PENULIS terkedu sebaik mendengar luahan hati Nor Faizah Mohammad Hanizam yang diuji dengan dugaan demi dugaan.

Lebih sayu, Syawal yang sepatutnya lebih ceria sudah tidak mendatangkan sebarang makna selepas suami tercinta, Mohd Zulkarnaen Idham Zaabar pergi meninggalkan mereka sekeluarga buat selama-lamanya.

Arwah meninggal dunia pada 30 Januari lalu selepas menanggung sakit saraf dan kencing manis sejak empat tahun lamanya.

airis

Pada saat hilang tempat bergantung, anak bongsunya, Nur Airis Maisarah atau manja dipanggil Airis yang kini berusia tiga tahun, disahkan menghidap penyakit buah pinggang bocor tahap kritikal pula.

Kepada SinarPlus, wanita berusia 31 tahun itu memberitahu, ujian yang menimpanya terlalu berat untuk dipikul, lebih-lebih lagi perlu membesarkan empat anak yang masih kecil secara bersendirian.

“Saya tahu ia berat, tapi saya perlu kuatkan semangat demi anak-anak terutamanya Airis yang masih memerlukan rawatan di Hospital Tunku Azizah (HTA), Kuala Lumpur setiap minggu,“ luahnya yang menetap di rumah mertuanya di Rancangan Tanah Pemuda, Kampung Bukit Dinding, Jerantut, Pahang.

Baca juga Suami pergi sekelip mata, anak pula disahkan buta akibat ketumbuhan pada otak. Dugaan wanita ini bikin ramai sebak

Tatkala bercerita mengenai keadaan puteri bongsunya, suara tangisan sudah mula kedengaran di corong telefon.

airis

Ujarnya secara perlahan-lahan, sebelum Airis menderita sakit buah pinggang bocor, mata kanan si kecil itu membengkak.

“Ketika kejadian, umur Airis baru setahun. Bukan sahaja bengkak pada matanya tak surut, malah berjangkit pula pada mata kiri. Selepas itu, bahagian badan lain (mula membengkak) termasuklah hati dan usus menjadi sempit.

“Saya tidak boleh lupa keadaan Airis ketika ditahan wad selama lebih sebulan. Badannya terlalu lemah walaupun sudah diberi rawatan. Masa itu doktor maklum sudah tiada harapan untuk Airis lagi,“ katanya penuh kepiluan.

airis

Enggan mengalah terlalu awal, wanita itu dan arwah suaminya memutuskan untuk terus menempatkan anak kesayangan mereka di HTA.

Terus berdoa

Sepanjang tempoh Airis di hospital, Nor Faizah berkata, suaminya turut berada dalam keadaan yang agak kritikal apabila lelaki itu tidak dapat berdiri lama gara-gara penyakit saraf yang dialami tidak menunjukkan petanda untuk sembuh.

“Dalam keadaan sakit-sakit, arwah gigih memandu dari Jerantut ke Kuala Lumpur demi Airis. Pada Januari lalu, memang keadaannya semakin teruk selepas berlaku kekejangan sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital.

airis

“Arwah suami juga terpaksa ditidurkan sebanyak dua kali. Doktor maklumkan, jangkitan kuman dalam badannya sudah merebak ke dalam organ lain dan hanya bergantung kepada ubat sahaja.

“Jika ubat habis, memang tidak boleh diselamatkan. Saya buntu sangat ketika itu kerana pada masa serentak, Airis juga sedang sakit. Hanya kepada ALLAH saya berdoa supaya suami kembali sihat, namun ALLAH lebih menyayanginya,“ katanya yang reda dengan ketentuan takdir.

Masa yang silih berganti menyaksikan Airis menunjukkan perkembangan yang positif selepas bengkak pada anggota badan mulai menyusut.

Baca juga Hilang kaki dan jari tangan kerana kuman meningococcal, semangat juang adik Ziyad teruskan hidup buat ramai kagum

“Dalam pada hati masih rindu dengan arwah, semangat Airis yang kuat melawan penyakit daripada hampir nazak hingga mampu tersenyum seperti dulu kala, membuatkan saya kembali bersemangat.

“Setakat ini doktor maklum bengkak hati dan usus sempit sudah okey, cuma masalah buah pinggang bocor masih memerlukan rawatan berterusan termasuk ubat khas yang perlu dimakan sebanyak tiga kali dalam tempoh seminggu,“ katanya yang gigih berulang-alik dari Temerloh ke Kuala Lumpur.

airis

Saat penulis melontarkan soalan mengenai kos yang sedang ditanggungnya memandangkan suami sudah tiada, ibu tunggal tersebut tidak mampu mengeluarkan sebarang reaksi balas.

Akhirnya, selepas beberapa ketika Nor Faizah berterus terang. Akui beliau, keluarganya hanya bergantung kepada upah tempahan membuat ketupat palas sepanjang bulan Ramadan, selain menerima bantuan bulanan RM200 untuk susu khas dan lampin pakai buang buat Airis.

Baca juga ‘Saya teringin nak belikan baju raya baharu untuk anak-anak.’ -Luahan pilu ibu tunggal lima anak

“Susah untuk saya terangkan keadaan kami ketika ini dengan tiga anak bersekolah. Kalau diikutkan, memang tidak cukup. Raya tahun ini pun ala kadar saja. Bagi saya, paling penting anak-anak gembira dapat ziarah kubur abah mereka. Syawal kali ini adalah yang paling sedih buat kami semua.

airis

“Saya juga tidak pernah putus-putus berdoa kepada ALLAH supaya urusan kami anak beranak dipermudahkan selepas ini,“ katanya yang mengharapkan Airis dapat pulih sepenuhnya dan menjalani rutin seperti kanak-kanak lain.

Kepada mereka yang prihatin dengan nasib keluarga ini, dana sumbangan waima berapa jumlahnya boleh disalurkan terus ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0610541100001386 atas nama Nor Faizah Binti Mohammad Hanizam.

Jangan lupa follow kami Instagram! dan layari portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI