SAAT menghargai anggota barisan hadapan negara yang berjuang untuk memutuskan wabak Covid-19, satu lagi kumpulan frontliner yang tidak harus dilupakan ialah pekerja pengawal keselamatan.

Barangkali ada yang ‘tidak perasan’, kehadiran golongan itu juga penting sama ada sebagai pengawal keselamatan menjaga hospital, sekolah, kediaman persendirian dan bangunan swasta dan kerajaan untuk memastikan keselamatan di tempat-tempat ini.

Mereka juga antara barisan awal dalam menyaring pengunjung misalnya ketika memasuki sesuatu bangunan dengan membuat pemeriksaan suhu.

Di pasar raya dan kedai runcit, mereka juga akan menjadi mereka yang menguatkuasakan kemestian jarak sosial dan mengatur penggunaan sanitiser pada semua pelanggan dalam barisan.

Sudah tentu dalam menjalankan tugas-tugas itu, mereka boleh menghadapi risiko pendedahan kepada virus yang tidak kelihatan, dan berjangkit sama seperti kakitangan penjagaan kesihatan barisan hadapan di hospital dan klinik.

Sedar akan perkara itu, Persatuan Pekerja Industri Kawalan Keselamatan Malaysia (PPIKKM) antara yang prihatin dengan pekerja pengawal keselamatan.

PPIKKM memulakan gerakan membekal peralatan keselamatan (perlindung muka dan cecair sanitasi tangan) ke beberapa hospital terpilih antaranya Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan dan Hospital Sultan Hj Ahmad Shah Temerloh.

Dalam perkongsiannya di Facebook, PPIKKM meminta agar sentiasa berdoa agar sahabat PK Dan PKW bertugas sebagai pengiring, Patient Under Investigation (PUI) di Hospital Temerloh sentiasa sihat dan dilindungi.

Iklan

“Tahniah kepada syarikat SediaKawal selaku majikan. Beberapa inisiatif syarikat bagi menjaga PK Dan PKW di hospital ini (Hospital Temerloh).

“Pertama, elaun tambahan (Elaun Covid) diberikan bagi setiap PK dan PKW. Kedua, subsidi makan tengah hari.

“Ketiga, penyediaan Peralatan Pelindungan Peribadi (PPE) bagi setiap PK dan PKW. Kami di PPIKKM amat berterima kasih kepada pihak Syarikat SediaKawal. Syabas,” kongsi PPIKKM di laman sosial tersebut.

Iklan

Doa Sinar Plus, semoga lebih ramai yang prihatin, termasuk pihak berkenaan dan syarikat dalam membantu golongan barisan hadapan yang sering dilihat ‘membantu di belakang’ ini!

Foto: PPIKKM