BIBIRNYA tidak pernah mengungkap kata sayang atau rindu. Namun begitu, jauh di sudut hati Norain Abd Hamid, beliau mengetahui anak istimewanya itu menyayanginya seperti juga anaknya yang lain.

Memang benar, bukan mudah sebenarnya berdepan hakikat apabila dimaklumkan doktor, anak yang dikandungkan sembilan bulan 10 hari disahkan sindrom down (SD) ketika berusia lima bulan.

Pada peringkat awal lagi, hati ibu kepada empat cahaya mata itu pernah ‘terdetik‘ apabila melihat perkembangan Mohd Zarul Hanafi yang mesra dipanggil Zarul seawal usia tiga bulan tidak seperti anak-anak lain.

”Ketika itu, saya lihat Zarul ini tidak selincah abang dan kakaknya. Tapi saya hanya pendamkan dalam hati sehinggalah dia diserang demam panas ketika usia lima bulan.

sindrom down
ANAK istimewa ini pandai bergaya dan amat sukakan lagu Hindustan.

”Masa di hospital, doktor tidak dapat sahkan sama ada Zarul ini memiliki simptom kerana rupanya normal sahaja kecuali tapak tangan dan kakinya seperti anak SD,” ceritanya kepada Sinar Plus.

Nekad untuk mengetahui perkembangan anak bongsunya lebih lanjut, Noraini membuat pemeriksaan darah. Akhirnya, doktor pakar mengesahkan Zarul merupakan anak SD ketegori mosaik.

”Lagi luluh hati bila doktor sahkan Zarul juga mempunyai penyakit jantung berlubang. Bayangkan bila dapat tahu semua itu, hati ibu mana yang tak keruan, namun doktor banyak memberikan penerangan dan menenangkan hati kami.

”Masa itu, saya memang reda sebab naluri ibu ini memang kuat. Cuma suami pada mulanya tidak boleh menerima hakikat, namun akhirnya kami sama-sama reda dengan ketentuan ILAHI,” ujarnya.

Tidak mengenal erti putus asa, bekas kerani itu bersama keluarga tercinta membesarkan Zarul dengan penuh kasih sayang dan mendidiknya untuk berdikari.

Sedar bukan mudah hendak membesarkan anak istimewa, beliau selalu mengingatkan diri sendiri agar banyakkan bersabar dan beristighfar (memohon keampunan ALLAH).

sindrom down
KASIH sayang seorang ayah tidak berbelah bahagi meskipun Zarul disahkan sindrom down seawal usia lima bulan.

”Zarul ini mudah urus diri sendiri sebab sudah dididik dari usia empat tahun lagi tidak memakai kain lampin pakai buang.

”Memang penat, tapi saya kuatkan semangat. Alhamdulillah, sekarang dia berusia 21 tahun, sudah pandai bergaya,” katanya berseloroh.

Tidak cerewet

Panas baran dan sangat sukakan lagu Hindustan. Itulah sifat yang dimiliki pelatih Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Puncak Alam, Selangor itu yang tidak boleh berpisah dengan hobinya melayari YouTube dan internet.

Iklan

”Saya paling risau jika internet ada gangguan, Zarul pasti akan mengamuk. Susah nak pujuk dia kecuali kalau ada lagu Hindi, dia akan cepat-cepat bangun dan menari.

”Kena pandai ‘trick‘ anak SD dengan apa yang dia suka. Satu lagi, Zarul juga sangat pembersih dan tidak cerewet bab makan. Senang nak masak semua jenis makanan,” katanya.

Berkurung di dalam rumah gara-gara wabak Covid-19, Noraini tetap berdebar melihat perkembangan isu semasa dalam negara lebih-lebih lagi memikirkan keselamatan Zarul.

”Alhamdullillah, Zarul tidak mengamuk bila tidak dibawa keluar. Cuma dia rindukan PDK dan sering keluarkan baju uniform untuk dipakai seolah-olah hari bersekolah seperti biasa.

sindrom down
MOHD ZARUL (dua dari kanan) bersama abang dan kakaknya.

”Acap kali saya terangkan kepadanya tidak boleh keluar rumah sebab ada wabak Covid-19. Seolah-olah faham, dia simpan semula baju sekolah,” katanya yang turut berharap wabak itu dapat dibendung sepenuhnya.

Iklan

Sempat memberikan kata-kata semangat buat ibu bapa yang memiliki anak istimewa, ibu yang berusia 52 tahun itu berharap mereka terus tabah membesarkan anugerah ALLAH dengan hati terbuka.

”Saya percaya ALLAH menguji insan yang kuat sahaja. Dengan ujian seumpama ini, yakinlah bahawa anugerah anak istimewa adalah tiket ke syurga. Sayangilah mereka sepenuh hati,” nasihatnya.

(SEMPENA HARI SINDROM DOWN SEDUNIA)