UMUM maklum solat tahajud merupakan ibadah yang sangat dituntut dalam Islam dan banyak hikmah yang tersembunyi di sebalik usaha mendirikannya.

Ya, bukan mudah untuk bangun menunaikannya pada waktu yang disarankan iaitu di tengah malam hingga awal pagi. Beruntunglah bagi yang beristiqamah dapat melakukannya. Amat besar ganjarannya.

Bagaimanapun bagi yang sukar melaksanakannya, berikut merupakan perkongsian menarik influencer ini yang gemar berkongsi perkara yang super positif dan menarik.

Mempunyai lebih 40k followers di media sosial, Dzuriasikim Dzulkefli, wanita yang masih anggun dan cantik menawan biarpun sudah mencecah usia 51 tahun ini sudah sedia maklum oleh pengikutnya tentang kecenderungan beliau yang gemar berkongsi tentang kelebihan solat tahajud.

Itulah antara rahsianya yang mengakui pengalaman berdepan kesusahan hidup hingga perlu menjadi penjual di jalanan pada suatu ketika dahulu dan kini menjadi orang yang sukses terutama dari segi meraih rezeki ALLAH.

Berikut antara yang dikongsikan Dzuriasikim:

BAGAIMANA MAHU ISTIQAMAH UNTUK BANGUN BERTAHAJJUD?

Saya tidak tahu bagaimana untuk mengajarkannya, namun inilah yang telah saya lakukan…

1. Pertama-tama sekali, saya mula bertahajud setelah membaca:

“Doa Di Saat Tahajud Bagaikan Anak Panah Yang Melesat Tepat Mengenai Sasaran” (Imam Syafi’i)

Saya merasakan ia adalah suatu usaha yang perlu saya lakukan tanpa “modal” bagi merubah nasib saya. Rugi besar jika tidak dilakukan. Modalnya untuk kita mengubah nasib, adalah dengan meninggalkan selimut dan bangun malam.

2. Kali pertama saya berdoa ketika bertahajud adalah lebih 9 tahun lalu. Saya duduk beralaskan sejadah yang dihamparkan di atas lantai simen yang sejuk.

3. Oleh kerana kesukaran hidup saya waktu itu, ia sungguh menghimpit… Hinggakan saya telah meletakkan kebergantungan saya hanya kepada Allah. Tidak ada yang lain. Cinta kepada manusia telah banyak mengecewakan. Tapi tidak kepada Allah. Yakin itu….

4. Pada permulaannya saya paksa diri untuk bangun malam. Kerana yakin bahawa doa dalam tahajud sangat mustajab.

5. Biarpun dalam keadaan letih, mengantuk, tidur lewat atau apa sahaja, saya tetap gagahkan diri untuk bangun. Tidak susah jika kita benar-benar berkehendak. Susah bagi yang masih belum benar-benar mahu.

6. Lama kelamaan ianya menjadi habit. “Body clock” saya membuatkan saya sering terjaga sekitar jam 4 pagi. Ia memudahkan saya untuk bertahajjud.

7. Jika kita dapat paksa diri untuk bangun malam selama 2 ke 3 minggu tanpa henti, ia akan menjadi habit. So you have to create that good habit (untuk bangun malam).

8. Bila dah biasa buat, akan timbul rasa addicted untuk melakukannya pula. Seolah jika tak buat sehari….rasa tak best nanti.

9. Ada yang tanya saya mengapa sudah bertahun mereka bertahajud namun doa mereka seperti tidak termakbul lagi.

Maka, boleh jadi kita perlu semak diri kita dari sekecil-kecil perkara, contohnya sejauh mana kita ikhlas terhadap diri kita dan orang lain. Boleh jadi kita ini sering suka berjanji, namun sering melupakan atau tidak menepati.

Mungkin kecil, bahkan sangat kecil… Seperti ketika kita minta orang PM kita untuk membeli online, kemudian bila orang PM kita diamkan sahaja pula. Kecil kan?

Atau kita sering bebelkan suami sendiri dengan suara kecil. Ya suami tidak dengar… tapi, itulah….dosa….

Atau sering tidak ikhlas bila lihat posting di Facebook, nampak gambar orang…. Hati kita sebut yang tidak baik, tangan kita klik “like”, dan kita tulis kata-kata pujian. Wah, kita tidak “align” dalam diri kita. (Ini saya ajarkan dalam Secret Group saya dengan lebih mendalam).

Semua contoh ini kelihatan kecil, belum yang besar-besar, tetapi boleh jadi menjadi “filter” kepada doa kita. Anda faham bukan?

10. Allah memberi dengan cara yang berbeza. Boleh jadi kita minta rezeki, Allah hadirkan jodoh. Kemudian jodoh itulah yang menjadi laluan bagi rezeki kita. Boleh jadi kita minta agar dipermudahkan urusan, Allah lindungi kita dari kemalangan atau sakit demam. Boleh jadi juga, doa kita belum termakbul sekarang, tapi akan datang.

Namun yakinlah, Allah akan mengabulkan doa kita tidak lambat dan tidak cepat, bahkan tepat pada waktunya.

Dzuriasikim

Ada yang minta saya ajarkan doa dalam tahajud saya…

Sebetulnya tidak ada doa khusus yang saya amalkan. 

Namun begini:

1.  Ketika berdoa dalam tahajud sejak dari pertama kalinya lagi saya berdoa dalam keadaan yang sangat memerlukan.  Rasa “desperate” yang sukar untuk saya bayangkan atau tulis dengan kata-kata. 

Iklan

2.  Saya meletakkan keyakinan 200% bahawa segalanya adalah mudah dengan bantuan dan keizinan dari Allah.  Bahkan bagi perkara yang kita rasa tidak mungkin pun.  Kerana Allah memberi dengan cara yang super tidak logik.

3.  Apa sahaja pemberian dan ujian dari Allah saya terima dengan sangat ikhlas dan reda.  Benar, saya juga telah sering menangis kerana sakit, menderita, kecewa atau apa sahaja.  Kerana saya juga manusia biasa.  Namun tidak pernah sekalipun saya mengeluh.

4.  Sepanjang tempoh 20 tahun perkahwinan, tidak pernah sekalipun saya meninggikan suara kepada bekas suami.  Apa lagi menyindir dalam bentuk tulisan di media sosial.  Walaupun rumahtangga dalam keadaan yang tidak baik ketika itu, tidak ada satupun cerita yang tidak baik tentang rumahtangga saya kongsikan kepada sesiapa waktu itu.  Apabila menjadi isteri, jadilah isteri yang baik dengan sebaik mungkin.

Andai teraniaya, Allah tahu.  Andai sabar dalam siksa, Allah pandang itu semua.

Ingat, doa orang yang teraniaya itu tidak ada hijab.  Doakanlah yang baik-baik selalu iaitu bagi perkara yang mendatangkan kepada kebaikan.  Bukan meminta Tuhan untuk menghukum orang.

5.  Bertawakal sepenuhnya kepada Allah.  Bertawakal ini maksudnya kita berserah 100% kepada Allah bahawa segala apa yang berlaku dengan izinNya adalah yang paling baik.  Kita usaha, kemudian kita berserah.

6.  Usah pernah lelah untuk berbuat baik.  Orang pandang salah pada kita, kita balas dengan pandangan baik.  Orang benci kita (benci saya contohnya kerana janda) kita balas dengan rasa kasih sayang dan empati yang baik.  Rasa kasihan kerana mereka (orang yang salah sangka kepada kita) tidak faham dan kenal dengan kita namun bersangka-sangka.  Tidak ada benci dalam diri dan hati terhadap orang.

Termasuk bagi mereka yang pernah zalim dengan kita.

7.  Bahagiakan anak-anak atau tanggungan yang ada di bawah kita tanpa keluh kesah.  Apa lagi untuk mengungkit dan merungut.  Mereka adalah amanah dari Allah.  Biarpun terpaksa bersusah…

Iklan

8.  Ikhlas kan diri dalam setiap perkara.  Jadi isteri yang ikhlas.  Ibu yang ikhlas.  Kakak yang ikhlas.  Sahabat yang ikhlas.  Pekerja yang ikhlas.  Peniaga yang ikhlas.  Ikhlas itu ghaib dan mungkin kita akan diuji dengan banyak perkara.  Namun tetaplah kita ikhlaskan hati walau kadang kita tak mampu berkata-kata untuk membela diri. 

Cukuplah Hanya Allah.  Dia Maha Tahu.

9.  Usah pernah lelah untuk berdoa.  Usah pernah jemu untuk bangun malam dan bersujud.

10. Usah pernah lelah untuk bertahajud.  Selagi kita tidak mahu bangun kerana terlalu letih, mengantuk, penat, tidak jaga, atau apa sahaja alasan yang kita sering ada.  Itu tandanya kita belum benar-benar mahukan sesuatu perkara.

Sedang kita boleh bangun malam untuk ke kamar mandi bagi menunaikan hajat…lalu kita tidur semula.  Setakat itulah kemahuan kita.  Tidak lebih.  Anda faham kan?

Miracle of Tahajjud
Sekali minta, berkali Allah bawa.

Dzuriasikim Dzulkefli
InsyaAllah esok saya tulis lagi.

Begitu kongsi Dzuriasikim. Nampak amat susah bukan hendak bangun di awal pagi meninggalkan selimut, bantal dan tilam empuk, pada waktu fajar belum menyinsing?

Namun begitu, alah bisa kan tegal biasa. Doa SinarPlus moga mereka yang sudah ada niat melakukannya dapat terus istiqamah. -AG #rantaiankasih