KASIH sayang seorang anak yang tidak sanggup meninggalkan bapanya yang bersendirian di kampung selepas ibu tercinta meninggal dunia memang satu perilaku yang mulia.

Daripada banyak kisah yang diperihalkan, kisah Mohd Amirul Alif Azlan merupakan satu cerita yang boleh dijadikan teladan untuk semua.

Masakan tidak, demi ayahnya, beliau sanggup mengetepikan impian bekerja di hotel terkemuka meskipun memiliki bakat hebat dalam bidang kulinari.

Kata Mohd Amirul, arwah ibunya, Hamiliza Ngatiman sememangnya mahu dirinya berjaya dalam bidang perhotelan, namun pemuda berusia 22 tahun itu percaya dengan rezeki kurniaan ALLAH SWT.

alif jaga bapa

Menerusi Facebooknya, beliau antara lain berkata:
Alhamdulillah umur 22 tahun sudah ada kedai sendiri, perlahan-perlahan kita kumpul harta sendiri. Terima kasih ALLAH, ayah dan arwah mama!

Kalau sekarang arwah mama masih ada, mesti aku kerja dalam hotel sebabnya arwah mama berharap aku berjaya dalam bidang kulinari aku.

Dia tak mahu aku ada business pada usia muda sebab dia sendiri cakap ‘mama tak sanggup tengok anak mama jatuh dalam business satu hari nanti’.”

alif jaga bapa

Pun begitu, ketentuan ALLAH tidak siapapun mampu menghalangnya. Demi menjaga bapanya, anak kedua daripada tiga beradik itu berusaha daripada kosong bersama bapanya untuk membina perniagaan jualan makanan.

Iklan

Mohd Amirul Alif ketika dihubungi SinarPlus berkata, dirinya sanggup berkorban untuk menjaga bapanya yang bersendirian di kampung memandangkan abang sulung berkerja di Senai, Johor manakala adik bongsu sedang belajar di Kuala Lumpur.

“Kalau saya ikutkan impian, memang akan keluar kampung tetapi sedihlah terpaksa tinggalkan ayah seorang diri. Sebab itu, saya percaya rezeki ada di mana-mana.

alif jaga bapa

Iklan

“Di kampung pun boleh berjaya asalkan ada kesungguhan. Berkat kemahiran dalam bidang kulinari, saya buat jualan pelbagai jenis pencuci mulut di kedai yang dibina di depan rumah. Pendekatan ini juga membuatkan saya mempunyai ruang untuk terus berada dekat dengan ayah,” katanya penuh kesyukuran.

Betullah kata orang, jika berbudi kepada ibu bapa, insya-ALLAH rezeki lebih murah dan hidup tenang. Berbaktilah kepada ibu bapa semasa mereka masih hidup.

Jika berjauhan, jangan lupa hubungi ibu bapa di kampung untuk bertanya khabar, titipkan doa dan memohon keredaan mereka. Insya-ALLAH perjalanan hidup kita lebih berkat. Amin.