TERLALU terkejut sehinggakan mahu pitam! Demikian reaksi Intan Shakira Azhar sebaik sahaja menerima perkhabaran bahawa anak tunggalnya disahkan menghidap kanser perut atau dalam bahasa saintifiknya, neuroblastoma tahap empat.

Ibu muda berusia 25 tahun itu tidak menyangka simptom demam berpanjangan dan hilang selera makan yang dialami Muhammad Hadi Rafie Muhamad Khidhir rupa-rupanya satu petanda buruk.

Ketumbuhan barah tersebut sudah menyerang organ dalaman anaknya yang dipanggil Abang sehingga membuatkan kondisi kanak-kanak berusia tiga tahun itu semakin memburuk sejak April tahun lalu.

Kepada SinarPlus, Intan Shakira meluah rasa. Ujar beliau, hatinya pilu setiap kali melihat Abang menunjukkan kawasan perut yang sakit sambil menangis tersedu-sedan.

kanser perut

“Abang tak pandai bercakap lagi dan hanya tahu mengadu dengan tunjukkan kesakitannya dekat perut. Sekarang ini dia selalu merengek dan tidak mahu berenggang. Asyik mahu dipeluk.

“Apa yang buat saya sedih, dia seolah-olah trauma bila nampak doktor atau jururawat datang untuk periksa keadaannya, memang dia akan meraung,” cerita wanita itu yang menyewa di Flat Seri Gemilang, Kawasan Perusahaan Mergong Barrage, Alor Setar, Kedah.

Saat ditanya bagaimana penyakit anaknya dikesan pada peringkat awal, suri rumah tersebut berkata, semua terlerai tatkala pemeriksaan rutin dibuat di klinik kesihatan berhampiran.

kanser perut

“Ketika itu, jururawat yang sedang periksa anak saya terkejut bila dapat kesan darah Abang kurang dan tak berada pada tahap normal. Dia juga susah nak buang air besar. Apabila pemeriksaan imbasan sinar-X dibuat, doktor beritahu usus Abang tersumbat,” ujarnya.

Kata Intan Shakira, beliau mendapat tahu permata hatinya menghidap kanser ketika si kecil itu dikejarkan ke wad kecemasan hospital kerana perutnya yang mengeras.

“Saya memang terperanjat besar, saya tak membayangkan bagaimana seorang anak kecil terpaksa berdepan dengan penyakit kanser yang sememangnya ditakuti ramai,” katanya dengan nada sebak.

kanser perut

kanser perut

Percaya bahawa setiap perkara yang berlaku pasti ada rahmat di sebaliknya, suri rumah tersebut tidak mahu cepat mengalah dan mahu dapatkan rawatan terbaik untuk Abang.

“Abang sudah menjalani kemoterapi sebanyak lapan kali kitaran, tetapi kena tambah enam kali lagi disebabkan doktor kesan sel kanser sudah merebak dekat tulang paha kanan, bawah lutut kiri dan kanan.

Baca juga Disangka masalah cacing gara-gara perut buncit, budak 2 tahun derita kanser hati perlukan bantuan orang ramai

“Syukur sangat-sangat bila doktor beritahu ketulan yang sebelum ini bersaiz 12 sentimeter (sm) sudah menyusut menjadi 5sm. Jadi, Abang boleh dibedah dengan segera,” katanya.

kanser perut

Ketika artikel ini disiarkan, si kecil berkenaan sudah menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan di dalam perut di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Kedah.

Ihsan masyarakat

Fasa ketakutan yang direntasnya masih tidak reda. Ujar Intan Shakira, tiada jaminan bahawa kanser anaknya tidak menular. Doktor juga tidak menjanjikan Abang akan pulih sepenuhnya.

“Sekarang ini pun beratnya masih statik 10 kilogram saja dan kalau diikutkan memang tak normal. Lagi sedih, rambut pun dah banyak gugur.

kanser perut

“Namun, saya dan suami tak pernah berhenti berharap. Kami berusaha untuk mencari rawatan terbaik buat Abang, meskipun terpaksa ikat perut,” ujarnya suri hati kepada Muhamad Khidhir Johari, 26.

Mengakui keluarganya hanya bergantung dengan bantuan bulanan kerajaan sebanyak RM300 sebulan, selain gaji suami yang bekerja sebagai mekanik, sememangnya tidak mencukupi.

Baca juga ‘Hidup Abang Long tak lama dah’. Luahan pilu kanak-kanak kanser darah bikin ibunya sebak

“Suami saya terpaksa berhenti kerja kerana terlalu kerap mengambil cuti kerana urusan ubat dan ambil darah anak perlu dibuat setiap hari. Rawatan susulan pula perlu dilakukan sebanyak tiga kali dalam tempoh sebulan di dua hospital berbeza.

kanser perut

“Apabila suami terpaksa berhenti kerja disebabkan anak, saya memang sangat sedih. Bila hilang punca pendapatan, memang saya susah hati memikirkan kos sewa rumah, barangan keperluan Abang termasuk susu dan lampin pakai buang,” luahnya sayu.

Apabila berdepan dengan situasi genting sebegitu, Intan Shakira berkata, sumbangan orang ramai sangat diperlukan lebih-lebih lagi mengetahui proses rawatan anak kesayangannya akan terus berjalan.

kanser perut

“Selain doa, kami mengharapkan bantuan dan ihsan semua memandangkan keadaan kami agak terhimpit dengan masalah kewangan. Hanya ALLAH sahaja dapat membalas jasa anda,” ujarnya.

Kepada pembaca SinarPlus yang ingin memberi keceriaan buat si kecil yang masih bertarung nyawa itu, saluran dana boleh dibuat terus ke akaun CIMB 7626653826 atas nama Muhamad Khidhir Bin Johari.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi