Oleh IZYAN LIYANA MOHD DARIF’

DALAM melayari bahtera perkahwinan, setiap pasangan pasti inginkan kesempurnaan. Janji yang terpateri ingin sehidup dan semati sehingga hujung nyawa dijaga sebaik mungkin.

Bagaimanapun, siapa kita untuk menolak takdir ajal, maut, rezeki dan jodoh kerana semuanya sudah tertulis.

Itulah liku-liku kehidupan yang dialami oleh pelakon bertubuh sasa, Keith Foo apabila ikatan perkahwinannya bersama isteri, Kim Raymond terlerai pada penghujung tahun 2019.

“Past is past. Saya menerima keputusan ini (penceraian) dengan hati yang terbuka meskipun fasa awal perasaan sedih membelenggu diri. Serba-serbi tidak kena, tetapi hari demi hari saya dapat membiasakan diri.

“Lagipun saya dan bekas isteri masih menjalinkan hubungan baik demi anak perempuan tunggal kami, Skylar Raymond Foo yang kini berusia tiga tahun.

Lagipun kami berdua sepakat untuk tidak menjadikan perpisahan itu kudis yang boleh memberikan impak negatif pada pembesaran anak,” jelas Keith berusia 38 tahun ketika ditemui SinarPlus di Menara Kuala Lumpur baru-baru ini.

Meneruskan cerita, duta produk kecantikan Crystal C White itu menjelaskan, hakikatnya bukan mudah menjalani kehidupan sebagai bapa tunggal lebih-lebih lagi apabila kesunyian itu menerpa.

Maklumlah, sebelum ini rutin hariannya sentiasa berdampingan dengan permata hati, tetapi kini beliau perlu bergilir-gilir soal penjagaan anak.

“Setakat ini semuanya berjalan lancar. Walaupun tidak lagi sebumbung itu bukan halangan buat kami bertiga melakukan pelbagai aktiviti bersama seperti beriadah ataupun bersiar-siar. Semuanya demi kebahagiaan, Skylar.

“Bukan itu sahaja, sekiranya Kim keluar dating dengan teman lelakinya, saya sanggup tawarkan diri menjaga anak di rumah. Tambahan pula, saya masih solo dan selesa dengan hidup ini, tetapi tidak pernah hati saya tertutup membina mahligai perkahwinan yang baharu,” ujar Keith atau nama sebenarnya, Foo Chuan Chin.

Nasihat Keith kepada bapa tunggal di luar sana, gagal dalam perkahwinan bukanlah pengakhiran hidup dan jangan mengambil masa yang lama untuk meratapi kesedihan.

“Celik sahaja mata saya sentiasa berazam untuk menjadi yang lebih terbaik dari semalam. Saya perlu bangkit, positif dan bekerja keras demi anak. Beliau (anak) adalah sumber kekuatan dan peniup semangat,” katanya yang selesai menjalani baki penggambaran drama 22 episod, Yang Bakal Mati Ramadan Ini untuk siaran Awesome TV.

Pencinta misi bantuan

Mungkin ramai tidak mengetahui, selain sibuk di set penggambaran dan menguruskan permata hatinya, Keith yang dilahirkan di Gemas, Negeri Sembilan juga aktif melakukan kerja-kerja amal.

Bicara pemilik laman sosial Instagram peribadi @keithfoo, jika jadual lakonannya kurang padat, beliau lebih cenderung mengisi masa lapang dengan menumpahkan bakti kepada masyarakat.

Menerusi penyertaannya bersama St John Ambulance Malaysia Negeri Sembilan, Keith bukan sahaja terlibat dalam program derma darah, bahkan turut melunaskan tanggungjawab kebajikan sampingan. Antaranya mengagihkan sumbangan barangan buat mangsa banjir di negeri tersebut.

“Sejujurnya, sejak dulu, saya meminati kerja-kerja khidmat masyarakat. Ketika melebarkan sayap karier di Indonesia pun saya melakukan tugas yang sama.

“Masih segar dalam ingatan yang mana saya bergegas mengumpul derma dalam bentuk wang untuk diberikan kepada penduduk di sebuah bandar di Jakarta susulan kediaman mereka terjejas dalam insiden kebakaran dan dinaiki bah.

“Sukar diterjemahkan dengan kata-kata kepuasan dirasai apabila diberikan kudrat dan peluang seumpama ini untuk membantu insan yang memerlukan. Melihat senyuman manis terukir pada wajah mereka sudah cukup membahagiakan hati dan lega,” ujar beliau tentang kecintaannya itu.

Oh! Keith juga antara barisan selebriti pernah menyertai program Save Our Rainforest kendalian badan bukan kerajaan, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) yang memelihara dan memulihara hutan hujan tropika dan khazanah alam negara.

“Selagi bertenaga dan sihat tubuh badan misi untuk membantu baik terhadap masyarakat mahupun alam sekitar tidak akan berhenti kerana kerja ini (amal) melengkapkan hidup saya,” tuturnya yang sanggup turun padang menghulurkan bantuan tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.

Keluarga 1Malaysia

Barangkali, dilahirkan dalam sebuah keluarga hasil perkahwinan campuran Cina (sebelah bapa) dan India (sebelah ibu) membuatkan empati Keith terhadap semua kaum bersifat sama rata.

Tidak keterlaluan penulis menyifatkan keluarga Keith boleh dijadikan contoh mencerminkan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada 2 April 2009.

Program sedemikian dilaksanakan bagi memupuk perpaduan antara kaum, etnik, sub-etnik dan kebudayaan di negara ini.

“Siapa yang tidak gembira dilahirkan, apatah lagi hidup harmoni bersama ahli keluarga pelbagai bangsa dan agama. Boleh dikatakan setiap tahun kami akan meraikan perayaan besar seperti Deepavali, Tahun Baru Cina dan Krismas.

“Ia termasuklah menghormati bulan Ramadan dan menyambut Hari Raya Aidilfitri memandangkan kakak dan abang saya adalah mualaf selepas masing-masing berkahwin dengan pasangan Melayu.

Iklan

“Ini bermakna selain berkumpul dan menikmati juadah bersama-sama, saya turut memeriahkan suasana dengan menggayakan busana tradisional mengikut perayaan. Seronok bukan?,” ujarnya disusuli ketawa kecil.

Pun begitu, tatkala teruja bercerita perihal keluarga, nada suara Keith bertukar sedih sebaik sahaja kami berbicara isu perkauman yang sengaja diwujudkan pihak tidak bertanggungjawab.

Pelakon utama drama Ariana Rose itu menzahirkan kekecewaan kerana agenda memecah-belahkan keharmonian kaum bagaikan tiada berkesudahan.

Biarpun pelbagai kempen dilaksanakan untuk memupuk perpaduan, tetapi hasilnya masih menghampakan. Pendek kata, umpama mencurah air ke daun keladi yang mana segala nasihat diberikan tidak meresap dalam diri individu terbabit.

“Secara peribadi, mereka yang tegar bermain sentimen perkauman ini kurang pendedahan. Sebab itu, dengan mudahnya bertindak melaga-lagakan tanpa memikirkan impak pada kemudian hari.

“Salah satu modus operandi menyalahgunakan platform media sosial dengan ‘mencipta’ cerita sentimen perkauman yang akhirnya menyebabkan kemarahan rakyat.

“Bertambah parah cerita palsu itu tular,  walhal perkara yang dibangkitkan ternyata tidak wujud. Itu tidak penting, asalkan matlamat pembawa berita terbabit menyaksikan pergaduhan kaum tercapai,” kesalnya.

Iklan

Tegas jejaka setinggi 175 sentimeter berkenaan, berhentilah melakukan kerja yang sia-sia. Lagipun banyak lagi isu harus diberi perhatian supaya kemakmuran dikekalkan dan pertumbuhan ekonomi negara berjalan lancar.

“Seharusnya pada tahun 2021 warga maya semakin bijak dan berfikiran kritis dalam memberi respon terhadap sesuatu isu khususnya melibatkan bangsa dan agama. Kita perlu menjaga sensiviti antara satu sama lain.

“Tambahan pula, negara kini sedang ‘berperang’ dengan pandemik Covid-19. Justeru, bukan masanya untuk rakyat bertelagah, sebaliknya kita berganding bahu melaksanakan matlamat #kitajagakita tanpa mengira warna kulit dan latar belakang.

Dalam pada itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Gemas, Negeri Sembilan turut berkongsi pendapat perihal sesetengah pihak yang menyeru agar sekolah vernakular atau sekolah jenis kebangsaan dihapuskan dan ditukar sepenuhnya kepada sekolah kebangsaan.

Cadangan penutupan tersebut dikatakan untuk memupuk perpaduan antara kaum di Malaysia.

“Ya, saya tidak menidakkan bahawa jika para pelajar tanpa mengira kaum belajar di bawah satu bumbung inisiatif ini dapat membantu  mengeratkan hubungan.

“Namun begitu, perlu difahami masalah perpaduan di negara ini bukan disebabkan sekolah jenis kebangsaan. Ironinya, berpunca dek sikap individu yang tidak tahu menilai mana baik dan buruk. Jadi, tidak adil untuk kita berterusan menjatuhkan hukum pada pihak sekolah,” katanya menutup bicara bersama kru SinarPlus pada petang itu.