PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki hari ke 34, sama sekali tidak mematahkan semangat seorang suri rumah yang mencari rezeki melalui perniagaan sandwic.

Memetik laporan Bernama, Siti Amirah Othman, 35, yang dibantu suaminya, mengoptimumkan sepenuhnya penggunaan platform media sosial seperti Instragram dan Facebook untuk mempromosikan produk sandwichnya yang diberi nama “Sandwich Terliur”.

Beliau yang memulakan perniagaan sandwicnya menerusi platform dalam talian pada 2017 kini giat melakukan promosi antaranya dengan menghasilkan beberapa video menarik bagi menarik perhatian pengikutnya di media sosial tersebut.

“Saya buat video promosi produk sandwic berdurasi antara lima ke enam saat untuk menarik minat pembeli dan semuanya saya reka sendiri.

“Sepanjang waktu PKP, saya banyak habiskan masa di rumah… jadi inilah masanya untuk gunakan sepenuhnya laman media sosial seperti Facebook untuk perkenalkan produk yang saya jual kepada pengguna,” katanya.

Siti Amirah berkata dalam tempoh PKP ini, peniaga perlu mengambil peluang menembusi pasaran di media sosial kerana orang ramai kerap melayari laman sosial untuk membeli produk.

“Sekarang pesanan semua melalui aplikasi dalam talian dan ada juga menerusi Facebook dan Instagram, jadi peluang untuk pelanggan melihat produk kita lebih tinggi.

“Kemungkinan untuk produk terjual adalah lebih tinggi cuma perlu kesabaran dan kerja keras untuk jayakan perkara ini,” katanya.

Mengenai prestasi jualan semasa tempoh pelaksanaan PKP, beliau mengakui yang ia sedikit merudum namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus menjual produk itu.

“Sama seperti peniaga lain, jualan ketika ini turun antara 40 hingga 50 peratus berbanding hari-hari biasa,” katanya.

Iklan

Menurutnya, sebagai mematuhi perintah kerajaan untuk kekal di rumah dalam tempoh PKP ini semua barang mentah untuk membuat sandwic dibeli menerusi penghantar makanan.

Siti Amirah yang merupakan peserta program e-Usahawan kelolaan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) berkata agensi itu telah membantunya mempromosikan produk “Sandiwch Terliur’ beliau ke seluruh kawasan walaupun di ceruk kampung.

“Saya juga diberi peluang untuk luaskan produk di FB Ads, yang mana medium berkenaan mampu mencapai lebih ramai pelanggan dan belajar apa itu prospek penyasaran dengan lebih tepat dan berhasil,” katanya.

Iklan

Selain itu, katanya, MDEC juga memberi latihan dan promosi kepada peserta program tersebut untuk memasarkan produk mereka pada segmen tertentu untuk mempelbagaikan konsep jualan.

“MDEC juga mengaturkan pertemuan dengan syarikat-syarikat besar dan membuat sesi ‘business matching’ (padanan perniagaann) bersama peserta program,” tambahnya.

‘Sandiwch Terliur’ mempunyai lapan menu utama iaitu Eggwich, Sardin wich, Tunawich, Chicktuna, Eggtuna, Chicksweety, Chick Cheezy yang dijual pada harga antara RM33 ke RM48 bagi 24 keping sandwic.