SEBAIK sahaja menerima sekeping foto Nur Qhayla Rania Mohamad Firdaus yang menderita penyakit hydrocephalus atau lebihan cecair dalam kepala, hati penulis terus sayu dan hilang kata-kata.

Beritahu Che Siti Nor Azreen Che Ishak, anaknya yang berusia lima tahun itu sudah melalui dua pembedahan membuang cecair.

Itu tidak termasuk lima prosedur pemasangan shunt yang cukup memeritkan sejak dilahirkan.

Kepada SinarPlus, wanita yang mesra disapa Azreen, 26, memberitahu, puteri bongsunya, Nur Qhayla Rania sudah berdepan masalah ketika berada dalam kandungan lagi.

“Sejak dalam perut, ukuran saiz kepalanya dikesan lebih besar berbanding bayi normal yang lain. Doktor memaklumkan bahawa terdapat benjolan pada kepala anak saya. Namun, pada masa itu, saya tidak fikir apa-apa yang buruk lagi.

Qhayla

“Selepas dilahirkan secara pembedahan, Qhayla (nama manjanya) terus ditahan di wad kerana saiz (kepala) sudah mencecah 37 sentimeter (sm) dan situasi itu agak bahaya untuk bayi sepertinya.

“Selepas pemeriksaan rapi, doktor membenarkan kami pulang ke rumah dengan syarat dia perlu sentiasa dipantau,” katanya.

Namun, pada hari ke-28, saiz kepala Qhayla sudah mencecah 48sm dan tanpa membuang masa, Azreen terus bergegas membawa anaknya ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan untuk mendapatkan rawatan.

Baca juga Sudah kering air mata, Siti Suhana mohon bantuan rawat dua anak derita kanser limfoma

Susulan itu, satu pembedahan mengejut telah dijalankan disebabkan lebihan cecair dalam kepala kanak-kanak itu dilihat semakin banyak dan tisu otaknya juga semakin menipis.

“Saya hanya mampu terdiam dan akur dengan prosedur yang disyorkan, walaupun pada saat itu Qhayla hanya berusia 28 hari,” katanya dengan suara yang tersekat-sekat.

Kerap sawan

Ujar Azreen lagi, rawatan demi rawatan terus dilakukan demi menyelamatkan Qhayla.

Pada usia lima bulan, kata wanita tabah berkenaan, saiz kepala si kecil itu kembali membesar hingga mencecah 54sm.

“Sekali lagi, demi menggelak lebihan cecair berulang, Qhayla menjalani pembedahan pemasangan shunt. Secara keseluruhannya, sudah lima kali pembedahan pemasangan shunt dibuat dan kali terakhir pada tahun 2019.

Qhayla

“Hati ibu mana yang sanggup melihat anak yang masih kecil sudah diduga ujian cukup berat. Kalaulah saya boleh gantikan tempatnya, saya sanggup, namun apakan daya,” tuturnya penuh sebak.

Ujar ibu kepada dua cahaya mata itu lagi, beliau juga buntu apabila melihat Qhayla sering diserang sawan.

Iklan

Malah sejak kebelakangan ini, kekejangan otot pada bahagian sebelah kanan badan kerap berlaku. Keadaan tersebut cukup membimbangkannya.

“Paling mencemaskan saya kalau Qhayla diserang sawan pada waktu malam. Bayangkan keadaan matanya terbeliak ke atas, ditambah ototnya yang kejang membuatkan saya sangat panik.

“Pernah berlaku Qhayla diserang sawan lebih sejam dan terpaksa dikejarkan ke hospital. Selalunya ia (sawan) berlaku sekejap sahaja, namun sejak akhir-akhir ini semakin kerap pula,” ujar ibu muda itu yang menetap di Alor Pasir, Tanah Merah, Kelantan.

Perlu bantuan

Azreen memberitahu, kos untuk merawat dan menampung keperluan anak syurga itu agak tinggi.

Upah suaminya, Mohamad Firdaus Abdullah, 29, sebagai buruh kampung dengan pendapatan kurang RM500 sebulan memang tidak mencukupi.

“Suami saya juga berusaha membuat pelbagai kerja termasuk menoreh getah di kebun orang.

Iklan

“Meskipun menerima bantuan bulanan sebanyak RM500, memang tidak cukup untuk menampung kos susu khas berharga RM147 setin, selain lampin pakai buang.

“Jujur saya katakan, untuk tempoh sebulan sahaja, sekurang-kurangnya Qhayla memerlukan enam tin susu,” ujarnya yang pernah berpengalaman terputus bekalan makanan.

Qhayla

Pun demikian, kata Azreen, fokus dan matlamatnya tidak pernah berubah. Suri rumah tersebut mahu memastikan Qhayla sembuh dengan apa cara apa pun.

“Saya masih berterusan membawa dia berulang alik ke hospital untuk menjalani fisioterapi, selain rawatan suntikan botoks untuk menguatkan ototnya.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

“Menurut doktor, tangan dan kaki Qhayla aktif dan jika rajin membuat fisioterapi, ototnya tidak akan mudah kram. Jika diizinkan-NYA, tidak mustahil satu hari nanti anak saya boleh berjalan,” katanya penuh berharap.

Kepada rakyat Malaysia yang ingin meringankan beban keluarga Azreen, boleh menyalurkan bantuan terus ke akaun Maybank 503051529082 atas nama Che Siti Nor Azreen Che Ishak.