INILAH realiti hidup sekarang. Berikutan keadaan semasa dek kerana kesan pandemik Covid-19, banyak pakar ekonomi  menjangkakan aktiviti perniagaan mungkin tidak akan mencatatkan pemulihan dalam tempoh terdekat ini.

Tidak siapa mampu menyangka krisis Covid-19  boleh membawa ‘musibah’ yang lebih teruk kepada ekonomi kita  berbanding dengan krisis-krisis dalam tempoh dua dekad lalu, yang mana Malaysia menghadapi krisis kewangan Asia pada 1997, kelembapan ekonomi global selepas peristiwa 9/11 pada 2001 dan krisis kewangan global pada 2008.

Sektor pengangkutan udara juga terjejas kerana syarikat penerbangan terpaksa menghadkan atau memberhentikan seketika operasi penerbangan segmen di luar negara.

Susulan daripada syarikat penerbangan di seluruh dunia mengurangkan pekerja akibat pandemik Covid-19, Malindo Airways Sdn Bhd juga tidak terkecuali dalam mengambil langkah itu.

Baru-baru ini dilaporkan bahawa syarikat penerbangan perkhidmatan penuh hibrid itu dijangka akan memberhentikan sekitar 2,200 kakitangan atau lebih daripada separuh daripada 3,200 tenaga kerjanya.

Pastinya perkara itu membuatkan ramai individu di negara ini akan hilang sumber pendapatan, sama ada yang bekeluarga mahupun bujang.

Maka, untuk meneruskan kelangsungan hidup, ada yang terpaksa merangka pelan baharu untuk mencari rezeki dan terpaksa ‘menggantung baju’ apabila bidang lain yang telah dipilih.

Namun, bak kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Jika mahukan sesuatu, pasti pelbagai usaha akan dilakukan.

Iklan

Demikianlah yang dilakukan oleh seorang individu apabila beliau dilihat masih belum ‘menggantung baju’ walaupun bidang yang dilakukan sekarang jauh berbeza dengan apa yang dibuat sebelum ini.

Apa yang dibuat adalah beliau masih lengkap berpakaian seragam juruterbang ketika mengambil keputusan untuk ‘menyambung’ hidup mencari rezeki dari dunia penerbangan ke gerai di jalanan.

Iklan

Perkongsian itu dibuat oleh bapa juruterbang lelaki itu sendiri dalam satu posting di laman Facebook yang dikenali sebagai Mohamad Zawawi Ahmad baru-baru ini.

“Semalam, anak saya Kapten Azrin Mohamad Zawawi mengendalikan gerai Kapten Corner miliknya di Boom Town USJ 11 dengan berpakaian seragam lengkap juruterbang.

“Dia tidak akan tahu waktu bila dia bakal menyarung pakaian seragam juruterbang itu lagi kerana tiada siapa yang tahu tentang masa depan industri penerbangan hari ini.

“Kepada semua rakan-rakan, jemputlah datang ke gerainya untuk menikmati juadah enak seperti mi kari, mihun sup, laksa utara dan rojak buah,” tulisnya.

Syabas Kapten! Semoga urusan anda dipermudahkan dan bakal menjadi sumber inspirasi buat mereka diluar sana yang menghadapi nasib sama.