SIAPA yang boleh tahan sampah sarap terpampang di depan mata? Bagai menusuk hati dan pandangan dibuatnya jika terpaksa berdepan keadaan sedemikian terutama buat golongan yang sukakan kebersihan dan kecantikan.

Tapi itulah dia… biar pun kadang pembobrokan disebabkan tangan-tangan manusia hingga mencemarkan pemandangan alam sekitar itu berlaku di depan mata, tapi ramai yang hanya mampu memandang tanpa berbuat apa-apa.

Hairan sungguh dengan sikap-sikap manusia yang suka membuang sampah di merata tempat lebih-lebih lagi di lokasi rekreasi kunjungan orang ramai tanpa rasa bersalah.

Sudah tentu orang lain hendak berkunjung ke situ bagi menikmati pemandangan cantik dan indah, selain bersantai ria. Malangnya apa yang tersaji di depan mata jadi sebaliknya.

Panorama menawan anugerah ILAHI dicemari dengan sampah-sarap yang dibuang merata oleh tangan-tangan manusia yang tidak menggunakan akal sebaiknya.

Itulah yang dikesalkan insan bernama Muhamad Mufarizam Yahir, pemuda yang merupakan pencinta alam sekitar ini.

Dek tak tahan dengan keadaan sampah yang sering dicampakkan sesuka hati terutama di lokasi rekreasi kunjungan ramai, beliau mengambil inisiatif mengutip sendiri sampah terbuang yang ditemuinya.

Disebabkan suka berbasikal, pemuda berusia 37 tahun ini mengambil inisiatif menunaikan tanggungjawab sosial berbuat demikian ketika melakukan aktiviti tersebut terutama pada hujung minggu.

“Sebenarnya, dah dua tahun juga saya buat kerja ni (kutip sampah) sambil berbasikal. Sebab saya memang tak boleh tengok sampah bersepah ni.

“Setakat ni dah merata tempat juga yang saya buat kerja ni. Selalunya seorang, kadang-kadang dengan tim dan kawan-kawan. Antara terbaru, saya kutip sampah ni masa balik di kampung saya di Terengganu iaitu di Jambatan Angkat Kuala Terengganu-Seberang Takir,” kongsinya dengan SinarPlus.

Berkongsi tentang sikap yang membuang sampah merata-rata di kawasan Jambatan Angkat Kuala Terengganu-Seberang Takir itu, lelaki itu kesal, masyarakat tak mengambil berat membuang sampah ke dalam tong sampah, biarpun kemudahan itu disediakan setiap 50 meter di laluan terbabit.

Lihat sajalah antara video yang tular dikongsikan Mufarizam yang juga dikenali dengan nama Hero Sampah di medsos ini semasa usahanya mengutip sampah di kawasan Jambatan Angkat Kuala Terengganu-Seberang Takir, hujung minggu lalu:

https://www.facebook.com/sinarplus.sinarharian/videos/3809247002423924

Iklan

Terdahulu Pembantu Penguatkuasa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) di Segamat, Johor yang juga bapa kepada seorang cahaya mata itu turut berharap usahanya itu dapat mendidik orang ramai agar menjaga alam sekitar.

Beliau turut melakukan aktiviti sama di kawasan awam sekitar Segamat.

“Mula nak buat kerja ni memanglah ada rasa malu. Tapi sekarang tidak lagi, saya pasti ramai yang sokong usaha ni walaupun tak dinafikan segelintirnya ada yang memandang serong,” kongsinya.

Iklan

Ini antara nukilan Hero Sampah ini yang diharap dapat dihayati bersama:

Buat baik kerana manusia kita jadi penat.
Buat baik kerana ALLAH pasti kita terus bersemangat…..
Buat baik ALLAH Sayang…..💚❤
Jom kita jaga kebersihan tempat kita..

Moga terinspirasi dengan perkongsian beliau. Diharap juga Hero Sampah ini dan lebih ramai wira-wira yang sayangkan alam sekitar dapat bangkit memastikan perkitaran sentiasa bersih dan sihat.

SinarPlus doakan agar kita dapat menjaga kebersihan negara yang tercinta ini sebagai warisan terbaik pada generasi mendatang. Aamiin -AG #janganputusasamalaysia