MENJADI golongan ibu dan bapa bukanlah mudah ya….

Sebab itu kadangkala ramai yang menyerah kalah dengan hanya  membiarkan takdir dan masa sahaja untuk mengubah segalanya dengan harapan kepada sesuatu itu menjadi lebih baik.

Akan tetapi, jika tiada usaha, doa dan tindakan, masakan sesuatu kesulitan termasuk dalam soal mendidik dan menguruskan anak-anak boleh berlangsung dengan baik dan jayanya?

Justeru sebagai ibu bapa, apatah lagi yang masih muda dan mempunyai anak-anak yang masih kecil, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Ibu bapa perlu sentiasa berusaha menambah ilmu di dada terutama berkaitan keibubapaan atau parenting supaya kita dapat mengasuh dan mendidik pewaris kita dengan cara sebaiknya.

Berikut antara perkongsian Pakar Motivasi terkenal, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad tentang tip emas parenting yang boleh diamalkan:

1. Kenal pasti kekuatan, kelebihan, bakat, tahap kemampuan, kebolehan, keunikan atau kehebatan anak. Fokus untuk menggilap potensi ini meskipun terpaksa mengeluarkan perbelanjaan.

2. Guna Hukum 80/20 iaitu 80 peratus pujian dan ganjaran, 20 peratus teguran dan hukuman.

3. Elakkan daripada memberikan reaksi emosi yang negatif seperti marah, herdik, sindir dan seumpamanya.

4. Usah sama sekali membandingkan anak-anak. Sedari bahawa mereka berbeza watak dan cara.

5. Ibu bapa usah segan, malu atau KEDEKUT untuk minta bantuan orang lain terutamanya ketika berdepan dengan isu anak yang kita sukar tangani.

6. Berikan anak perhatian positif. Jika tidak nanti anak-anak akan lakukan perkara negatif untuk mendapatkan perhatian.

Iklan

7. Pantau pengunaan gajet, media sosial dan internet anak-anak.

8. Terimalah hidup kita berubah apabila ada anak. Usah merungut, letih, jemu atau mengalah. Hidup adalah satu proses belajar. Dari semasa ke semasa ada sahaja perkara baru.

9. Tekad untuk menjadi contoh baik bagi anak.

Iklan

10. Usah sama sekali berputus asa dengan anak-anak. Apa juga isunya hadapi dan lalui bersama.

Amalan Dr Tengku Ismadi terhadap anaknya:

“Antara amalan saya dengan anak-anak, setiap pagi sebelum mereka ke sekolah, mereka bukan sekadar bersalaman dengannya. Tetapi, saya akan peluk mereka baik yang sekolah rendah mahu pun menengah.

“Usap kepala anak, gosok belakang anak, cium ubun-ubun anak kemudian bisik ke telinga anak ..

“Belajar betul-betul sayang, fokus dalam kelas, jaga akhlak baik-baik, jaga solat.
Alhamdulillah nampak hasilnya.
Cubalah.”

Itu antara perkongsian Dr Tengku Asmadi di Facebooknya.

Ya, mungkin bukan mudah, tapi kita seharusnya berusaha ke arah menjadi ibu bapa yang lebih baik supaya tidak dipersoalkan di ‘sana’ nanti. -AG #rantaiankasih