UMUM mengetahui Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah gemar memasak sajian untuk santapan seisi keluarga.

Jika singgah ke laman sosial Instagram @airtangan_tunkuazizah warga net pasti terliur melihat koleksi foto menu ala Barat dan tradisional yang disediakan oleh baginda sendiri.

Bertambah menarik, Raja Permaisuri Agong juga tidak lokek ilmu menjawab bermacam-macam soalan berkaitan tip masakan daripada rakyat jelata yang mengikuti akaun Instagram terbabit.

Bagaimanapun, semalam warga net terkejut apabila Raja Permaisuri Agong memuat naik sekeping foto yang menunjukkan tangan baginda melecur dek terkena periuk panas.

RAJA Permaisuri Agong gemar memasak sajian untuk santapan seisi keluarga.

Pun begitu, Raja Permaisuri Agong sedikitpun tidak berasa ralat, bahkan mengganggap ia adalah situasi normal apabila seseorang berada di dapur.

“Biasalah kalau kita memasak mesti terkena periuk panas atau minyak , terkena pisau, luka atau wap stim.

“Kalau tidak bukanlah tukang masak,” coret Raja Permaisuri Agong.

Rata-rata warga net menzahirkan agar baginda berhati-hati dan menjaga diri ketika memasak.

Menurut pemilik akaun @zalina.kassim: “Terharu tengok kesan melecur pada tangan bonda tunku memasak untuk keluarga. Air tangan ibunda best for ever.”

Sementara itu, @hvely_mf pula menulis: “Tangan tunku melecurlah. Tangan Tunku okay ke? Hati-hati memasak ya Tunku Permaisuri. Selamat berpuasa.”

Iklan

Dalam pada itu, Raja Permaisuri Agong turut berkongsi cerita baginda pernah diarah keluar dari dapur istana.

ANTARA juadah daripada air tangan Raja Permaisuri Agong. 

“Saya masih ingat semasa kecil, selalu kena halau keluar dapur istana. Che Lok, Mak Lamah, Ku Comel dan Kak Cik selalu pok pek kat saya ‘anak raja sila keluar dapur’ nanti parut atau bertanda apabila bersanding.

“Saya suka mengacau mereka masak. Jadi mereka selalu suruh saya tolong kupas bawang, kentang dan petik taugeh.

Iklan

“Dari situlah saya belajar memasak. Mereka akan tunjuk cara-cara , petua dan resipi dan berbisik supaya jangan ajar adik-beradik lain,” tulis baginda.

Tambah Raja Permaisuri Agong, pada ketika itu juga baginda rajin membawa buku nota, suka bertanya dan menulis resipi.

“Mereka sayang saya kerana saya suka menolong. Saya merupakan puteri kegemaran mereka,” kata baginda lanjut.