PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) kini memasuki fasa ketiga. Jika membelek satu persatu baik foto mahupun status yang dimuat naik di dalam laman sosial bermacam-macam ragam dapat dilihat.

Bagi pasangan suami isteri tempoh PKP membawa hikmah positif kerana ia merapatkan hubungan kekeluargaan dan kasih sayang. Namun begitu, di sebalik kebahagiaan itu terdapat segelintir pihak khususnya para isteri diduga keperitan.

Situasi itu diakui oleh Pakar Perhubungan dan Keintiman, Diyana Tahir. Beliau tidak menolak kemungkinan sepanjang pelaksanaan perintah terbabit berlakunya kes keganasan rumah tangga dan penderaan.

Ia berikutan rata-rata pasangan terpaksa meluangkan masa bersama keluarga di rumah. Jadi tekanan demi tekanan terpaksa dilalui khususnya mereka yang sedang mengalami konflik.

“Seharusnya pasangan suami isteri mengambil peluang tempoh PKP yang kini memasuki fasa ketiga. Pada kesempatan itu adalah lebih baik menyemai dan mencambahkan benih cinta antara satu sama lain.

“Usaha ini secara tidak langsung mencipta bahtera perkahwinan yang harmoni, bahagia dan selamat. Oleh itu, jangan meletakkan tanggungjawab sepenuhnya pada suami. Tiada salahnya para isteri berusaha memenangi hati si dia,” katanya kepada Sinar Plus hari ini.

TIP
DIYANA menyifatkan tiada salahnya para isteri memulakan langkah menambat dan memikat hati suami. 

Dalam itu, bagi mengelakkan berlakunya pergaduhan, sekali gus menjurus pada penderaan beliau menasihatkan isteri di luar sana agar tidak melakukan tujuh perkara.

Tujuh punca pergaduhan harus dielakkan sepanjang tempoh PKP adalah:

1. Tabiat suka mengungkit
2. Para isteri suka mengajar suami
3. Suka membanding-bandingkan pasangan dengan orang lain
4. Meninggi diri dengan suami
5. Merendah-rendahkan pasangan
6. Sentiasa nak menang
7. Suka tukar topik apabila bertengkar

Tambah Diyana, satu fakta yang perlu difahami sifat lelaki lazimnya ingin dihormati. Apabila kaum Hawa melakukan tujuh kesalahan tersebut ia akan menyebabkan pasangan rasa tidak dihormati dan ego tercalar sehingga mereka bertindak kasar.

Iklan

Kadangkala agresif para suami di luar batasan dek rasa marah dan tercabar dengan tingkah laku isteri.

tip hubungan

“Justeru, wahai wanita ketahuilah bahawa kasih sayang, kelembutan dan keprihatinan anda boleh mengubah tekanan menjadi ketenangan.

Iklan

“Kuncinya, jangan berhenti mendalami ilmu rumah tangga. Pada masa sama berusaha membentuk diri menjadi sumber yang memancarkan kebahagiaan dan kasih sayang. Percayalah, sedikit demi sedikit aura itu akan meresap dalam diri suami dan anak-anak,” terang beliau.

Talian Kasih
Dalam perkembangan berkaitan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) mewujudkan talian khas bagi membantu mangsa keganasan rumah tangga serta penderaan kanak-kanak dalam tempoh PKP.

Bagi mereka yang memerlukan bantuan hubungi Talian Kasih 15999 atau WhatsApp 019-261 5999.