Suami maut dilanggar pemandu mabuk, isteri hilang separuh punca pendapatan

June 4, 2020
Azimah

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Sudahlah kehilangan suami tersayang, rezeki selama ini dicari bersama turut terjejas dek tiada lagi orang tersayang yang membantu.

Itu belum dikira anak-anak yang kehilangan kasih sayang bapa akibat ‘perginya’ seorang lelaki yang menjadi tunggak keluarga.

Ya, ajal maut di tangan Tuhan, bukan menidakkan takdir. Namun begitu, jika ia berlaku disebabkan sikap manusia yang tidak bertanggungjawab, sedikit itu sangat memilukan mangsa yang tidak bersalah.

Itu yang didepani Zahlawatti Dahlan, 47, apabila suaminya, Mohamed Zaili Mohamed, 44, maut selepas menjadi mangsa dilanggar pemandu maut dalam kejadian 1 Jun 2020.

Lebih menyedihkan, jika selama ini beliau dan suami yang tinggal di Bukit Antarabangsa ibu negara sama-sama mencari sumber rezeki dengan berniaga, kini tanpa suami dirinya umpama layang-layang putus tali.

“Akak memang dah lama berniaga dekat 10 tahun yang mana suami pun membantu. Sejak berniaga makanan, suamilah yang menjadi runner menghantar makanan kepada pelanggan.

“Sekarang arwah dah tak ada, akak tak tahu la mcm mana nak kena ambil runner lain nanti. Mungkin customer lah yang terpaksa caj lebih sikit sebab akak perlu pakai runner lain nanti,” katanya kepada SinarPlus, semalam.

Belum ‘kuat’ nak berniaga

Masih bersedih dengan kejadian yang baharu menimpa arwah suaminya itu, biarpun selama ini berniaga sepenuh masa, buat masa ini beliau masih belum kuat hendak meneruskan perniagaan.

“Alhamdulillah mungkin ada yang tak tahu, ada orang masih order makanan.

“Yalah, baru sangat kejadian ni lagi. Buat masa ini akak belum start berniaga. Mungkin lagi tiga minggu akan mula balik.

“Lagi pun banyak yang hendak diuruskan. Akak pun nak tenangkan jiwa,” ujar ibu kepada empat orang cahaya mata ini yang berusia 22, 21, 10 dan 6 tahun.

Selain menanggung dua anak yang masih kecil, Zahlawatti turut menjaga ibunya yang berusia 65 yang tinggal bersamanya.

Dua anaknya yang masih kecil, Mohamed Aleesya Zailiza bersama abangnya, Airil Iskandar.

Ditanya bagaimana beliau melihat kehidupannya selepas ini, wanita ini tidak menafikan cabaran yang perlu dihadapi.

“Pastinya terjejas sangat. Dah tak ada orang nak tolong berniaga. Sebelum ini arwahlah yang banyak tolong dan jadi penasihat akak.

“Boleh kata lepas ni separuh pendapatan akak terjejas. Penghantaran makanan itu nanti lah yang susah sikit,” kongsinya.

Ditanya apakah harapan beliau terhadap pemandu mabuk yang melanggar suaminya, beliau berharap individu bersalah dikenakan hukuman setimpal.

“Saya memang geram. Apa pun biarlah undang-undang yang tentukan hukumannya,” katanya.

Terdahulu, Mohamed Zaili yang merupakan penghantar makanan maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina.

Disyaki pemandunya mabuk dalam kejadian di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala pusat bandar itu 1 Jun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, Mohamed Zaili dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas menghantar makanan yang diniagakan oleh isterinya.

Zulkefly berkata, akibat perlanggaran tersebut, mangsa terbabas ke bahu jalan dan motosikalnya pula diseret kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tasik Kesuma.

Kejadian yang menimpa Zahlawatti turut mendapat perhatian warganet yang berharap orang ramai dapat membantunya dengan memesan makanan @watiekitchen yang dijualnya. -AG #rantaiankasih

Makanan yang dijual @watiekitchen.