SAKIT yang beliau hadapi tatkala diserang sel-sel jahat kanser payudara tahap empat hanya ALLAH yang tahu.

Hampir setiap masa di saat-saat sebelum tidak sedarkan diri, beliau merintih dan sentiasa dalam kesakitan sebelum koma.

Sehingga kini Muhammad Hairi Ramli, 27, masih terkenangkan keperitan yang ditanggung oleh isterinya, Noor Athirah Mohd Ariff, 24, itu.

Siapa sangka, ketika melahirkan anak sulung, Muhammad Hairil Hafsya, 2, ketulan kanser yang boleh dirasakan sebelumnya hilang selepas mendapatkan bantuan perubatan.

Begitupun, kanser itu kembali menyerang apabila Noor Athirah mengandung anak kedua, Muhammad Aidil Fitri.

“Kalau ikutkan tarikh, isteri akan melahirkan anak dalam tempoh sebulan lagi namun 10 terakhir Ramadan lalu Noor Athirah mulai lemah dan sering mengadu kesakitan.

“Tidak tahan melihat penderitaan itu saya terus memujuk dan membawanya ke hospital sebelum Aidilfitri untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, doktor turut menasihatkan Noor Athirah menjalani pembedahan untuk menyelamatkan anak dalam kandungan. Bagaimanapun, sejak itu Noor Athirah bergantung sepenuhnya kepada bekalan oksigen untuk meneruskan hidup.

“Isteri turut diuji apabila terdapat ketulan darah beku di dalam perut.

“Sungguhpun ujian ini amat berat, namun saya tetap bersyukur kerana keluarga memberikan sokongan penuh. Buat masa ini kedua-dua anak kami dijaga oleh ibu saya, Azimah Harun,” katanya.

Iklan

Muhammad Hairi yang menyewa rumah di Kampung Limbat, Pasir Tumbuh di sini mengakui mengalami masalah kewangan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

Katanya, sejak itu dia banyak berada di rumah apabila tidak dapat keluar bekerja sebagai pembantu kedai di Pasar Borong Wakaf Che Yeh selain terpaksa menjaga isteri yang sakit.

Nukilan sepupu

Iklan

Terdahulu sepupu Noor Athirah, Mawardy Che Aziz turut menukilkan perkongsian pilu tentang wanita itu.

Perkongsian Mawardy akan nasib menimpa Noor Athirah.

“Tolong doakan agar sepupu saya *NOOR ATHIRAH BINTI MOHD ARIF* yg kini dlm ICU Hospital Raja Zainab II Kota Bharu, Kelantan akibat kanser payudara Tahap 4 ditambah pula sakit tsb merebak hingga menyebabkan tulang belakang berlubang.

Demi menyelamatkan kedua2 nyawa ini Kandungan nya yg berusia 8 bulan itu Doktor terpaksa membuat Pembedahan untuk mengeluarkan bayinye. Sehingga kini beliau (pesakit) masih lagi tidak sedarkan diri (tidak stabil) dan masih lagi menggunakan bantuan pernafasan.

Bayinye kini masih belum sempat melihat Wajah Ibu apatah lagi Merasai Air Susu Ibunye..Suaminye yg dulu bekerja sendiri berniaga kecil kecilan kini terhenti kerana menjaga isterinye sepenuh masa yg sedang sakit di hospital ditambah pula dengan keadaan negara yg sedang mengalami Virus Covid-19 yang menyebakan keluarga beliau terputus 100% sumber kewangan bagi tujuan perbelanjaan harian serta lain-lain keperluan.

Anak lelaki sulung pesakit berumur 1 tahun 8 bulan kini di bawah jagaan sementara ibu kepada isterinya manakala Anak lelaki yg baru dilahirkan (Kandungan 8 bulan) kini berusia 11 hari dibawah jagaan sementara ibu kepada suaminya juga kini memerlukan jenis Susu Formula yang agak baik demi pertumbuhan kesihatan yang stabil.

Lebih menyayat hati mengalir air mata apabila suami pesakit pernah mengadu kpd ahli keluarga bahawa segala wang simpanan keluarga telah kehabisan kerana telah digunakan sepenuhnya bagi tujuan rawatan kanser tersebut secara tradisonal & klinik swasta.

Ahli2 keluarga juga turut membantu bagi meringankan beban keluarga tsb tetapi ianya masih tidak mencukupi. Justeru itu, sekali lagi saya serta ahli keluarga memohon jasa baik kepada sesiapa sahaja agar sudi memberi sumbangan@bantuan kewangan kepada keluarga tersebut bagi meringankan bebanan yang dihadapinya.

Kepada sesiapa shj yang sudi memberi Bantuan Kewangan bolehlah menyalurkan Bantuan tsb melalui Akaun Bank pesakit. Bank Islam Malaysia (03120020182482) NOOR ATHIRAH BINTI MOHD ARIF seperti di Gambar tsb @ boleh menghubungi suami beliau *ERY* di talian (011-64845596).

Semoga ALLAH S.W.T terus merahmati dan memberkati seluruh hamba2nya di Dunia juga di Akhirat. In Shaa Allah. Aamiin,” kongsinya di Facebook.

Harapan SinarPlus moga dipermudahkan urusan Noor Athirah sekeluarga. -AG #rantaiankasih