INDIVIDU dengan penyakit kronik, kanak-kanak dan warga emas merupakan golongan yang paling berisiko terdedah dengan jangkitan Covid-19.

Tidak ketinggalan ibu hamil. Jika tidak bernasib baik, pelbagai impak negatif boleh terjadi.

Antaranya kelahiran bayi pramatang dan hal-hal lain lain berat SinarPlus nak nyatakan.

Baru-baru ini, seorang pengguna Tiktok @Sheyraedy, berkongsi pengalamannya yang dijangkiti Covid-19 sehingga menyebabkan anak dalam kandungannya meninggal dunia.

Ceritanya, beliau mengalami pendarahan selepas hari ketujuh dijangkiti Covid-19. Paling menyedihkan, beliau merentas detik sedih apabila bayinya yang berusia 16 minggu mengalami keguguran.

Ujar wanita itu doktor mengesahkan bahawa jantung bayi berhenti mungkin disebabkan kuman Covid-19 yang menganggu.

Melihat kepada kisah yang cukup pilu itu, SinarPlus merujuk kenyataan Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC).

Ujar CDC, Covid-19 mempunyai persamaan dengan struktur sindrom pernafasan akut teruk (SARS) dan sindrom pernafasan timur tengah (MERS).

Apa yang lebih teruk, kedua-dua sindrom itu boleh menyebabkan komplikasi keguguran dan kematian dalam kalangan ibu mengandung.

Iklan

Hal tersebut kerana masalah pernafasan yang dialami menyebabkan pengurangan kadar oksigen pada janin yang sedang membesar.

“Akibatnya, 59 peratus wanita hamil mengalami keguguran pada trimester pertama dan bagi mereka yang berada dalam trimester kedua dan ketiga boleh berisiko mengalami kelahiran pramatang,” kata CDC menerusi laman web rasminya.

Iklan

Justeru, nasihat SinarPlus kepada ibu hamil, dapatkanlah vaksin segera dan pada masa sama, duduk sahaja di rumah jika tiada hal penting yang perlu diuruskan.

Elakkan berkunjung tempat yang ramai orang dan amalkan prosedur operasi standard yang telah ditetapkan.

Pada 1 April ini kita bakal memasuki fasa endemik, tetapi itu tidak bermakna kita boleh mengabaikan keselamatan. Kuman Covid-19 masih bertebaran. #kitajagakita