MENATAP foto adik Badriyyah Nur Syifa Rahmat seperti tiada apa-apa.

Hakikatnya, di sebalik senyuman manis si kecil itu, beliau mengalami beberapa penyakit kritikal seperti jantung berlubang, paru-paru tidak berkembang, saluran usus besar tidak bersambung dan saluran kencing sempit.

Mesra dipanggil Syifa, beliau yang dilahirkan tidak cukup bulan turut bergantung pada satu buah pinggang sahaja (sebelah kiri). Organtersebut juga bengkak dan tidak berfungsi dengan baik.

Ibunya, Norul Hafizah Mubin memberitahu, anak beliau juga dilahirkan tanpa rahim.

“Saya tak sangka, Syifa yang dilahirkan sewaktu kandungan saya berusia 32 minggu berdepan dengan pelbagai masalah kesihatan.

Syifa sakit

“Apabila dimaklumkan doktor hal itu, saya memang tertekan dan kemurungan teruk dalam tempoh yang lama. Namun, lama-kelamaan saya reda dan terima semuanya dengan hati terbuka,” katanya yang menetap di Kampung Raja Songsang, Temerloh, Pahang.

Imbau ibu berusia 39 tahun itu, sepanjang tempoh lima bulan Syifa ditahan Unit Rawatan Rapi Neonatal, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, Pahang, setiap detik yang dilalui penuh dengan debaran.

Mana tidaknya, si kecil yang dilahirkan di Hospital Temerloh terus dikejarkan ke HTAA untuk prosedur pembedahan usus besar dan pemasangan tiub beg stoma pada usia tiga hari.

Syifa sakit

“Ia diikuti pada bahagian pinggangnya bagi atasi masalah saluran kencing yang sempit. Pengalaman paling saya tidak boleh saya lupakan apabila Syifa diserang jangkitan kuman sampaikan doktor beritahu keadaannya masa itu sangat kritikal. Syifa juga bergantung 100 peratus dengan mesin pernafasan,” ceritanya.

Norul Hafizah berkata, melihat wayar yang dipasang di sana sini pada tubuh anaknya membuatkan beliau sedih.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by sinarplus (@sinarplus)

Saat pakar meminta izin untuk menambah darah putih sebagai jalan terakhir menyelamatkan Syifa, wanita itu terus menyatakan persetujuan.

Syifa sakit

“Alhamdulillah, satu keajaiban apabila Syifa semakin hari semakin pulih. Ketika kami dapat keluar dari wad, tiba-tiba Syifa tertawa gembira. Itulah pertama kali saya dengar suara anak kesayangan saya ini,” katanya yang bersyukur dengan pertolongan daripada-NYA.

Seperti dijangka, puteri kecil itu akan terus berdepan dengan kondisi kesihatan yang turun naik.

Syifa sakit

Selepas melepasi satu pembedahan menebuk lubang baharu bagi saluran kencing dan usus besar pada usia lapan bulan, Syifa diminta menjalani satu prosedur penting iaitu menyambung semula usus besar ketika berusia 11 bulan pula.

“Semua proses yang dijadualkan berjalan lancar. Masalah lubang pada jantung sudah bercantum semula, manakala bengkak pada buah pinggang semakin susut,” katanya.

Perlu pembedahan semula

Meskipun semua momen yang menggetarkan jiwa itu merupakan satu cerita lama, implikasi penyakit Syifa terus berlarutan walau sudah berumur empat tahun kini.

“Ya, dia semakin ceria, lincah dan aktif bermain dengan pemantauan saya. Malah, dia luahkan rasa tidak sabar untuk ke sekolah,” katanya.

Iklan

Baca juga Tulang belakang adik Aniq tersembul keluar, si kecil ini perlukan ihsan masyarakat untuk terus bernafas

Bibir Norul Hafizah mengukir senyuman tatkala Syifa meluahkan hasrat murni tersebut. Pun demikian, dari hati yang terdalam, beliau gementar memikirkan masa depan anak bongsu daripada dua beradik itu.

Syifa sakit

“Syifa tidak seperti budak normal yang lain. Saya tidak boleh bayangkan bagaimana keadaannya apabila dia bertanyakan soal tiada rahim bila dah besar nanti,” tuturnya lemah.

Soal kos perubatan pula, suri rumah itu mengakui mereka sekeluarga hanya bergantung hidup dengan gaji suami, Rahmat Mahasan, 62, yang bekerja sebagai pemandu lori.

Akui Norul Hafizah, beliau sememangnya tidak boleh berkerja kerana perlu memberi sepenuh perhatian kepada Syifa.

Syifa sakit

Iklan

Baca juga Meya hanya mampu mengesot, anak penjual donut ini derita penyakit jarang jumpa di dunia

Ini memandangkan saluran kencing kanak-kanak berkenaan masih belum disambung dengan sempurna dan masih berisiko terdedah dengan jangkitan kuman.

“Sekarang ini kami masih menunggu tarikh pembedahan untuk membaiki saluran kencing yang masih tertangguh sebelum ini. Harap-harap boleh dilakukan secepat mungkin,” katanya yang memiliki seorang anak lelaki, Muhammad Mukriz Hakim, 10.

Kepada orang ramai yang prihatin dengan ujian yang menimpa keluarga Norul Hafizah, bantuan kewangan boleh disalurkan terus ke akaun Bank Simpanan Nasional 064000686056760100016 atas nama Norul Hafizah Binti Mubin.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi!