SELEPAS empat tahun mengikat ikatan perkahwinan, Noly Erma Rosli, 33, sering diusik oleh masyarakat sekeliling tentang cahaya mata.

“Bila kau nak dapat anak?“ Itu antara kata-kata orang yang begitu mencengkam sanubarinya. Secekal mana dirinya menelan kata-kata sinis itu, hatinya tetap rapuh mendengar kata-kata manusia yang seolah menidakkan qada dan qadar YANG MAHA ESA.

Pun demikian, Noly Erma dan suaminya, Mohd Hilmi Ramli, 36, tidak melenting, malah terus berdoa siang dan malam. Seperti sudah tertulis, ALLAH SWT telah memudahkan pasangan itu memiliki seorang anak angkat.

Anak itu disifatkan Noly Erma dan Mohd Hilmi merupakan anugerah yang tidak terhingga. Pada hari pertama bayi itu dilahirkan, mereka menatap dan membelai si comel itu seperti anak kandung sendiri. Ikrar mereka, bayi itu yang dinamakan Muhammad Aisy Miqael atau nama manjanya, Aish akan dijaga sebaik-baiknya.

Sayang, anggap Aish seperti anak kandung walau si kecil tak sempurna, moga syurga untuk ibu ini
HARI pertama Mohd Hilmi mendakap Aish dengan penuh kesyukuran. Selepas sehari menjaga Aish, si comel ini dimasukkan ke hospital lantaran muntah yang berterusan.

Namun, dunia merupakan satu pentas ujian untuk manusia. Sehari selepas membawa Aish ke rumah, anak kecil itu sudah menunjukkan ciri-ciri yang menggusarkan hati Noly Erma.

“Pada malam saya bawa Aish balik, dia muntah-muntah selepas diberikan susu. Muntahnya bukan setakat pada mulut, tetapi keluar melalui hidung.

“Saya dan suami memang tak tidur malam, begitu juga Aish. Saya dah mula rasa lain. Keadaan makin kritikal apabila muntah Aish berwarna hijau dan kami lantas membawanya ke Hospital Serdang, Selangor,“ kata wanita yang tinggal di sebuah flat di Seri Kembangan ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Atas nasihat pakar, bayi itu kemudian dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk tindakan seterusnya.

Selepas beberapa siri rawatan, beritahu Noly Erma, bayinya disahkan mengalami Treacher Collins Syndrome iaitu masalah genetik yang menyebabkan gangguan pada pertumbuhan tulang dan wajah. Ia juga akan membuatkan bayi yang baru lahir mengalami kelainan bentuk pada telinga, kelopak mata, tulang pipi dan tulang rahang.

Sayang, anggap Aish seperti anak kandung walau si kecil tak sempurna, moga syurga untuk ibu ini
Menurut Noly Erma, pertumbuhan Aish sedikit perlahan berbanding kanak-kanak lain dan perlu diberi perhatian 24 jam.

Apa reaksi suri rumah sebaik menerima perkhabaran yang mendukacitakan itu? Suaranya sebak, namun nadanya bersemangat ketika menjawabnya.

Untuk meninggalkan Aish semata-mata si kecil itu berpenyakit, saya memang tak akan lakukan, begitu juga suami kerana pada hari pertama, kami ambil Aish, saya dah anggap seperti saya yang mengandungkannya. Saya ingin bersama Aish selamanya,“ katanya dengan suara bergetar.

Tumpang tuah

Kata Noly Erma, pertumbuhan dan pembesaran Aish sedikit lambat dan perilakunya masih seperti bayi.

Meskipun kini sudah berusia lima tahun, Aish masih menyusu botol, tidak boleh bercakap, tidak boleh berjalan, tidak boleh makan sendiri (menggunakan tiub), mempunyai masalah pernafasan (bergantung pada mesin pada waktu malam ketika mahu tidur) dan banyak perkara-perkara lain lagi.

Iklan
Sayang, anggap Aish seperti anak kandung walau si kecil tak sempurna, moga syurga untuk ibu ini
AISH memerlukan bantuan ibu dan ayahnya untuk lawas, mandi, makan dan segala keperluan. Apabila Aish mendiamkan diri dan tidak berbuat apa-apa, itu menunjukkan Aish sedang sakit, kata Noly Erma.

“Baru-baru ini, Aish ada perubahan sedikit, dia akan tunjuk kalau dia nak susu atau makan nasi. Selainnya, dia akan mengamuk, menangis dan kalau dia sakit, dia akan diam saja. Aish memang perlu dipantau 24 jam,“ katanya.

Bersembang dengan Noly Erma membuatkan saya sentiasa bergenang air mata. Tidak keterlaluan untuk merumuskan bahawa beliau seorang wanita yang kuat. Bayangkan pada saat berdepan algoritma ujian yang getir, dirinya tidak merintih dan beberapa kali mengungkapkan iltizam mahu menjaga Aish selagi hayat dikandung badan.

Barangkali berkat sifat mulianya, selepas empat tahun menjaga anak syurga itu, Noly Erma hamil anak sulungnya, Nur Aisya Balqis yang kini sudah berusia setahun.

Iklan
Sayang, anggap Aish seperti anak kandung walau si kecil tak sempurna, moga syurga untuk ibu ini
SELEPAS empat tahun menjaga Aish, tanpa diduga, Noly Erma hamil anak pertamanya. Kata Noly, beliau menumpang tuah Aish dan bersyukur dengan takdir indah kurniaan ALLAH SWT kepada mereka sekeluarga.

Saya percaya, saya tumpang rezeki Aish, syukur alhamdulillah, ALLAH menghadirkan saya zuriat sendiri. Namun, yang pasti kasih sayang kedua-duanya sama rata, tidak berbelah bagi,“ ujarnya dengan nada meragut hati kepada sesiapa yang mendengarnya.

Kepada SinarPlus, Noly Erma jujur memberitahu, sebagai seorang suri rumah yang tidak bergaji dan suaminya yang bekerja pemandu lori yang hanya berpendapatan RM1,700, ia sebenarnya tidak cukup membiayai keluarga. Beliau sebelum itu bekerja, namun diberhentikan selepas syarikat majikannya ditutup.

Sayang, anggap Aish seperti anak kandung walau si kecil tak sempurna, moga syurga untuk ibu ini
AISH memerlukan bantuan kita semua untuk terus sihat dan ceria seperti kanak-kanak lain sebaya. Sama-sama kita hulurkan bantuan kepada  keluarga kurang berkemampuan ini untuk membesarkan anak syurganya.

“Aish akan dibawa untuk rawatan susulan tiga hingga empat kali sebulan di hospital, beberapa alatan yang gunakan Aish perlu diganti, susu Pediasure yang mahal harganya (saranan doktor), semuanya mencecah di antara RM600-RM700 sebulan,“ katanya ketika ditanya.

Yayasan Ikhlas Malaysia juga difahamkan telah menggerakkan usaha untuk membantu Aish dan keluarganya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan meringankan beban keluarga ini, boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan menerusi CIMB 7070483492 (Noly Erma Rosli).

Sumber foto Noly Erma Rosli dan Yayasan Ikhlas Malaysia