BUKAN calang-calang! Usia bukan penghalang buat anak muda ini yang dilihat gigih berusaha mencari rezeki dengan cara yang sangat kreatif.

Selvakumar K. Tharmalingam, berasal dari Kampung Slim, Perak, memilih untuk menjual petai sambil berpakaian seperti Spiderman.

Memetik laporan media tempatan, menurut Selvakumar yang merupakan pelajar universiti dalam jurusan pentadbiran perniagaan, dia memilih untuk berpakaian seperti Spiderman kerana baginya, itu merupakan gimik yang sesuai menarik perhatian orang ramai.

'Spiderman’ jual petai, anak muda cari rezeki tambahan, tak peduli mulut orang!

“Saya berasa sangat gembira menjual petai sebagai Spiderman. Apabila orang ramai tahu tentang perniagaan saya dan orang ramai ingat saya sebagai ‘Spiderman Petai’, saya rasa lebih bermotivasi untuk teruskan ia sebagai kerjaya sampingan,” kata Selvakumar.

Tambah Selvakumar yang mempunyai cita-cita untuk bekerja sebagai seorang polis, perniagaan ini bukan merupakan sumber utama pendapatan keluarganya.

Ini merupakan pendapatan tambahan untuk membantu keluarga setelah ibu dan bapanya bercerai.

Selvakumar turut merasakan ia adalah hobi yang produktif untuk dilakukan sementara kuliah universiti masih dilakukan dalam talian.

'Spiderman’ jual petai, anak muda cari rezeki tambahan, tak peduli mulut orang!

Apabila ditanya mengenai cabaran, Selvakumar berkata, perkara yang paling susah untuk dihadapi bukan memakai kostum Spiderman dalam suasana panas, tetapi lebih kepada menghadapi komen negatif segelintir pihak.

“Kadang-kadang ada sesetengah orang sakitkan hati saya, membuat saya sebagai bahan ejekan dan ada yang sengaja membuat saya rasa sedih kerana berpakaian lain daripada lain sambil menjual petai,” ujarnya.

Iklan

Namun, dia tidak membiarkan komen-komen negatif itu memberi kesan kepada dirinya kerana dia juga mendapat banyak komen-komen positif oleh netizen melalui media sosial yang sering membuatnya tersenyum.

'Spiderman’ jual petai, anak muda cari rezeki tambahan, tak peduli mulut orang!

Selvakumar telah bermula menjual petai sejak dua bulan lalu selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mula dilaksanakan.

Iklan

Perniagaan ini pada asalnya dimulakan oleh datuk Selvakumar 10 tahun yang lalu, namun telah diambil alih olehnya apabila tiada ahli keluarga lain yang ingin meneruskan perniagaan itu.

Selain menjual petai, Selvakumar turut menawarkan beberapa perkhidmatan lain termasuk sebagai penampilan istimewa dalam sambutan ulang tahun hari lahir kanak-kanak serta menawarkan perkhidmatan pengangkutan.

Syabas anak muda! Teruskan berusaha!