KATA Goh Liu Ying, kerdipan populariti yang dikecapinya selepas perlawanan akhir badminton pada Sukan Olimpik di Rio De Janeiro, Brazil enam tahun lalu bagaikan satu mimpi.

Pada final berkenaan, gandingan beliau, Chang Peng Soon tunduk kepada pasangan regu campuran Indonesia. Pun demikian, bukan kekalahan yang dibicarakan, tetapi kejelitaan Liu Ying yang mencuri tumpuan.

Ruang media sosial bertebaran dengan komen-komen yang memuji kecantikannya. Bukan itu sahaja, meskipun mengalami kecederaan lutut, ketabahan yang dipamerkannya ketika beraksi, mendapat pujian melata.

Dengan rambut berikat, semangatnya yang berjuang berhabis-habisan dilihat berjaya memujuk hati rakyat Malaysia, walaupun sekadar meraih pingat perak.

Ah! Momen berkenaan sudah lama berlalu, tetapi impaknya masih terpahat dalam ingatan ramai. Ketika membangkitkan kembali kenangan indah itu, wajah Liu Ying kemerahan. Beliau hanya tertawa kecil ketika kami berinteraksi baru-baru ini.

Namun, dirinya mengakui impak positif daripada ‘peristiwa‘ di Rio De Janeiro itu. Kemahsyurannya boleh diukur dengan lonjakan bilangan pengikutnya di platform Instagram dari pelbagai negara.

Warganet semakin ingin tahu tentang sosok jelitawan sukan dari Malaysia. Kata Liu Ying, beliau berasa amat terharu.

“Sebenarnya, saya tidak sangka dan sangat terkejut. Namun, saya terima dengan hati yang terbuka dan melayani peminat di luar sana,“ tuturnya sopan.

Pengorbanan bapa

Sebenarnya Liu Ying kini sedang dalam persediaan ke Sukan Olimpik di Tokyo pada 23 Julai ini. Beliau juga bakal pembawa bendera negara pada sesi pembukaan sukan berprestij itu nanti!

“Saya sangat teruja kerana Sukan Olimpik bakal menjelma. Saya memang tengah sibuk berlatih. Berdasarkan jadual, pada setiap hari Isnin, Selasa, Khamis dan Jumaat, saya akan lakukan latihan dua kali dalam sehari, sesi pertama pada jam 7.30 pagi hingga 10.30 pagi diikuti sesi kedua pada jam 3 petang hingga 5 petang.

“Pada hari Rabu dan Sabtu pula, hanya satu sesi latihan sahaja dan Ahad adalah hari cuti saya,“ katanya yang kini berada di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Tatkala meneliti siri kejayaan demi kejayaan yang diraih wanita berusia 32 tahun itu, penulis terus ingin tahu bagaimana Liu Ying mula mengorak langkah dalam arena badminton. Maka, kesempatan bersamanya memberi peluang kepada penulis menebak historiografi pembabitannya.

“Bapa saya, Goh Chak Whee, 65, merupakan watak penting dalam hal ini. Sejak kecil, beliau selalu mengajak saya bermain badminton bersama rakan-rakannya.

“Jika tidak silap saya, pada masa itu saya baru berusia tiga tahun. Oleh kerana bapa sangat gemar dengan sukan itu, beliau menanam hasrat untuk saya bergelar pemain kebangsaan,“ ujarnya yang mempunyai jurulatih khusus yang dilantik bapa tersayang untuk mengasah bakatnya.

Pun demikian, hanya pada umur 11 tahun dirinya mewakili Melaka dan itu bagi Liu Ying, sudah agak lewat.

Dipendekkan cerita, bintang dalam ciptaan itu berjaya menempatkan diri di Sekolah Sukan Bukit Jalil. Bermula dari detik itu, alunan kehidupannya sebagai pemain badminton profesional bermula.

Barangkali pihak pengurusan mempunyai sudut pandang yang lebih tajam, Liu Ying ditransisikan daripada pemain kategori perseorangan kepada beregu campuran.

“Saya hanya menuruti sahaja strategi yang ditetapkan. Siapa sangka, gandingan saya dalam kategori baharu itu membuahkan hasil. Tanpa saya sedar, saya berubah dari satu takuk ke satu takuk yang lebih baik,“ katanya.

Pada tahun 2012, Liu Ying dan gandingannya, Peng Soon tampil bertanding pada Sukan Olimpik di London, United Kingdom. Namun, belum membutirkan sebarang pingat. Kemudian, di Rio De Janeiro, nama Liu Ying meledak walaupun tanpa kilauan emas. Katanya, pertandingan itu telah membuka satu paradigma baharu dalam hidupnya.

“Sebenarnya mendapat pingat di Sukan Olimpik adalah impian besar yang diinginkan oleh seorang ahli sukan. Bila saya dapat berdiri di atas podium dengan memegang pingat, ia adalah satu kebanggaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata,“ imbaunya.

Rutin kecantikan

Ensiklopedia kehidupan Liu Ying sebagai pemain badminton ternama bukan hanya dipenuhi dengan cerita yang indah sahaja. Luah duta Daikin itu, tersemat 1,001 kisah di sebalik semua itu.

Kepada SinarPlus, selebriti sukan tersebut mengakui, dirinya dilahirkan dengan sosok bukan sebagai ahli sukan.

“Saya tidak dapat membina otot seperti atlet lain kerana memiliki otot yang kecil dan mudah terdedah kepada kecederaan,“ katanya yang hanya memiliki ketinggian 166 sentimeter dengan berat badan yang konsisten iaitu lebih kurang 56 kilogram.

Pun demikian, berbekalkan misi dan tekad, anak sulung daripada tiga beradik itu sanggup melakukan apa sahaja.

Sebelum menempah tempat ke Sukan Olimpik di Brazil, Liu Ying dikhabarkan sanggup melakukan pembedahan pada kedua-dua lututnya pada tahun 2014 semata-mata mahu beraksi pada acara berprestij itu. Sekali lagi, pada Mei 2017, beliau membuat pembedahan pada bahunya pula di Jerman.

“Ramai yang bertanya mengapa saya terdetik membuat pembedahan?

Iklan

Jawapannya, saya hanya boleh mempamerkan aksi hingga 60 peratus sahaja jika tidak membuat melakukannya (pembedahan),“ katanya menoktahkan jawapan.

Ya, perbualan kami tentang sukan memang panjang lebar. Namun, pada kesempatan itu turut digunakan penulis untuk bertanya tentang bagaimana seorang personaliti sukan terkenal menjaga kesihatan dan kecantikan.

“Kalau anda tanya saya tentang hal kecantikan, saya tiada rahsia khusus. Saya hanya menggunakan pelembap, penyegar wajah dan paling penting adalah menjaga kebersihan diri kerana saya setiap hari akan berpeluh,“ tuturnya.
Namun, dari aspek kesihatan, nampaknya fokus Liu Ying lebih tinggi.

“Jadual pemakanan saya yang aturkan sendiri. Saya kurangkan makanan bergoreng dan lebih tumpukan kepada makanan yang seimbang dari segi protein, karbohidrat dan serat.

Dari segi senaman pula, saya akan aktif setiap hari, sama ada bermain badminton, berenang, bermain pingpong, tenis atau snuker,“ katanya yang mewajibkan dirinya mendapatkan tidur selama lapan jam setiap hari.

Sesungguhnya, pakej lengkap yang dimiliki Liu Ying dilihat telah menggamit sejumlah jenama tersohor dunia melantiknya sebagai duta. Antaranya Yobick, Himalaya, Li-Ning dan Vida C, selain Daikin.

Sebagai seorang yang berpengaruh, nampaknya Liu Ying telah memperluaskan prospek kerjayanya dengan menjadi seorang YouTuber pula. Ekplorasi yang bermula sejak 2017 itu menyaksikan wanita anggun itu menyediakan konten-konten yang mengutamakan sukan kegemarannya apa lagi kalau bukan badminton.

Iklan

“Ramai yang ingin tahu ‘petua’ untuk melonjakkan kemahiran mereka dalam sukan ini. Jadi saya kongsikan beberapa tip seperti kaedah membuat pukulan smash, senaman pemantapan fizikal dan bab pemakanan.

“Ada juga konten santai seperti aktiviti saya ketika berehat dan perjalanan saya menghadiri pertandingan. Kadangkala, timbul juga idea ‘gila‘ yang mana saya pernah kongsikan video pendek bermain badminton dengan menggunakan tangan kiri,“ katanya yang tidak lagi diselia oleh kerajaan Malaysia dan bertindak menguruskan karier sukannya sendiri.

Pun demikian, sejak kebelakangan ini, disebabkan sibuk menjalani latihan, Liu Ying berkata, beliau tidak berkesempatan memuat naik sebarang video menerusi laman YouTubenya, Goh Liu Ying.

“Sudah ‘berhabuk’ sedikit YouTube saya,” ujarnya berseloroh.

Nampaknya, hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi beliau dan pasangannya, Peng Soon termasuk sejumlah atlet negara kita bakal beraksi di pentas olimpik.

Beliau memasang impian untuk menaiki podium sekali lagi.

“Saya harap misi di Tokyo membuahkan hasil, sekali gus dapat menghadiahkan sesuatu kepada negara tanpa mengira warna pingat,“ katanya.