EKSPEDITOR Negara, Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir, menzahirkan keterujaan dan bersyukur susulan kejayaan tiga protege Ekspedisi Wanita Berkumpulan ke Antartika (AWETA) berjaya menamatkan ekspedisi di Antartika pada 31 Disember lalu.
Kejayaan tersebut sekali gus melayakkan mereka muncul kumpulan wanita pertama menyempurnakan misi ke Kutub Selatan selepas tujuh hari pengembaraan.
Tiga protege wanita terbabit ialah Koperal Siti Jumaidah Bensali, 34; Salehah Abu Nor, 33, dan Nurul Atiqah Tamarun berusia 31 tahun.
Direkodkan, ekspedisi berkenaan bukanlah kejayaan pertama diraih Sharifah Mazlina. Menyorot helaian muka surat 29 Disember 2004, beliau merupakan wanita Asia pertama berjaya merentasi Antartika secara solo dengan kaedah meluncur ski.
Persoalannya, mengapa lokasi beriklim sejuk sentiasa menjadi pilihan Sharifah Mazlina?
Hakikatnya, bertugas di pejabat dengan alat pendingin hawa bersuhu serendah 16 darjah Celsius, ditambah kedinginan di luar bangunan tatkala hujan lebat sedang membasahi bumi, kadangkala boleh menyebabkan penulis berasa ‘sejuk beku’.
Bagaimanapun, situasi sebaliknya bagi Sharifah Mazlina yang menyifatkan tempat atau lokasi sejuk memberikan kegembiraan dan ketenangan.
“Sejak melibatkan diri dalam sukan ekstrem di lokasi bercuaca sejuk, berangin dan berlantaikan salji, biologi fizikal saya turut mengalami perubahan.
“Tidak keterlaluan, saya menyifatkan tubuh badan berasa kurang selesa, lesu dan mudah bersin sehingga demam apabila berada di bawah terik matahari ataupun ruang yang tidak menggunakan pendingin hawa,” jelas Dr Sharifah Mazlina memulakan bicara tatkala kru Sinar Plus menjejakkan kaki ke pejabat AWETA, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Ya, ternyata ruang bekerja wanita Asia pertama berjaya merentasi Antartika secara solo dengan kaedah meluncur ski pada 29 Disember 2004 itu sungguh dingin.
“Bukan mengada-mengada tak tahan panas. Lagipun saya anak jati Malaysia iaitu sebuah negara beriklim panas dan hujan. Sebelum ini saya okay, namun sekarang berubah.
“Saya kini lebih selesa dikelilingi salji dan menetapkan suhu aircond paling rendah berbanding berada di bawah terik matahari. Kadangkala terpaksa menghidupkan kipas bagi meningkatkan rasa sejuk,” tutur ikon berusia 55 tahun itu sambil disulami ketawa kecil.
Ketenangan hati, fikiran
Selain sensual kedinginan, berbicara langsung tentang indikasi kebahagiaan beliau, anak kelahiran Port Klang, Selangor itu menzahirkan segala-galanya harus bermula daripada hati yang tenang.
Tiada gunanya memiliki harta, peluang yang banyak, kawan ramai atau apa sahaja kelebihan di dunia, sedangkan hati tidak tenteram dan fikiran berkecamuk.
“Justeru, bagi memastikan saya dapat menikmati setiap momen dan kejayaan yang hadir dengan sebaik-baiknya, celik sahaja mata, saya akan memastikan hati tenang.
“Kelebihan memiliki hati tenang dan positif ia membantu saya memikirkan solusi terbaik bagi setiap masalah,” jelas peminat rona merah dan putih itu.
Kongsi anak keempat daripada enam beradik itu, ironinya manusia mudah mengalami tekanan dek terlalu memikirkan bermacam-macam masalah.
Sehubungan itu, berbekalkan latar belakang sebagai Pensyarah Psikologi Sukan, Fakulti Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) beliau mempraktikkan kaedah tertentu.
Satu daripadanya adalah dengan mengenalpasti sama ada masalah yang dihadapi boleh dikawal ataupun tidak.
“Masalah boleh dikawal misalnya, lebih cenderung pada perkara melibatkan peribadi seperti kesihatan, kehidupan atau beban kerja bertimbun. Jadi saya akan fokus dan menyusun strategi untuk menyelesaikan permasalahan berkenaan.
“Sementara itu, masalah tidak boleh dikawal pula umpamanya gosip, kata-kata orang sekeliling di dalam laman sosial, waima tohmahan masyarakat saya biarkan sepi sendiri. Jangan difikirkan kerana kita tidak boleh mengawal,” terang beliau yang amat menitikberatkan tidur berkualiti dan mencukupi.
Dalam pada itu, graduan Universiti McGill, Montreal, Kanada itu turut menjelaskan, terapi utama kebahagiaan beliau adalah membaca al-Quran.
“Ayat-ayat al-Quran ibarat makan ubat yang menyembuhkan kesakitan dan membuka jalan penyelesaian. Seperti mana, pengalaman peribadi ketika melaksanakan ekspedisi di Antartika pada 14 tahun lalu.
“Ketika itu, saya mengalami tekanan berdepan cabaran demi cabaran termasuk kecederaan pada tulang belakang, lutut dan buku lali serta kesejukan melampau. Lalu saya memperbanyakkan mengaji. Impaknya bagaikan serampang dua mata yang mana kesakitan beransur hilang dan ketenangan sangat luar biasa,” jelas beliau yang juga berjaya khatam al-Quran tatkala menyempurnakan misi ke Antartika tahun 2004.
PROFIL
Nama: Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir
Umur: 55 tahun
Asal: Pelabuhan Klang, Selangor
Pendidikan: Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Universiti McGill, Montreal, Kanada
Antara pencapaian:
– Wanita Asia pertama merentasi Antartika secara solo pada tahun 2004.
– Ekspedisi yang bermula dari Kutub Selatan hingga melepasi garisan penamat di Hercules Inlet berjaya disempurnakan dalam tempoh 22 hari
– Kejayaan itu mendapat pengiktirafan Ekspedisi dan Logistik Antartika (ALE)
– Berjaya menjejakkan kaki di Last Degree (Kutub Utara) pada 17 April 2007
Facebook: @sharifahmazlina
Instagram: @sharifah_mazlina_aweta
Web: www.meps.concept.com
IKATAN antara anak dan ibu saudara ini menjadi perhatian ramai. Dramatis Wan Sharmila dalam perkongsiannya,…
“SENDIRI buat hal, pandai-pandai kau hadap kritikan.” Demikian ungkapan pelakon popular, Aaron Aziz terhadap rakan…
KES membabitkan remaja sindrom Down bernama Bella pernah menjadi perhatian ramai. Tidak kurang yang menitiskan…
BARU-baru ini, penyanyi Adira Suhaimi berkongsi perjalanan beliau bersama anak perempuannya, Anggrek Adenan ke negara…
PELAKON dan penyanyi, Bella Astillah kini semakin 'mendunia' apabila terpilih mewakili Malaysia untuk beraksi di…
SETIAP tahun, sambutan hari guru pada 16 Mei antara tarikh yang dinanti-nantikan, tak kiralah sama…