PENCAPAIAN demi pencapaian diraih oleh pasangan pengguna YouTube sensasi, S. Pavithra dan suami setelah kisah mereka tular di laman sosial sejak Perintah Kawalan Berkurung (PKP) yang lalu.

Inilah yang dikatakan “Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu”. S. Pavithra membuktikan tiada apa yang mustahil jika kita berusaha.

Terbaharu, YouTuber terkenal itu dilaporkan akan menerima pengiktirafan sebagai Ikon Anak Bandar Raya Ipoh Tahun 2020 oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sempena sambutan Hari Bandaraya Ipoh pada tahun depan.

Memetik laporan media akhbar tempatan, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pengiktirafan itu diberikan kepada Pavithra, 28, anak kelahiran Buntong kerana sering memuat naik video masakan bersama suaminya, M. Sugu di saluran YouTube sehingga dikenali ramai serta menarik perhatian Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Wow! Tahniah S. Pavithra!

“Setiap anak bandar raya Ipoh kita akan bagi pengiktirafan seperti Tan Sri Michelle Yeoh sebelum ini. MBI ikhlas memberikan pengiktirafan ini kepada Pavithra kerana berjaya dikenali ramai dan resipi masakan mereka menjadi ikutan ramai ketika ini,” katanya.

Rumaizi berkata, MBI telah mengenal pasti 100 individu daripada pelbagai latar belakang termasuk Pavithra, antaranya usahawan, penggiat seni, penjawat awam, agamawan serta golongan pendidik yang akan menerima pengiktirafan itu.

Iklan

“Sambutan Hari Bandaraya Ipoh ke-32 pada tahun ini tidak dapat diadakan disebabkan penularan Covid-19, kita akan meraikan kesemua ikon ini pada sambutan Hari Bandaraya Ipoh pada tahun depan.

Sebagai permulaan, katanya seramai 10 anak kelahiran Ipoh yang banyak memberi sumbangan dan mendapat pelbagai pengiktirafan dalam negara serta antarabangsa, akan diumumkan secara berperingkat.

Sementara itu, Pavithra, ibu kepada dua anak, merakamkan penghargaan kepada MBI yang memilih beliau untuk menerima pengiktirafan sebagai Ikon Anak Bandar Raya Ipoh.

Iklan

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong dan memberi kata-kata semangat kepada saya dan suami selama ini,” katanya.

Pasangan suami isteri yang menggunakan nama ‘Sugu Pavithra’ di saluran YouTube sering kali memuat naik video masakan menggunakan Bahasa Melayu dan diikuti oleh pelbagai kaum daripada segenap lapisan umur termasuk dari luar negara.