SEBAHAGIAN tugasnya sepanjang berkhidmat adalah untuk menjaga penyelenggaraan pokok-pokok berisiko dan tanaman hiasan landskap. Ya, tidak juga sesuatu tugas yang mudah.

Beliau seorang yang rajin dan komited menjalankan tugasan. Antara projek-projek yang pernah melibatkannya termasuk, ‘Airport in the Forest KLIA’, taman hutan bandar di Mutiara Rini, Johor Bharu dan projek memperkasa landskap di Zoo Negara Malaysia.

Kini tiada lagi hasil sentuhan tangan itu…

Allahyarham Roslan Abdul, 53, merupakan bekas Pembantu Awam di Cawangan Hutan Bandar (UF) yang telah berkhidmat hampir 35 tahun di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah kembali ke rahmatullah pada 2 Januari 2020.

Allahyarham Roslan.

Semalam, Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr Abd Latif Mohmod telah menyempurnakan perasmian Teratak Roslan bagi mengenang jasa dan bakti yang dicurahkan oleh Allahyarham Roslan.

Kabin teratak yang disumbangkan secara peribadi oleh Abd Latif akan dijadikan pejabat staf UF yang terlibat dalam penilaian kesihatan.

Kehilangan besar

Menghargai dedikasi dan semangat kerja yang ditonjolkan, beliau diberi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Individu FRIM pada 2008 dan 2016 serta Anugerah Ketua Pengarah secara berkumpulan pada 2014.

Iklan

Pemergian beliau merupakan satu kehilangan yang besar kepada UF khususnya dan FRIM amnya.

“Semoga Allahyarham Roslan menjadi pencetus semangat kepada warga FRIM yang lain khususnya generasi baharu untuk meneruskan perjuangan beliau yang telah berkhidmat kepada FRIM dan negara tanpa pernah mengenal erti penat hingga ke akhir hayat. Semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat ke atas roh beliau,” kata Abd Latif.

Iklan
Abd Latif (tengah) bersama kakitangan FRIM di Teratak Roslan.

Turut hadir, Pengarah Perhutanan dan Alam Sekitar, Dr Ismail Parlan; Pengarah Pentadbiran, Liza Ismail; Ketua Program Ekopelancongan dan Hutan Bandar, Dr Noor Azlin Yahya; Ketua UF, Ahmad Azaruddin Mohd Noor; Ketua Komunikasi Korporat, Toh An Nee dan Ketua Cawangan Pembangunan dan Penyelenggaraan, Sharifudden Samin.

Info: Ahmad Azaruddin Mohd Noor