KITA masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijangka berakhir pada 12 Mei ini.

Dalam jangka masa itu semua pergerakan masyarakat masih terhad termasuklah hal urusan perniagaan.

Jika lokasi biasa kita membeli barangan atau keperluan masih dibuka dan beroperasi seperti kelazimannya misalnya, mungkin tiada masalah.

Tapi sekiranya tidak membuka perniagaan, kita perlu mendapatkannya di tempat lain.

Kalau orang yang masih muda dan bertenaga, mudah sahaja… Hidupkan enjin kereta atau motosikal, pergilah ke mana-mana lokasi kedai dikehendaki bagi mencari keperluan. Tambahan pula kini syarat PKP sudah dilonggarkan.

Tapi bagaimana pula jika warga emas yang uzur? Terpaksa pula tinggal berseorangan. Bagaimana hendak mencari keperluan dan kehendak terutama dalam saat-saat seperti sekarang jika tidak yang muda atau bertenaga membantu…

Prihatin dengan kekangan sedemikian yang dihadapi seorang warga emas, kisah wanita dari Taman Dato’ Senu, Kuala Lumpur, Norehan Rahmat yang tampil membantu ini tular.

Pelbagai reaksi terutama dari sudut positif daripada orang ramai yang diterima.

Norehan membantu menghantarkan makanan yang dipesan kepada makcik yang tinggal di rumah flat tingkat 12 ini sejak 27 April lalu sehingga hari ini.

Anak orderkan makanan

Menurut wanita ini, kisahnya bermula bila anak kepada makcik itu memesan menu otak-otak dan meminta ia dihantar ke rumahnya di tingkat 12.

Disebabkan runner (penghantar barang) yang diupah Norehan perlu mengejar trip hantar makanan, beliau memberitahu anak makcik tadi untuk penghantaran ke flat, hanya di sebelah bawah saja.

“Kalau sampai ke tingkat 12 ada caj rm3. Nadanya agak marah bila dia kata aku salah pilih runner.. sbb berkira sgt dgn org tua.

“Mulanya aku nk blok je no dia.. tapi terfikir balik.. mungkin betul apa yg dia kata.. yg mak dia xleh turun cari juadah berbuka. Dari ceritanya… Dia tidak tinggal dgn mak. Saya di Johor. Mak tinggal sorg diri.

“Aku bgtau xpelah.. biar aku yg hantar ke rumah mak dia.. tapi lepas habis cod dulu. Dia kata ok. Aku bgtau kt anak aku.. kalau betul apa yang anak dia cakap.. aku rela hantar tiap2 hari makanan utk makcik tu. Sampai depan pintu..,” kongsi Norehan di Facebooknya.

Memang benar, ketika dia tiba di rumah makcik tersebut, beliau terpandang terdapat tongkat kaki tiga dan kerusi roda.

Bersyukur, makcik tadi masih sihat dan boleh lagi berjalan, biarpun ambil masa nak buka pintu, baharulah dia mengetahui perkara sebenar dan senang hari dapat membantu makcik itu.

“Dia bekas pekerja hospital HKL (xtanya pun apa jawatan dia). Anak2 semua kt luar negara. Anak yg oder makan tu tggl kt batu pahat. Ok lah.. aku terima alasan yg munasabah.

“Aku tanya makcik tu nak makan apa esok? Nak tepung pelita.. sbb xde gigi. Xleh makan yg keras katanya.

“Hari ke -3 baru anak dia balas wasap aku.. dia berterimakasih sbb aku bantu mak dia. Dia kata tak sempat nk balas wasap sbb sibuk jaga pesakit. Rupanya anak dia seorg #frontliner. Patutlah dia agak tertekan bila aku cakap runner xleh hantar sampai atas,” cerita Norehan lagi.

Iklan

Pada kali pertama mereka berurusan, menurutnya padanlah anak makcik  itu berbunyi agak tertekan kerana kekangan kerja, dalam masa yang sama rasa bimbang, takut ibunya tiada juadah berbuka.

“Hari ni Makcik Raja dapat makan nasi beriani. Esok nak tepung pelita lagi. InsyaAllah.. selagi aku sihat.. aku bantu Makcik Raja,” tulis wanita anak lima berusia 49 tahun ini lagi di Facebooknya, kelmarin.

Mujurlah kakak yang juga penjual kuih karipap sejuk beku ini prihatin dengan Makcik Raja bukan?

Beliau juga tidak menolak, pasti ada juga jiran tetangga makcik itu yang prihatin, tetapi apa yang dilakukannya sebagai menunaikan tanggungjawab sosialnya sebagai peniaga dan masyarakat.

Bukan runner

Perkongsian Norehan di Facebooknya yang tular.

Apabila kisahnya tular beberapa hari lalu, ramai menyangka beliau seorang runner. Bagaimanapun perkara itu dinafikan Norehan.

“Saya bukan runner… tapi rela hati jadi runner untuk makcik tu. Tak apalah. Yang dekat-dekat tu saya bantulah…

Iklan

“Hari ini makcik itu nak makan pulut udang dan seri muka pula,” kongsinya dengan Sinarplus hari ini.

Biarpun makcik berumur 72 tahun itu berkongsi dengan Norehan beliau masih boleh gagahkan diri untuk memasak, tapi tentu juga kasihan apabila kuih atau makanan teringin dijamahnya tak dapat. Kalau itu mak kita bagaimana rasanya? Kasihan juga kan…

Pada pandangan Sinarplus, ada dua pihak dapat dibantu sekali gus daripada kisah ini:

1. Warga emas berkenaan.
2. Secara tidak langsung membantu petugas frontliner.

Mana tahu lebih ramai nanti abang-abang dan kakak-kakak runner yang sihat dan cergas tu lebih prihatin dengan kes istimewa sebegini.

Pastinya membantu golongan memerlukan seperti makcik ini! -AG #PastiAdaSinar