SAYA tak boleh bayangkan jika jantung anak saya berhenti berdegup.”

Demikian bait kata penuh kepiluan seorang ibu, Nurul Wahida Kamarudin tatkala berbicara tentang anaknya, Nurul Aishah Mohd Nazrul yang kini berusia setahun.

Si kecil itu disahkan pakar menghidap penyakit jantung berlubang sejak dilahirkan.

Nurul Wahida, 37, berkata, puteri bongsunya yang dipanggil dengan nama manja, Ain juga mempunyai injap jantung sempit.

sakit jantung berlubang

“Impaknya, setiap kali Ain menangis, muka dan badannya menjadi biru. Memang menjadi igauan ngeri buat saya. Siapa tidak cemas bila anak menangis seolah-olah tidak cukup nafas?

“Doktor juga ada berpesan, jangan biarkan Ain tersedak susu atau air kerana bimbang keadaannya semakin teruk. Jika kuku atau badannya berubah menjadi biru, kena cepat-cepat bawa ke hospital,” cerita ibu kepada empat anak itu dengan nada sebak.

Baca juga Derita sakit usus dan SLE, hidup remaja ini berubah 360 darjah. Bantuan RM30,000 diperlukan untuk kos perubatan

Berkongsi pengalaman mengandungkan si comel itu, Nurul Wahida mengakui, dirinya tidak berdepan dengan sebarang masalah, malah lebih dipermudahkan kerana Ain dapat dilahirkan secara normal.

Namun demikian, kegembiraan itu terus lenyap selepas doktor mengesahkan keadaan anak beliau tidak seperti bayi normal lain.

Baca juga Tidak sanggup melihat anak meraung setiap kali dressing, ibu ini mohon doa dan sumbangan orang ramai

“Doktor maklumkan kepada saya, degupan jantungnya lebih laju dan berbunyi. Terasa dunia saya gelap seketika, tetapi saya dan dan suami reda dengan ketentuan ILAHI.

“Apa yang penting sekarang ini, kami perlu buat apa yang terbaik untuk Ain termasuk berulang-alik ke hospital di Temerloh dan akan ke Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur nanti,” katanya yang menetap di Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut, Pahang.

Pembedahan segera

Ujar Nurul Wahida, dugaan getir itu bukan setakat menimpa Ain, tetapi nasib serupa turut ditanggung oleh anak ketiganya, Nurul Shafiera atau Kak Lang yang kini berusia 11 tahun.

“Kak Lang kini dalam proses pemulihan dan alhamdulillah, dia bertambah baik selepas menjalani pembedahan pertama pada 11 Jun dua tahun lepas.

sakit jantung berlubang

“Namun demikian, dia wajib ikuti pemeriksaan susulan. Meskipun sudah menjalani proses pembedahan jantung dan membuang ketumbuhan pada injap, namun kata doktor, Kak Lang perlu dipantau kerana mereka khuatir masih terdapat lubang pada bahagian jantungnya.

“Terus terang saya katakan, dugaan ini semua membuatkan saya tidak pernah tenang. Hanya ALLAH sahaja yang tahu betapa berkecamuknya hati ini mengenangkan nasib anak-anak. Saya memang tak sanggup melihat mereka sakit,” luah suri rumah itu.

Iklan

Baca juga Hati tersentuh lihat Rahil, Iman menderita penyakit kepala besar sejak lahir. Mereka perlukan bantuan kita

Kepada SinarPlus, Nurul Wahida berkata, berbanding Kak Lang, pembedahan Ain perlu disegerakan memandangkan kondisinya yang semakin membimbangkan.

Tatkala ditanya mengenai kos rawatan dan perubatan yang perlu ditanggung, suri hati kepada Mohd Nazrul Mat Zain, 39, berat untuk berkata-kata.

sakit jantung berlubang

Bukan apa, beliau bimbang luahannya akan disalah ertikan oleh masyarakat.

Namun, setelah dipujuk, wanita tersebut akhirnya bersuara: “Suami saya bekerja sebagai buruh kampung dengan upah tidak sampai RM600 sebulan. Kami juga ada terima bantuan daripada kerajaan berjumlah RM300 sebulan.

Iklan

Baca juga Terlantar 2 tahun akibat tumor pada saraf tunjang, ibu tabah ini mohon keajaiban buat Baby

“Bila dikira semula, ia memang tak cukup untuk tampung perbelanjaan dua anak saya yang sakit itu.”

Ujar Nurul Wahida lagi, sepatutnya Ain perlu dibawa ke IJN pada Mac lalu, namun ia terpaksa ditangguhkan gara-gara masalah kekangan kewangan.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, apa kata kita sama-sama berganding bahu membantu si kecil, Ain dan keluarga tersebut yang hidup serba kekurangan.

Sumbangan ikhlas anda boleh disalurkan terus dana ke akaun Maybank 156141469872 atas nama Nurul Wahida Kamarudin.