AINUL MARDHIAH Ahmad Safiuddin. Bayi berusia setahun lapan bulan yang pernah menjentik hati rakyat Malaysia apabila mengalami tumor seberat 200 gram pada bahagian mulut.

Kisah si kecil itu turut mendapat perhatian pelatih pakar bedah warganegara Malaysia di London, Dr Nur Amalina Che Bakri yang mengambil inisiatif mengaturkan pembedahan bayi itu di Hospital Kanak-Kanak London.

Misi murni tersebut terlaksana apabila Dr Amalina bersama pasukan diketuai Ketua Unit Kraniofasial, Profesor David Dunaway dan Dr Juling Ong berjaya membuang tumor terbabit pada 10 Jun 2019.

Susulan kejayaan pembedahan selama lima jam berkenaan hari demi hari keadaan adik, Ainul Mardiah menunjukkan perkembangan positif.

AINUL
AINUL MARDHIAH (kanan) ketika menerima kunjungan daripada Dr Juling di kediamannya di Melaka pada Februari lalu.

Terbaharu, penonton setia program kanak-kanak, Omar & Hana itu telah mengeluarkan suara sehingga mengejutkan bapa, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak dan ibunya, Nurul Erwani Zaidi.

Perkara tersebut didedahkan oleh Ahmad Safiuddin menerusi laman sosial Facebooknya.

Menurut beliau, sejak dilahirkan beliau dan isteri tidak pernah mendengar suara permata hatinya itu.

“Setahun 8 bulan kami menanti untuk mendengar suara Ainul Mardhiah. Sejak dia lahir, kami tidak pernah dengar suaranya.

“Alhamdulillah…budak cerdik ni pandai tutup trachy sendiri dan mengeluarkan suara. Beginilah suara Ainul Mardhiah yang saya yakin anda semua tidak pernah mendengarnya,” coret beliau ringkas yang mendapat komen positif daripada warga net.

ainul
AHMAD Safiuddin berkongsi video Ainul Mardhiah mengeluarkan suara menerusi laman sosial Facebooknya semalam.

Secara ringkas, tiub tracheostomy (trachy) dipasang di leher bertujuan membantu dan memudahkan pernafasan.

Iklan

Dalam catatan sama, Ahmad Safiuddin juga sertakan bersama sebuah video pendek memaparkan keletah Ainul Mardhiah yang sedang ‘berbual’.

Sementara itu, Nurul Erwani tidak ketinggalan menzahirkan keterujaan progres baharu cahaya matanya itu.

“Alhamdulillah… syukur. Ini (mengeluarkan suara) semua Ainul buat sendiri. Tengah tengok Omar & Hana tiba-tiba dia keluarkan suara.

Iklan

“Dah lama mama dan walid tunggu saat seumpama ini,” tulisnya di dalam laman sosial Instagram peribadi semalam.

Foto dan video: Facebook, Ahmad Safiuddin, Instagram, @_nrlerwani