EMOSI penulis umpama seperti melayarkan perahu kertas di lautan luas. Terasa kosong.

Sulit untuk menceritakan betapa hibanya perasaan ini tatkala mendengar kisah seorang kanak-kanak yang menunggu masa untuk mengucapkan selamat tinggal kepada dunia.

Pun demikian, kedukaan yang dirasai barangkali tidak mampu melawan nestapa ibunya, Noor Shahirah Mohd Fuzi.

Dianugerahkan cahaya mata yang dinamakan sebagai Nur Umairah Abd Rahman merupakan anugerah tidak terhingga. Namun, kata Noor Shahirah, YANG MAHA ESA telah mengisyaratkan kepadanya lebih awal tentang sebuah kehilangan.

Ujarnya, puteri kesayangannya menghidap kanser otak dan berada dalam fasa akhir. Segala rawatan menemui jalan buntu.

Nur Umairah

Kejadian si cilik itu dijangkiti kuman dalam darah pada Jun lalu telah memberi tamparan lebih hebat. Fungsi saraf dalam otak semakin lemah sehingga menyebabkan anak sulung daripada dua beradik tersebut sudah tidak boleh bercakap dan bergerak lagi.

“Sekarang ini, dia hanya mampu terbaring di atas katil di ruang tamu rumah,“ kata sang ibu penuh kesyahduan.

Paling merentap sanubari wanita berkenaan, dirinya sudah tidak boleh mendengar celoteh Nur Umairah yang sebelum ini galak bercerita seperti orang dewasa.

Nur Umairah

“Saya rindu dengan suara dia, kelincahan bermain dengan adiknya juga sudah tak kelihatan lagi,“ ujarnya yang menetap di Kampung Banggol Senu, Pendang, Kedah.

Untuk bertanya bagaimana penyakit kanser itu dikesan dalam tubuh si kecil itu sebenarnya satu hal yang berat untuk penulis suarakan.

Namun, seakan memahami tugas kami, ibu muda berusia 26 tahun itu terbuka untuk bercerita.

Nur Umairah

Tuturnya, Nur Umairah terlebih dulu muntah teruk ketika usianya enam tahun. Selepas itu, beliau sering terjatuh gara-gara tidak dapat mengimbangkan badan.

Apabila dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, pakar memaklumkan terdapat ketumbuhan pada saraf di dalam otaknya. Pembedahan pemasangan VP shunt terpaksa dilakukan segera.

Baca juga Patah tulang lebih 50 kali. Adik Khayla perlu dana besar untuk pembedahan

“Prosedur itu perlu dilakukan kerana ia menjadi punca mengapa dia muntah dan hilang keseimbangan. Kami benarkan proses itu dibuat demi kebaikan Umairah. Alhamdulillah, selepas itu, dia nampak okey. Cuma kakinya masih lemah,“ katanya.

Harap keajaiban

Pun demikian, masalah tumor sebesar 6 inci di dalam kepala Nur Umairah masih belum selesai. Untuk itu, beliau dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk satu lagi pembedahan.

“Ia (pembedahan pertama) dijalankan pada Januari tahun lalu dan mengambil masa 12 jam untuk membuang ketumbuhan sebelum dihentikan gara-gara jantung anak saya ketika itu sangat lemah.

Nur Umairah

“Kemudian, pada Mac lalu, pembedahan kedua dijalankan, cuma sisa yang melekat pada sarafnya tidak dibuang sepenuhnya kerana boleh mendatangkan risiko kepada anak saya,“ ujar Noor Shahirah yang tinggi kesabarannya itu.

Terlalu sukar untuk membayangkan bagaimana keperitan seorang kanak-kanak yang tidak mengerti apa-apa menjalani 30 kali rawatan radioterapi dan lapan kali kemoterapi. Kepayahan itulah yang dirempuh oleh Nur Umairah.

Baca juga Kepala Bilal semakin membesar, bawa ‘beban’ 28kg. Keluarga rayu bantuan

Sayangnya, sinar harapan yang didambakan daripada proses itu karam begitu sahaja. Di hadapan wanita tersebut, pakar mengesahkan segala usaha yang dilaksanakan seperti tidak berhasil.

Nur Umairah

Itu bermakna, sebarang alternatif atau rawatan untuk sekujur tubuh kecil Nur Umairah sudah berada di perhentian terakhir.

“Setiap hari saya berdoa kepada ALLAH supaya diberikan kesembuhan buatnya. Bayangkan semasa kemoterapi dan radioterapi, dia tidak pernah merungut sakit. Dia anak yang baik, dapat permainan baharu sudah cukup buatkan dia gembira.

Baca juga ‘BILA kulit Faris nak jadi baik, ibu?’ Pertanyaan si kecil buat Norazilawani sedih

“Namun, jika itu takdirnya, walau berat macam mana pun, saya memahami bahawa setiap yang bernyawa pasti akan pergi,“ katanya yang pada ketika itu sudah tidak menahan diri daripada menangis.

Pun begitu, Noor Shahirah masih percaya kepada keajaiban-NYA. Ujar beliau, mereka sesekali tidak akan cepat menyerah. Itu sebab pelbagai cara dibuat untuk merawat si kecil itu.

Nur Umairah

Namun, rawatan paliatif dan kos yang lain-lain tidak cukup. Beliau tidak bekerja, manakala suaminya, Mohamed Nasri Ramli, 44, hanya mengambil upah sebagai pesawah.

“Sekarang ini mahu beli kerusi roda, susu khas dan lampin pakai buang juga agak sukar. Justeru, dengan rasa rendah diri, saya berharap orang di luar sana sudi membantu kami. Inilah permintaan akhir saya untuk Umairah,“ katanya yang mempunyai seorang lagi anak, Mohammad Syahmi Naufal, 4.

Bantuan orang ramai boleh disalurkan terus ke akaun Bank Simpanan Nasional 0299541100317253 atas nama Noor Shahirah Binti Mohd Fuzi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi