilan jenis makanan dan kuantiti amat saya beratkan, contohnya pulut, saya alah dengan pulut dari muda lagi,“ ujarnya.

Momen bersama bapa

Secara kebetulan pada hari ini merupakan Hari Bapa Sedunia. Berbicara tentang bapa, Normala mengakui, pada usia remajanya, beliau jarang bertemu memandangkan orang tuanya itu bekerja di Singapura.

Namun demikian, dirinya pasti menerima bingkisan istimewa iaitu sehelai kain pasang daripada bapanya yang dihantar dua minggu awal sebelum Aidilfitri.

“Itu detik manis saya dan sembilan adik-beradik lain yang amat kami hargai dan kenang walaupun dia sudah berkeluarga lain dan jauh merantau mencari rezeki,“ ujarnya yang pernah menetap di sebuah felda.

NORMALA bersama suami, anak-anak dan cucu-cucu serta ahli keluarga terdekat pada Syawal baru-baru ini.

Kepada SinarPlus, Normala berkongsi platform berpesan kepada setiap individu bergelar anak.

“Bukan sahaja bapa, malah ibu. Untuk ibu kita yang jaga kita sejak lahir, berdoalah dengan ikhlas, reda dan maafkan apa jua kesalahan mereka. Hormati pendapat, simpan dalam hati keburukannya.

Iklan

“Hanya kita sebagai anak akan memahami ayah kita. Lebih baik, amalkan setiap kali selepas solat. Bayangkan jika kita anak yang tidak solat, bagaimana keadaan ayah kita di alam sana,” katanya.

Fakta menarik Normala Samsudin

Panggilan nama paling comel pernah Kak Mala terima?

  • Noi (hanya keluarga) dan Mal (cuma kawan rapat yang tahu).

Buku terakhir yang dibaca?

  • Bangkit dan Runtuhnya Andalusia karya Raghib as Sirjani

Filem terakhir yang ditonton?

  • Ertugrul yang ditayangkan di Netflix. Namun, tajuk filem yang saya tonton di panggung wayang, saya tidak berapa ingat.

Sepanjang melakukan aktiviti lasak, pernah terjatuh atau cedera?

  • Saya pernah terpelecok semasa latihan badminton tiga tahun lepas.

Sebagai bekas wartawan penyiaran, ada menulis sebarang karya?

  • Semuanya berbentuk nota diari, tidak pernah disiarkan dan hanya untuk diri saya sendiri.

Profil

  • Nama penuh: Puan Sri Normala Samsudin
  • Umur: 56 tahun
  • Asal: Segamat, Johor
  • Tarikh lahir: 4 Jun 1964
  • Adik-beradik: 9 orang
  • Hobi: Berkebun, membaca dan menulis
  • Warna kegemaran: Semua warna pastel
  • Idola: Emak
  • Suami: Tan Sri Azmi Khalid
  • Anak:cAsyraf Roslan, 31 Dr Ruhila Roslan, 27 Rubilla Roslan, 25