RAMAI beranggapan jika punya kelulusan akademik yang tinggi hingga sampai ke peringkat Doktor Falsafah (PhD), pasti pencapaian yang ada itu memudahkan kehidupan masa depan bukan?

Namun begitu, nampaknya tidak kurang juga dalam kalangan golongan dikatakan bijak pandai itu berdepan masalah pengangguran. Mereka sukar mencari pekerjaan, tambahan lagi yang ‘kena’ dengan subjek ilmu yang dipelajari semasa menuntut di universiti.

Ramai siswazah, lulusan universiti yang mengeluh tidak mendapat pekerjaan seperti yang diidamkan. Justeru, untuk apa belajar ‘tinggi-tinggi’?

Perkongsian konsultan pendidikan yang juga merupakan seorang tutor, Dr Nor Tutiaini Ab Wahid ini diharap dapat membuka mata golongan berkenaan yang masih dalam dilema dan mencari-cari arah hala tuju dalam bidang pekerjaan.

Dr Nor Tutiaini

Keadaan kurang menyebelahi?

ISU lulusan pascasiswazah menganggur kebiasaannya timbul ketika musim konvokesyen. Pelbagai pihak dan individu akan tampil memberikan komentar tentang ramai lulusan pascasiswazah yang berjaya memperoleh ijazah namun masih belum berjaya mendapatkan pekerjaan.

Statistik Pendidikan Tinggi 2018 menunjukkan seramai 481 lulusan Doktor Falsafah (PhD) dan 2,314 lulusan sarjana belum bekerja. Statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Tenaga Kerja Malaysia pula menunjukkan 213,869 siswazah aktif mencari kerja dengan 679 orang adalah lulusan PhD. Ada dalam kalangan lulusan pascasiswazah ini terpaksa bekerja sambilan yang tidak setaraf dengan kelulusan yang dimiliki. Banyak faktor yang mempengaruhi isu pengangguran dalam kalangan siswazah dan pascasiswazah termasuklah unjuran laporan yang tidak tepat, siswazah yang tidak kompeten, pensyarah yang tidak berkemahiran dan ekonomi yang lembap. Saya tidak berniat untuk mengulas faktor-faktor itu kerana untuk menangani punca-punca di atas memerlukan penstrukturan yang bersifat menyeluruh yang perlu ditangani oleh semua pihak dan memerlukan rombakan bermula daripada amalan, polisi, pentadbiran sehinggalah model ekonomi negara.

Mencipta peluang

Saya lebih berminat untuk mengulas apa pilihan yang siswazah ini ada untuk mencipta peluang kepada diri sendiri dalam keadaan yang kurang menyebelahi mereka? Di sebalik isu pengangguran, timbul isu lain apabila ramai lulusan pascasiswazah terutamanya lulusan PhD yang berebut-rebut memohon jawatan pensyarah termasuk mereka yang sudah mempunyai pekerjaan yang stabil di organisasi masing-masing. Namun, kenyataannya bukan senang untuk mendapat tempat sebagai pensyarah di universiti awam dan swasta kerana persaingan semakin sengit dan kekosongan adalah sangat terhad. Dalam banyak kes, universiti biasanya mempunyai calon sendiri yang ditaja dalam bidang khusus yang dikehendaki melalui pelbagai skim yang disediakan oleh universiti. Banyak juga kes universiti meletakkan prasyarat yang tinggi untuk memohon jawatan pensyarah seperti pemohon perlulah menerbitkan sekurang-kurangnya tiga artikel dalam World of Science (WOS) atau International Scientific Index (ISI) atau telah menerbitkan buku berwasit yang diterbitkan oleh penerbit tersohor. Tidak semua calon PhD mempunyai peluang untuk menerbitkan buku semasa pengajian mereka atau menerbitkan artikel di WOS, ISI dan Scopus. Sudah tentu keadaan ini menimbulkan peluang yang tidak sama rata kepada siswazah untuk memohon sebagai pensyarah kerana kebanyakan mereka gagal di peringkat prasyarat lagi dan terus tidak layak memohon.

Perangkap identiti

Ironinya, di Malaysia PhD dan jawatan pensyarah tidak boleh dipisahkan kerana ramai yang berpendapat lulus PhD perlu menjadi pensyarah. Sekiranya gagal menjadi seorang pensyarah, mereka mula kecewa dan merasakan hidup ini tidak adil. Keadaan ini dikenali sebagai perangkap identiti (identity trap). Keadaan ini wujud hanya kerana kita rasa ia perlu begitu, dan nilai itu ditetapkan oleh masyarakat sekeliling termasuklah diri sendiri. Perangkap identiti menyebabkan individu terperangkap dalam satu identiti dan sukar menerima perubahan lain dalam hidupnya. Ramai siswazah yang menjadi mangsa perangkap identiti sehingga mereka gagal melihat atau mencipta peluang untuk diri sendiri.

PhD proses mendidik

PhD itu sendiri merupakan proses untuk mendidik individu menjadi seorang penyelidik yang matang dan berdikari. Ia bukan semata-mata untuk mendapatkan jawatan, pangkat, penghormatan, pengiktirafan atau skim gaji yang lebih baik. Ia lebih kepada membentuk individu sebagai manusia yang lebih menghargai ilmu dan mementingkan amal serta adab dalam setiap pekerjaan yang dijalankan. Proses itu sendiri mendidik individu untuk lebih sistematik dalam melakukan proses kajian, lebih matang dalam mengemukakan hujah, lebih kritis dan kreatif dalam mencari penyelesaian kepada masalah. Memperoleh PhD bukan bermaksud lebih pandai daripada yang lain, tetapi ia lebih kepada bersedia untuk lebih banyak belajar.

Bagi lulusan PhD yang sudah mempunyai pekerjaan yang stabil dan terjamin, mereka boleh sahaja terus bekerja dalam organsisasi yang sama dengan amalan pekerjaan yang lebih teratur dan kemahiran membuat keputusan yang lebih matang. Amalkan proses penyelidikan yang diperoleh semasa PhD untuk membantu meningkatkan kecemerlangan organisasi dan pada masa yang sama menambah nilai diri sendiri dalam organisasi.

Bagi lulusan PhD yang menyambung pengajian terus menerus daripada siswazah ke pascasiswazah tanpa pengalaman kerja, mereka mempunyai lebih banyak peluang untuk mencuba. Bagi yang berminat dalam penyelidikan, mereka boleh mencuba jawatan post-doctoral research fellow (PDRS) di universiti tempatan atau luar negara untuk mengasah kemahiran dalam menjalankan penyelidikan. Mereka juga boleh memohon jawatan dalam industri yang berkaitan atau tidak berkaitan bidang pengkhususan dengan gaji yang sedikit rendah. Lulusan PhD seharusnya boleh mendidik diri supaya lebih bersedia untuk belajar bagi membina kemahiran diri terlebih dahulu. Tidak mustahil selepas 10 tahun jika mereka kompeten, pendapatan mereka dalam industri akan lebih tinggi daripada pensyarah di universiti dan menjadi pekerja mahir serta menjadi rebutan.

Menyumbang kepada komuniti

Bagi lulusan PhD yang masih tercari-cari peluang untuk menyumbang kembali kepada komuniti, mereka boleh mencipta peluang kerjaya untuk diri sendiri. Sebagai seorang lulusan PhD sudah tentu mereka terdidik dengan budaya perkongsian dan penyelidikan, mereka boleh mula berkongsi idea dan kemahiran penyelidikan yang diperoleh untuk membantu rakan-rakan pascasiswazah supaya lebih bersedia mengharungi perjalanan PhD mereka pula. Mereka juga boleh melibatkan diri dalam persidangan atau seminar-seminar kebangsaan dan juga antarabangsa, menulis serta menghantar artikel untuk diterbitkan dalam jurnal. Sekarang, dunia memang benar-benar tanpa sempadan dan maklumat hanya di hujung jari. Mereka boleh berkongsi maklumat tentang penyelidikan menerusi pelbagai platform termasuk media sosial sehingga kemahiran mereka diiktiraf dan dikenali oleh pembaca serta pakar-pakar dalam bidang pengkhususan mereka. Dengan itu, lebih banyak peluang yang akan hadir untuk mereka bagi membina kerjaya dengan cara tersendiri.

Kemahiran berniaga

Bagi lulusan PhD yang mempunyai kemahiran berniaga, kemahiran penyelidikan boleh diaplikasikan dalam bidang perniagaan yang sudah tentu sangat memerlukan corak pemikiran yang kritis dan kreatif. Kerajaan juga banyak menyediakan pelbagai skim untuk membantu perniaga-peniaga kecil. Pilih perniagaan yang kurang risiko supaya boleh bermula dengan modal yang kecil. Pilihan lain yang boleh dipertimbangkan ialah dengan memanfaatkan kemahiran penulisan dengan mula menulis buku-buku ilmiah atau separa ilmiah bagi mendidik dan menyumbang kembali kepada komuniti. Di Malaysia, ramai jutawan senyap yang merupakan penulis buku, pengusaha syarikat dan social media influencer.

Mencipta kerjaya

Saya merupakan pemegang PhD dan saya bukan pensyarah. Permohonan saya pernah berjaya kemudian dicantas pada yang ditolak dan berkali-kali senyap tanpa jawapan. Akhirnya saya memilih untuk bina peluang dengan mencipta kerjaya untuk diri sendiri dengan cara saya sendiri. Saya mula berkongsi dan menyediakan platform alternatif bagi memanfaatkan kembali golongan pascsiswazah. Ini adalah soal pilihan. Anda boleh sahaja menjadi menghantar makanan Grab Food yang mempunyai PhD, pada masa yang sama terus istiqamah berkongsi ilmu dan kemahiran penyelidikan dalam pelbagai platform sehingga dikenali. Uniknya, bagi graduan PhD, apapun pekerjaan mereka, anugerah Doktor Falsafah dengan gelaran “Dr” itu tidak akan hilang dari nama mereka. Itulah lambang kesarjanaan mereka.

Persoalannya di sini, sejauh mana lulusan PhD mahu menggunakan kemahiran mereka bagi mencipta peluang untuk diri sendiri dan keluarga? Pada masa yang sama memanfaatkan manusia lain. Mungkin langkah pertama yang perlu mereka lakukan ialah memilih untuk keluar daripada perangkap identiti supaya mereka lebih terbuka kepada peluang lain dalam kehidupan dan lebih menghargai setiap peluang yang hadir. Apapun pekerjaan sekarang, sentiasa bersyukur dengan peluang sedia ada dan jangan pernah putus asa untuk terus mencipta peluang yang lebih baik. Usah biarkan diri terperangkap dalam perangkap identiti. Hidup ini penuh dengan pilihan, pilihlah!

-Dr Nor Tutiaini Ab Wahid

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi SinarPlus dan Sinar Harian)