SEPATUTNYA sesi interviu kami berlangsung pada sebelah siang, namun beliau meminta izin untuk menundanya seusai solat Isyak. Seperti masa dijanjikan, sebaik sahaja mendengar suara di corong telefon pintar, Diana Md Nasir berkali-kali menzahirkan kemaafan.

Kelewatan menemu bual tersebut disebabkan kesibukannya melunaskan kerja rumah dan menguruskan tiga cahaya mata beliau. Bidadari kecilnya itu terdiri daripada pasangan kembar Anggun Darleesa Mohd Azwan dan Anggun Darleena, 3, serta Anggun Darniella, berusia dua tahun.

“Maaf, tak berkesempatan siang tadi kerana menumpukan sepenuh perhatian pada anak-anak. Kebiasaannya, semasa mereka berehat (tengah hari) saya menyambung semula kerja rumah dan memasak.

“Pada sebelah petang pula, kami mengisi masa melakukan pelbagai aktiviti menyeronokkan. Kadangkala mummy-nya terlebih excited (teruja) apabila melihat Anggun meneroka dan bermain permainan sama seperti zaman kanak-kanak saya,” jelas ibu berusia 34 tahun itu kepada Sinar Plus baru-baru ini.

Bicara kakak sulung kepada pelakon popular, Anzalna Nasir itu, biarpun bergelar suri rumah, jadual hariannya sentiasa padat. Apatah lagi, sejak berumah tangga sehingga kini beliau tidak pernah menggunakan khidmat pembantu rumah.

Justeru, bagi memastikan semuanya berjalan lancar, saban hari beliau mendisiplinkan diri melaksanakan rutin secara sistematik dan konsisten.

Beliau akan bangun kira-kira dua jam sebelum ketiga-tiga anaknya celik mata. Dalam tempoh itu, Diana sedaya upaya membersihkan rumah, mencuci dan menyidai pakaian, menyediakan sarapan dan mengemas dapur.

diana nasir
DIANA gembira dapat menjaga sendiri tiga permata hatinya sendiri tanpa bantuan pengasuh ataupun pembantu rumah.

Aktiviti PKP

“Jika kerja rumah selesai awal dan anak-anak pula belum bangun, saya akan berehat seketika, mandi dan bersiap.

“Sambil-sambil itu saya melayari laman web Pinterest untuk mendapatkan idea tentang aktiviti dan resipi menarik yang boleh dilakukan bersama Anggun (Darleesa, Darleena dan Darniella),” jelas Diana yang gemar membahasakan dirinya sebagai Dee. Diana kini menghabiskan masa bersama suami dan anak-anak di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran wabak Covid-19.

Mengulas mengenai PKP yang sudah memasuki fasa ketiga, Diana sedikit pun tidak mengeluh. Sebaliknya, isteri kepada Mohd Azwan Mohd Noor, 34, itu memandang positif arahan kerajaan tersebut yang menghendaki rakyat duduk di rumah.

“Lagipun sebelum ini saya memang duduk di rumah sahaja bersama anak-anak sementara menunggu suami pulang kerja. Cuma sepanjang tempoh PKP ini, orang ramai khususnya kanak-kanak tidak dibenarkan keluar rumah kerana bimbang dijangkiti wabak berkenaan.

“Oleh itu, aktiviti hujung minggu Darleesa dan Darleena seperti kelas balet dan rancangan untuk menyertai kelas menunggang kuda terpaksa ditangguhkan seketika.

“Tidak dinafikan si kembar kerap meminta supaya dihantar ke kelas balet kerana ingin menari bersama rakan-rakan. Disebabkan enggan menghampakan mereka, pernah saya menyarungkan kostum balet pada Darleesa dan Darleena.

“Kemudian, saya pasangkan muzik dan menari balet di dalam rumah,” katanya sambil memberitahu anak-anaknya mula memahami keperluan duduk di rumah bagi mengelakkan virus Covid-19.

Selain bercerita tentang bahaya wabak berkenaan, Diana turut mendidik anak-anak dengan amalan mencuci tangan dan menjaga kebersihan.

Dalam pada itu, bagi mengelakkan permata hati dilanda kebosanan sepanjang PKP, beliau yang meminati nuansa putih berusaha menyusun aktiviti berkonsepkan bermain sambil belajar.

“Tepis persepsi bahawa keseronokan hanya terdapat di luar rumah. Walhal, di kediaman peribadi bermacam-macam game menarik boleh dilakukan untuk tumbesaran anak-anak. Asalkan kita (ibu bapa) kreatif mengikut minat dan kesesuaian si comel.

DIANA
PASANGAN kembar Anggun Darleesa dan Anggun Darleena serta adik mereka, Anggun Darniella gembira melakukan pelbagai aktiviti menarik di rumah sepanjang PKP.

“Seperti Anggun, mereka lebih cenderung pada aktiviti fizikal dan bercorak eksperimentasi seperti menghias kek, tuang air ke dalam balang, bermain tingting dan melukis. Saya tidak kisah mereka comot kerana ia sebahagian daripada proses pembelajaran,” jelasnya lanjut.

Bukan itu sahaja, trio Anggun juga didedahkan dengan permainan menyusun menara cawan kertas, menikmati minum petang di laman rumah dan mewarna menggunakan pewarna makanan kerana ia lebih selamat.

Tutur Diana, keseronokan anak-anaknya di kala melukis juga semakin melonjak setiap kali melihat gabungan dua warna berbeza. Warna kuning dicampur hijau menghasilkan nuansa biru, misalnya, cukup untuk membuatkan si kecil teruja.

“Kebanyakan aktiviti Anggun hanya menggunakan peralatan sedia ada di rumah seperti cawan kertas, baldi, balang dan air bagi mengelakkan pembaziran.

“Selain bermain, tiga kali sehari saya juga membuat panggilan video supaya anak-anak melepaskan rindu terhadap datuk, nenek, aunty dan uncle memandangkan mereka tidak boleh bertemu sepanjang PKP,” terang Diana yang bijak bergaya dan menitikberatkan aspek penjagaan wajah.

The Angguns hulur sumbangan

Dalam perkembangan berkaitan, di sebalik PKP, jangan dilupakan kelompok keluarga yang sebelum ini hanya bergantung padasumber pendapatan kerja dan jualan harian.

Itu bermakna, apabila tidak dibenarkan keluar mencari rezeki, maka hilanglah punca pendapatan mereka untuk membeli barangan keperluan.

Enggan membiarkan golongan yang kurang berkemampuan begitu sahaja, Diana mengambil inisiatif menggerakkan ‘program tanggungjawab sosial Anggun’.

“Alhamdullilah, setakat ini kami telah menghulurkan sumbangan kepada 20 keluarga di Pulau Pinang dan lima keluarga di Kuala Lumpur.

“Kempen ini masih diteruskan bagi meringankan beban mereka yang memerlukan. Saya dan Anggun mengumpul wang daripada hasil jualan koleksi barangan peribadi menerusi Instagram@prelovedbydiananasir,” ujar beliau.

Sementara itu, Diana turut memberitahu bahawa beliau dan anak-anak menyertai Kempen Haiwan Angkat Zoo Negara.

Iklan

Berikutan tiada pengunjung disebabkan PKP, Zoo Negara terpaksa menggunakan tabung kecemasan untuk menampung kos operasi kerana sumber pendapatan premis berkenaan bergantung sepenuhnya kepada hasil jualan tiket.

Sehubungan itu, dengan adanya kempen berkenaan, sumbangan orang ramai akan digunakan untuk membeli bekalan makanan, ubatubatan dan menjaga kebajikan haiwan.

“Walaupun tak banyak, diharapkan sumbangan kecil daripada kami sekeluarga dapat memberi sinar kepada haiwan di Zoo Negara.

“Setakat ini, Darleesa mengambil Harimau Malaya sebagai haiwan angkat, harimau putih (Darleena) dan penguin untuk Darniella. Ini termasuklah, singa haiwan angkat kepada Mohamad Eidrees (anak lelaki Anzalna dan Mohd Hanif). Insya-ALLAH selesai PKP saya akan membawa Anggun melihat haiwan angkat mereka di Zoo Negara,” jelas Diana.

DIANA
DIANA yag merupakan kakak kepada pelakon jelita Anzalna, bersyukur memiliki suami, Mohd Azwan yang sentiasa membantu menguruskan anak-anak dan kerja rumah. 

PROFIL

Nama: Diana Md Nasir

Umur: 34 tahun

Asal: Melaka

Tarikh lahir: 9 September 1986

Adik-beradik: Diana (kakak sulung), Anzalna (pelakon), Mia (pelakon), Afifah (pelakon) dan Nazirah

Iklan

Pendidikan: Bersekolah di Malaysia dan luar negara termasuk Kanada dan Australia kerana mengikut keluarga

Universiti Tasmania, Australia

Hobi: Membeli-belah, menghias rumah dan menghabiskan masa bersama anak-anak

Warna kegemaran: Putih

Idola: Ibu

Suami: Mohd Azwan Mohd Noor

Anak: Anggun Darleesa & Anggun Darleena, 3 tahun Anggun Darniella, 2 tahun

Instagram: @diananasir86

Jumlah pengikut: 314,000

Instagram anak: @theangguns