MENTERNAK ikan dalam sangkar bukan satu pekerjaan yang mudah. Namun minat yang mendalam mendorong seorang pemuda untuk terus cekal dalam bidang yang diceburinya sejak 2015 dan kini menikmati hasil yang lumayan.

Walaupun pada usia muda, Mohamad Adzlan Abdullah, 25, berasal dari Kampung Pangi Hujung, Kunak, Sabah mula berjinak-jinak dalam bidang ternakan ikan dalam sangkar selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Lama kelamaan beliau memulakan perusahaan itu secara serius kira-kira lima tahun lalu dengan modal RM100,000.

“Selepas mengambil SPM, bapa mendorong saya untuk mengikuti kursus ternakan ikan dalam sangkar bagi menambah ilmu. Dengan dorongan bapa, saya mulakan perusahaan ini,” katanya.

Menurutnya, dia kini menternak kira-kira 50,000 ekor ikan kerapu hibrid dan siakap untuk pasaran seluruh Sabah.

Pemuda berumur 25 tahun ternak ikan dalam sangkar untuk pasaran seluruh Sabah

Ikan terbabit boleh dijual selepas tiga bulan dan setiap ekor dijual pada harga RM4. Tambahnya, beliau juga mendapat bantuan dari Jabatan Perikanan Sabah.

“Nasihat saya kepada belia ialah rebutlah peluang yang disediakan oleh kerajaan dan bayar balik jasa ibu bapa kita,” katanya.

Pihak kerajaan telah melaksanakan projek perintis ternakan ikan dalam sangkar di Semporna, Tuaran dan Kunak, membabitkan 150 peserta.

Iklan

Memetik laporan media tempatan, projek ini akan diperluas ke daerah lain dalam fasa dua melibatkan Sandakan, Lahad Datu khususnya di Silam dan pantai barat Kota Belud serta Kuala Penyu.

Kerajaan negeri memperuntukkan RM13 juta pada belanjawan tahun lalu bagi membangunkan projek perintis ternakan ikan dalam sangkar di Tuaran, Semporna dan Kunak.

Iklan

Untuk rekod, sektor perikanan Sabah menyumbang kira-kira RM2.8 bilion kepada hasil negeri setiap tahun.

Jadi, anak muda, jangan berlengah dan rebutlah peluang yang ada di depan mata!