SEMALAM warga net khususnya pengikut setia Ustaz Ebit Lew terkejut dengan pengumuman menyedihkan daripada pendakwah tersebut.

Menerusi status yang dimuat naik di laman sosial Facebook, beliau menzahirkan hasrat terpaksa berhenti berkhidmat dalam menghulurkan bantuan kepada golongan susah dan memerlukan.

Pengumuman tersebut turut mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang berkongsi pandangan beliau terhadap Ustaz Ebit di laman sosial, Twitter semalam.

Menurut Reezal, secara peribadi beliau mengagumi penat jerih individu bernama Ustaz Ebit Lew yang menjalankan kerja dakwah di seluruh negara.

ustaz ebit lew
USTAZ EBIT antara pendakwah bebas yang sentiasa membantu golongan susah di seluruh negara.

“Adab dakwahnya luar biasa. Tidak pernah menghakimi. Membawa ayat dan bahasa menusuk jauh ke sudut hati.

“Malangnya, beliau sering berhadapan ujian yang ada kalanya bukan kecil. Seperti yang pernah beliau ungkapkan sendiri (sebelum ini) ‘lelah dan adakala menangis dengan dugaan berterusan’,”tulis Ahli Parlimen Kepala Batas itu.

Iklan

Pun begitu, Reezal juga menyifatkan ujian dan cabaran yang dihadapi Ustaz Ebit hadir dalam pelbagai wajah. Kekuatan, ketahanan dan ketabahan diri menjadi perisai mengecapi kejayaan.

Iklan

“Saya mendoakan Ustaz Ebit Lew terus diberi kekuatan dan ketabahan dalam menempuhi liku-liku perjuangan memperluas dakwah agama ALLAH SWT.

“Bertabahlah dengan segala ujian dari-NYA kerana kasih sayang ALLAH mengatasi segalanya. ALLAH SWT akan melindungi mereka yang ikhlas dan jujur menjaga syiar agama-NYA,” jelas Reezal.