KATA Rafidah Abdul Ghapar, Aidilfitri pada tahun ini amat muram dan suram. Terlalu berat untuknya menanggung derita seorang diri.

Masakan tidak, belum terubat kesedihan pemergian suami tersayang, Rokhaizat Hashim akibat strok pada Januari lalu, anak keempatnya, Nur Ahmad Rabbani Rokhaizat, 19, pula disahkan buta disebabkan ketumbuhan otak.

Tumor yang membesar mencecah saiz 4 sentimeter itu membuatkan pemuda tersebut terpaksa bergantung pada penglihatan mata kiri. Itu pun semakin kabur.

Kepada SinarPlus, Rafidah meluah rasa. Ujarnya, pada saat dirinya berhempas-pulas menjaga suami yang terlantar, beliau tidak menyangka anak tersayang turut ditimpa ujian cukup getir.

“Ketika itu, jiwa saya sangat kalut. Mana tidaknya, sedang sibuk menjaga suami yang lumpuh, pada masa sama, anak saya memerlukan perhatian ibunya. Lebih membuatkan saya bingung, kos rawatannya cukup besar,“ katanya yang menetap di Bandar Springhill, Port Dickson, Negeri Sembilan.

rafidah ketumbuhan otak

Mengimbau cerita, Rafidah berkata, beliau sangat ralat kerana pernah menangguhkan pemeriksaan mata anaknya yang manja disapa Rabbani. Bukan sengaja, tetapi semuanya kerana kekangan kewangan yang dihadapi.

Natijahnya cukup teruk. Pemuda berkenaan semakin menunjukkan perkembangan negatif apabila mengadu tidak nampak sebarang objek di depan mata.

Baca juga Hilang kaki dan jari tangan kerana kuman meningococcal, semangat juang adik Ziyad teruskan hidup buat ramai kagum

“Saya jadi tidak keruan lantas membawanya ke kedai cermin mata untuk pemeriksaan, namun diminta pula berjumpa doktor pakar mata di Seremban.

“Kata-kata doktor cukup memeranjatkan saya. Rupa-rupanya saraf mata ke otaknya sudah putih dan hanya mata kiri Rabbani sahaja memberi respons kepada cahaya,“ katanya dengan nada penuh pilu.

rafidah ketumbuhan otak

Situasi semakin memburuk apabila keputusan imbasan Computed Tomography menunjukkan terdapat ketumbuhan di dalam otak sehingga menghimpit saraf mata remaja tersebut.

“Ketika pemeriksaan sinar X dilakukan, Rabbani ada masalah resdung dan asma pula. Dia diserang sesak nafas ketika menjalani pemeriksaan imbasan MRI (Pengimejan Resonans Magnetik) membuatkan semua proses itu terpaksa dihentikan,“ katanya.

Tidak mahu keadaan Rabbani menjadi bertambah parah, bekas pembantu tadbir itu mencuba kaedah imbasan MRI terbuka yang memerlukan kos sekurang-kurangnya RM2,700 di hospital swasta.

Baca juga ‘Saya teringin nak belikan baju raya baharu untuk anak-anak.’ -Luahan pilu ibu tunggal lima anak

“Hanya ALLAH sahaja yang tahu perasaan terdesak ini dengan duit tak cukup, sambil memikirkan keadaan anak yang kritikal. Nasib baiklah sumbangan rakan sekolah dan adik beradik dapat melangsaikan bayaran tersebut,“ katanya yang kemudian merujuk kes Rabbani ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Bingung

Selepas anak keempat dari lima beradik itu melepasi episod penuh mencabar dan selamat menjalani pembedahan di HKL pada 26 Januari lalu, hati Rafidah mulai tenang.

Namun, kegembiraan itu hanya seketika sahaja. Beliau menerima perkhabaran bahawa suaminya sedang tenat di kampung.

rafidah ketumbuhan otak

Iklan

Memikirkan Rabbani yang masih dipantau rapi di HKL dan mengenangkan suami yang boleh pergi pada bila-bila masa, Rafidah bermuhasabah diri.

“Tidak tahulah di mana kekuatan yang saya dapat ketika itu. Kalau orang lain mungkin boleh jadi gila dibuatnya. Saya bagaikan sudah pasrah dengan ketentuan ILAHI.

“Masa itu, saya hanya terfikir untuk beri telefon kepada Rabbani di HKL supaya dapat membuat panggilan video untuk melihat wajah ayahnya buat kali terakhir,“ tuturnya yang mahu terus kuat demi anak-anak.

Baca juga Dua beradik hidap penyakit jantung berlubang mohon bantuan orang ramai, si adik memerlukan pembedahan segera

Meskipun kini Rabbani disahkan bebas tumor dan masih menerima rawatan susulan di HKL, Rafidah tetap berusaha untuk mendapatkan rawatan terbaik demi membolehkan anaknya mampu melihat semula seperti sebelum ini.

“Hati ini sedih melihat Rabbani beria-ria mahu bekerja membantu saya, sedangkan mahu menulis pun dia tak nampak. Bagaimana masa depannya nanti kalau saya sudah tiada? Memikirkan perkara itu sudah membuatkan jiwa saya tidak pernah aman,“ katanya.

rafidah ketumbuhan otak

Hidup bergantung kepada pencen arwah suami yang tidak seberapa ditambah hutang rumah dan utiliti yang masih tertunggak, membuatkan Rafidah buntu memikirkan kos rawatan susulan Rabbani.

Iklan

“Anak-anak ada membantu tetapi masih belum cukup. Mahu berniaga burger semula, saya sudah tidak larat kerana menanggung sakit slipped disc, selain kencing manis dan darah tinggi.

“Syawal kali ini sudah hilang serinya, apatah lagi suami yang menjadi penghibur hati pergi buat selama-lamanya. Cuma satu sahaja yang saya harapkan iaitu Rabbani dapat melihat semula satu hari nanti,“ katanya.

Kepada orang ramai yang ingin membantu keluarga ini, anda boleh menyalurkan sumbangan terus ke akaun CIMB 7024615843 atas nama Rafidah Abdul Ghapar.

Jangan lupa follow kami Instagram! dan layari portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI