TIDAK dinafikan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula 18 Mac lalu bagi memerangi penularan wabak Covid-19, sebahagian besar individu terjejas sumber pendapatan khususnya mereka yang bergantung pada gaji dan jualan harian.

Manakan tidak, sepanjang tempoh PKP yang dijadualkan berlangsung sehingga 28 April ini, masyarakat diminta duduk di rumah bagi membantu memutuskan rantaian virus kejam terbabit.

Sehubungan itu, menyedari situasi tersebut dan enggan membiarkan keluarga terputus bekalan makanan asas, Klinik Anda Wangsa Melawati di Dataran Wangsa, Kuala Lumpur melaksanakan tanggungjawab sosial.

Menerusi laman sosial Facebook, pihak klinik mengalu-alukan para penduduk di kawasan sekitar untuk singgah mengambil stok makanan asas secara pandu-lalu (drive-thru) di pusat kesihatan berkenaan.

klinik amal pkp
BARANGAN asas siap dibungkus diletakan di luar Klinik Anda Wangsa Melawati bagi memudahkan urusan pengambilan keluarga yang memerlukan.

“Buat warga penduduk Wangsa Melawati, Wangsa Maju atau sekitar Klinik Anda Wangsa Melawati yang terjejas sumber pendapatan sepanjang PKP, silalah drive thru ke klinik dan mengambil barang makanan asas untuk keperluan anda sekeluarga.

“Sila layan diri, terhad satu pek untuk satu keluarga. Harap bertimbang rasa dan tidak mengambil lebih daripada yang diperlukan,” tulis mereka ringkas.

Iklan

Selain barangan asas seperti beras, gula, minyak, biskut, mi segera dan makanan dalam tin pihak klinik juga menawarkan susu formula untuk bayi.

Iklan

“Anda cuma perlu minta (susu formula) di kaunter. Staf kami akan membantu.

“Kami membantu bukan kerana kami berada (mewah), tetapi kami tahu bagaimana rasanya tiada. Semoga sedikit bantuan ini kembali menceriakan anda sekeluarga. Senyuman anda kebahagiaan kami,” ujarnya.