SELAGI belum tutup mata, kerja, kerja, kerja.” Biasa kita dengar dialog itu bukan?

Ya, selagi hidup memang kita perlu bekerja apatah lagi untuk menyara diri sendiri dan keluarga. Tidak dinafikan ramai dalam kalangan kita yang rajin membanting tulang empat kerat.

Malangnya tidak kurang juga yang sebaliknya. Terlalu manja dengan memilih kerja, mengharapkan duit mak bapak dan ada juga yang terlalu ‘penyegan’ atau malas, malu tidak bertempat, pendek kata 1,001 alasan.

Lebih teruk sudahlah susah, ambil pula jalan mudah untuk mencari rezeki dengan cara singkat seperti mencuri, meragut, menipu hingga sanggup menjadi scammer dan sebagainya.

Buat golongan muda, jika itulah sikap dan perbuatan diri, korang sepatutnya malu pada diri jika dibandingkan dengan seorang nenek dari Utara ini.

Biarpun dalam keadaan uzur, beliau tetap gigih dengan semangat untuk bekerja mencari rezeki halal biarpun pulangannya tidak seberapa.

Itu yang dikongsikan pemilik Facebook Amyrul Myrul Hashim beberapa hari lalu yang menyentuh hati netizen hingga mendapat reaksi ramai dan tular di media sosial.

Cari duit nak makan

Menurut Amyrul, nenek ini jual kelapa, ubi kayu, sedikit nanas dan labu menggunakan modal wang yang berbaki (nenek beli buah-buah itu dan jual) demi mencari rezeki.

“Bayangkan nenek yang sangat tua ini usaha cuba jualan untuk cari duit walau kudrat sendiri telah sangat uzur (bayangkan nenek dan mak kita yang tua).

“Setat (bahasakan diri) tanya nenek hasil jualan macamana.  Nenek jawab kata “tak ramai yang beli,  tapi tok kena usaha cuba menjual jugak sebab nak kena cari duit untuk duit makan”

“Nenek ni nama Siti Asa/Asiah(tak berapa jelas sebutan dia tadi,  orang tua yang dah uzur,  puasa pula). Tinggal dengan seorang anak yang kurang sihat,” kongsinya di Facebook.

Terdahulu menurutnya pada hari itu, beliau berjumpa dua keluarga yang amat susah tiada wang untuk belanja diri. Satu di Yan dan satu lagi ialah nenek ini di Sg Daun.

Kongsi Amyrul, pada mulanya beliau dah melepasi tempat lokasi nenek ni.

“Hati terlintas rasa nak jumpa jugak nenek ni.  Jadi Setat patah balik pergi ke tempat nenek ni. Memang betul kata hati nenek ni tengah sedih kesusahan.

“Tadi nenek beritahu esok dia terpaksa pindah niaga di lokasi lain sebab di situ ada orang kaya yang kurang senang nenek niaga di situ marah nenek ini supaya pergi niaga di tempat lain. Allahu. Nenek solat di tempat jualan pun dicemuh orang itu kerana dikatakan menunjuk-nunjuk solat. (Nenek ini tua uzur jln pun bertongkat mana lah larat nak jalan pulang ke rumah dan kembali ke tempat niaga,  dahla puasa!)

“Tadi Setat sempat sampaikan sedikit barang makanan dan wang.  Setat bagitau ini ialah sumbangan orangramai yang sebelum ini bagi.  Nenek doakan kepada semua. Menitis airmata,” kongsinya lagi.

Menurutnya, insya-ALLAH dalam masa terdekat jikalau ada sumbangan orang ramai atau syarikat yang wakilkan  kepadanya, beliau akan pergi kembali dan agihkan sumbangan.

Semoga jika ada yang berbaik sucihati tuhan gerakkan hati untuk buat sumbangan derma nanti dimurahkan rezeki dan diberkati, Amiin,” katanya.

Lihatlah antara komen netizen ini:

Macam mana orang muda… masih rasa malas nak berkerja dan beralasan? -AG #PastiAdaSinar