DEK keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu pada masa sekarang, ramai melihat potensi bidang pertanian untuk diterokai.

Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Berbudi pada tanah Insya-Allah pasti tidak sia-sia. Yang penting asas untuk menjadi petani yang berjaya perlu ada.

Kongsi pembimbing perniagaan, Baharuddin Mohamed, 43, atau lebih dikenali sebagai Coach Bahar, mereka yang benar-benar fokus terhadap usaha bertani boleh menjana pendapatan lumayan.

“Saya sendiri bercucuk tanam hanya di kawasan sekeliling rumah sahaja. Alhamdulillah berjaya buktikan mampu menjana pendapatan RM5k sebulan,” kata Coach Bahar yang mengusahakan hasil tani dari Parit Jawa, Muar, Johor ini kepada SinarPlus.

Bagaimana untuk menjadi petani jaya?

Berikut 8 tip atau pantang larang sebelum korang mahu jadikan pertanian sebagai kerjaya yang dikongsikan Coach Bahar:

1. Jangan curi duit kebun sendiri

Biasanya petani yang baru membuat kesilapan bila mereka campurkan duit hasil kebun dengan duit sendiri.  Nanti duitnya tak nampak.  Duit tulah nak bayar pekerja,  nak beli racun dan baja lagi musim akan datang dan lain-lain.  Sepatutnya anda hanya ambil gaji je dulu.

2. Jangan sesekali buat pinjaman bank untuk mulakan projek pertanian

Berkebun ni risiko yang tinggi. Kalau baru mula buat projek jangan nak buat pinjaman berpuluh ribu. Belajar daripada bawah dan buat sikit dulu. Jangan sekali buka sampai 10 ekar. Kena sediakan duit RM40 ribu untuk projek 1 ekar projek fertigasi.  Jangan nak berangan-angan yang indah-indah.  Perlu tahu ramai yang mula,  gagal hanya pada percubaan mereka yang pertama.

3. Berkulilah dulu sebelum jadi tauke

Anda perlu tahu semuanya termasuk pengurusan kebun,  meracun,  jenis penyakit,  jenis merawat. Jangan mengharapkan orang A to Z.  Payah orang nak jaga kebun kita sama macam kebun sendiri.

4. Perlu cari ilmu yang betul

Belajar dan belajar.  Buat kajian demi kajian.  Jangan putus asa jika experiment pertama kali anda gagal.  Belajar daripada guru yang betul yang telah lama dalam bidang fertigasi. Paling penting setelah sekurang-kurangnya 2 tahun, anda punya formula sendiri bagi menguruskan kebun anda.

Coach Bahar menunjukkan hasil dari kebun diusahakan beliau.

5. Yakin pada diri sendiri dan kurangkan dengar cakap orang yang negatif

Terlalu mendengar cakap orang, anda akan melangkah kebelakang.  Anda perlu cari rakan-rakan yang positif.

” Tempat paling baik untuk anda mendapatkan idea 💡 adalah di meja makan, tetapi perkara yang lebih penting daripada itu adalah dengan siapa kita makan.

6. Perlu pandai kira-kira

Janganlah kira-kira sikit.  Kena tahu yang anda perlu tanam lebih 1,000 polybeg jika nak jadikan kebun fertigasi ni sebagai pendapatan utama. Kalau tanam 300 polybeg macam mana nak dapatkan ROI.

Seekar 4 -5 ribu polybeg. Kalau buat cara gantung boleh dapat 10 ribu polybeg.  Mesti ada pendapatan harian,  mingguan,  bulanan.  Kapasiti 1 orang pekerja adalah 4,000 polybeg.  Jika ada 2 pekerja anda perlu ada lebih 8000 polybeg pelbagai tanaman.

7. Kena tahu serba sedikit ilmu marketing 

Iklan

Mungkin ramai orang boleh menanam tapi tak ramai yang pandai menjual.  Jika harga sayur pada pemborong murah.  Perlu rajin buat jualan sendiri.  Jual pada orang kampung,  kawan-kawan dan warong. Jangan hanya jadi pekebun tapi jadi usahawantani.

8. Nak berkebun perlu sabar dan usaha bersungguh

Subjek yang saya minat semasa zaman persekolahan dan di universiti dulu adalah subjek matematik. Subjek ini perlukan latih tubi yang tidak henti setiap hari untuk menguasainya. Jika anda sudah menguasai sesuatu sub topik biasanya datanglah soalan macamanapun anda akan dapat menyelesaikannya dengan cepat dan mudah. lebih banyak latihan, lebih cepat anda boleh selesaikan soalan berikutnya. Kemahiran anda menguasai subjek itu adalah selari dengan latih tubi yang berterusan.

Saya gunakan anologi yang sama tentang perkara ini untuk pandai berniaga. Dalam buku metametik ada banyak sub topik untuk anda menguasainya. Anda perlu menguasai setiap sub topik dalam perniagaan dan buat latihan. Semakin banyak anda berlatih, semakin minat anda buat dan semakin lama anda berpengalaman menjadikan anda semakin mahir menguasai ilmu perniagaan. kadang-kadang ada perlu gabungan pengetahuan dari semua sub topik tadi untuk menyelesaikan satu soalan rumit.

Dalam proses menguasainya, anda perlu bersabar dan bersabar. Mungkin anda tersalah cara jalan tetapi membuatkan anda lebih berhati-hati untuk menyelesaikan soalan seterusnya yang lebih kurang sama. Gabungan pengetahuan pemasaran, pengurusan, operasi membuatkan anda cepat matang.

Saya pernah membuka beberapa perniagaan yang modalnya bukan sedikit dan pendapatan jualan kurang daripada overhead yang diperlukan. Saya rugi RM10 ribu sebulan dalam tempoh 6 bulan berturut-turut. Saya berfikir, saya mencari formula, saya mencuba pelbagai experiment, saya banyak belajar hingga saya berjaya membuatkan syarikat itu berkeuntungan dari keadaan rugi sebelumnya, membuatkan saya puas. Ini semua kerana saya pasti mesti ada jalannya penyelesaiannya dan perlu bersabar.

Iklan

Jika anda membina sebuah perniagaan yang baru, ia perlukan tenaga, perlukan idea, perlukan modal. Cuba bayangkan anda membanggunkan sebuah restoran dengan kos renovation RM300,000 dan putus asa dengan usaha anda hanya kerana anda rugi sebulan RM5,000. Jika anda teruskan anda baru rugi RM5,000 sebulan tetapi jika anda tutup sekarang anda sudah rugi RM300,000 sekali gus.

Dalam penulisan saya sebelum ini saya ada nyatakan yang anda sepatutnya mempunyai cash untuk wang pusingan selama sekurang-kurangnya 6 bulan. Ya …ya … saya faham, anda rugi tapi usahalah dan bersabar. Inilah berniaga namanya. Saya juga tahu teori yang menyatakan anda perlu tahu bila anda perlu berhenti jika perniagaan anda mengalami kerugian. “Tanya pada diri, kenapa aku tak boleh sedangkan ramai peniaga di luar sana boleh melakukan nya”. Selalu saya percaya yang jawapan pertama saya fikir adalah jawapan terbaik untuk saya buat, tentu ada jalannya.

Nasihat Coach Bahar agar mereka berminat berniaga perlu bersungguh-sunggguh dan cintakan pertanian. Alang-alang mandi biar basah, alang-alang berniaga biar sampai kaya.

Pendatang halal dan haram pun boleh berniaga menjadi kaya raya di Malaysia kenapa kita tak boleh. Bersungguh-sungguh lah. Ada beberapa peniaga melayu yang saya jumpa mempunyai pendirian berbeza. Kata mereka “saya berniaga nak senang sikit, tak tergopoh masuk kebun 7 pagi sebab saya kerja sendiri dan ini syarikat saya sendiri”.

“Ramai menyangka dengan berniaga mereka boleh bersenang lenang, SALAH. sepatutnya anda perlu lebih kuat berusaha, kalau dulu anda datang pejabat jam 8 sekarang berniaga anda datang jam 6 pagi.

“Semakin anda berusaha kuat semakin cepatlah hasilnya anda tuai,” katanya.

Moga terinspirasi! -AG #JanganPutusAsaMalaysia